Pilihanraya Bukan Sekadar Sentimen

Ramai di kalangan penyokong-penyokong parti alternatif atau Barisan Rakyat (laman ini akan menggunakan BR sebagai ringkasan) beranggapan BR akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya akan datang berasaskan sentimen rakyat yang semakin meluat dengan pimpinan kerajaan. Secara amnya, boleh dikatakan sentimen mempunyai peranan yang tersendiri tetapi perkara yang lebih penting daripada itu adalah strategi. Ini adalah kerana strategi yang mencipta sentimen.

Pengalaman kita dalam pilihanraya 1990 yang menunjukkan strategi terakhir Mahathir berjaya mewujudkan sentimen agama dengan mempergunakan gambar Ku Li memakai tanjak yang dikatakan ada lambang salib yang akhirnya mengubah persepsi rakyat terhadap Ku Li. Perubahan itu menyebabkan Ku Li yang sebelum itu mendapat sokongan besar rakyat akhirnya kecundang dalam pilihanraya dengan hanya mencapai kemenangan di Kelantan sahaja, itupun dengan sokongan jentera Pas.

Apa yang membezakan S46 dengan BR sekarang ialah keupayaan mengerakkan strategi-strategi yang berkesan dan menghadapi jentera pilihanraya BN. Apa yang jelas adalah KeAdilan masih belum menyiapkan jentera pilihanrayanya atau dengan kata yang lebih ekstrim, KeAdilan tidak mempunyai jentera pilihanraya mahupun pengalaman menhadapi pilihanraya sebagai pembangkang.

Laman ini telah dan akan terus mendedahkan mengenai strategi dan pendekatan yang dibuat oleh BN dalam pilihanraya sebagai panduan kerana BN boleh melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan. Bahkan untuk mewujudkan sentimen anti Anwar dalam pilihanraya nanti yang boleh mempengaruhi pemikiran dan persepsi rakyat terhadap kerajaan.

Tanpa jentera pilihanraya yang kukuh di kalangan BR, usaha-usaha BN akan lebih mudah memperolehi kemenangan dalam pilihanraya akan datang. Perlu disedari bahawa pilihanraya bukan sekadar bermain kata-kata dalam ceramah, lebih dari itu ia melibatkan peperangan stratregi untuk mewujudkan sentimen rakyat kepada satu-satu parti.

Bagi BN, pembohongan yang diulang berkali-kali akhirnya akan menjadi satu kebenaran dalam pemikiran rakyat. Bagi BR, rakyat sebenarnya tidak mudah untuk menerima pembohongan BN. Soalnya, adakah penafsiran BR itu adalah benar atau sejauh mana ia benar. Atau rakyat masih mudah digula-gulakan dengan pelbagai perkara dalam pilihanraya....

Hantar Komen Anda