Rakyat tuntut Liong Sik minta maaf terbuka

KUALA LUMPUR: Rakyat menuntut Presiden MCA, Dato' Seri Ling Liong Sik meminta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam kerana kenyataannya baru-baru ini yang menghina umat Islam di negara ini .

Ling sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina bahawa usaha ke arah menegakkan negara Islam akan menghalang proses kemajuan negara.

Ling yang menyeru masyarakat Cina agar menolak negara berasaskan prinsip Islam berkata, Islam yang menghalang wanita bekerja dan kekal sebagai surirumah juga akan menyebabkan negara mundur ke belakang, lapor akhbar itu yang turut dipetik oleh News Strait Times Singapura.

Tinjaun kami mendapati orang ramai melahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan kenyataan Ling itu yang jelas merendahkan Islam sebagai agama yang menekankan kemajuan dan keadilan untuk semua pihak dalam sebuah negara Islam.

Peniaga, Abdullah Kasa, 37 berkata, kenyataan Ling itu menunjukkan kejahilan beliau mengenai Islam dan tidak sepatutnya pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan yang sebegitu yang seolah-olah mengugut masyarakat bukan Islam agar tidak menyokong PAS.

Menurutnya, kenyataan itu juga menonjolkan kegagalan pemimpin Umno untuk memberikan penjelasan sebenarnya mengenai Islam kepada pimpinan parti-parti komponen yang bukan beragama Islam.

"Pemimpin Umno yang mendakwa memperjuangkan Islam dengan lebih baik berbanding PAS sepatutnya berjaya menghilangkan keraguan seumpama itu jika mereka benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan Islam," katanya.

"Tetapi malangnya, kenyataan Presiden MCA itu menunjukkan kegagalan UMNO," katanya ketika ditemui di kedainya di sini.

Manakala Muhd Izham Ismail, 23 yang juga peniaga berkata, kenyataan Ling itu melambangkan tidak ada sensitiviti pemimpin itu terhadap perasaan umat Islam di negara ini yang mewakili kira-kira separuh daripada penduduk Malaysia.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan hanya untuk kepentingan politik parti Barisan Nasional dan ia tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pemimpin parti dalam negara yang pelbagai agama jika mereka menghormati hak setiap penganut agama di negara ini.

Beliau juga meminta Ling meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam berikuran kenyataannya itu yang tidak dilaporkan dalam akkhbar-akhbar berbahasa Melayu atau English di negara ini.

Ketua Lujnah Antara Kaum PAS kawasan Lembah Pantai, Meor Hamdan Meor Ahmad juga mendesak agar Ling meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam serta memberikan penjelasan yang sebenarnya mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, UMNO tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk membela Islam kerana parti itu sendiri gagal untuk memahamkan parti-parti sekutunya mengenai Islam yang sebenarnya.

"Umno yang mendakwa membela Islam sebenarnya hanya mempergunakan agama untuk kepentingan sempit politik mereka seperti yang ditonjolkan dalam kes Ling itu," katanya.