Pemantau tubuh pusat aduan

Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia (Pemantau) menubuhkan Biro Aduan Nasional dengan pejabat-pejabat di semua negeri untuk menerima aduan yang berkaitan dengan pilihanraya dari semua masyarakat.

Penyelaras Pemantau, Kamar Ainiah Kamaruzzaman berkata, pusat aduan itu akan menyiasat dan mengesahkan aduan-aduan yang dikemukakan serta mendokumentasikan segala penemuan berkaitan dengan aduan-aduan berkenaan.

Pemantau adalah gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan misi untuk melindung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip dan amalan demokrasi melalui pilihanraya yang beas, adil dan jujur, katanya.

"Kami menyeru semua rakyat menyemak dan tempat mengundi yang terdapat di dalam daftar pengundi yang sedang dipamirkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk diri sendiri, keluarga, jiran dan sahabat handai," ujarnya.

"Jika terdapat sebarang ketidakpatuhan aturan, kita menyeru agar membuat aduan kepada SPR dan juga Pemantau bagi dutujuan dokumentasi dan tindakan susulan," tambahnya.

Kamar Ainiah berkata, pihaknya akan memastikan aduan yang diterima adalah daripada orang yang bertanggungjawab yang menggunakan borang aduan yang disediakan oleh pusat aduan itu.

"Jika perlu kita akan membuat aduan kepada SPR atau polis atau mungkin mengambil tindakan mahkamah berikutan aduan-aduan yang diterima oleh pusat aduan," katanya lagi.

Selain dari peringkat negeri, Pemantau juga mewujudkan pusat aduan nasional iaitu di 6-2 Jalan Abdullah, Off Jalan Bangsar, 59000 Kuala Lumpur dengan tiga talian telefon 03-2873233, faks (03-2878233) dan e-mail (mybudi@pd.jaring.my), katanya.