Tentera tidak terima kertas undi

Brig. Jeneral (B) Dato Wan Abdul Majid Abdullah mendedahkan ramai anggota tentera tidak menerima kertas undi sewaktu pilihanraya menyebabkan ada di antara mereka yang tidak pernah mengundi sepanjang dalam perkhidmatan tentera.

"Selama 34 tahun berkhidmat dalam tentera saya tidak pernah menemui kertas undi," katanya sambil menjelaskan pada tahun 1969 misalnya, beliau sepatutnya menerima kotak undi dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana kedudukannya sebagai komandan kem tetapi ia tidak berlaku.

"Walaupun saya tidak pernah mengundi tapi mungkin ada di antara 700 anggota saya akan mengundi jika kertas undi itu sampai," katanya ketika berucap di majlis forum anjuran Pemantau di sini.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa ia berlaku disebabkan beliau tidak mengambil berat kerana beliau diajar untuk tidak melibatkan diri dengan politik dalam perkhidmatan tentera.

"Inilah masalah yang kita hadapi. Sekarang kira telah sedar. Oleh sebab kita tidak mengambil berat soal politik orang lain telah mengambil kesempatan terhadap kita," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan politik mereka di samping menggunakan juga jentera kerajaan yang lain.

Menurutnya, SPR perlu telus dalam pengendalian undi pos kerana penipuan yang berlaku dalam proses pengundian itu boleh menimbulkan masalah kepada negara.

Beliau juga menjelaskan pihaknya dan Pemantau akan mengemukakan bukti secepat mungkin kepada SPR mengenai penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam undi pos.