Samy diseru sertai reformasi

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Dato' S Samy Vellu diseru melihat kelemahan dirinya sendiri dan memberikan laluan kepada reformasi untuk membela kebajikan masyarakat India di negara ini, kata Naib Pengerusi Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) bahagian Serdang, Dr M Mahendran.

Mahendran berkata, pemimpin India dalam KeAdilan mempunyai peluang untuk berinteraksi secara aktif dengan pemimpin Melayu yang tidak pernah diperolehi sebelum ini.

"Ini menunjukkan Keadilan akan memberikan lebih banyak platform untuk menyalurkan hasrat masyarakat India dalam dominasi kepimpinan politik Melayu," katanya dalam kenyataan berita di sini.

"Samy melakukan sesuatu yang besar kepada masyarakat India yang diabaikan sejak 40 tahun lalu di bawah Barisan Nasional (BN) yang disokong oleh MIC jika beliau menyertai reformasi," ujarnya.

Samy sebelum ini mendakwa KeAdilan tidak mampu mewakili masyarakat India di negara ini dan menegaskan hanya MIC yang berupaya membela masyarakat itu.

Menurut Mahendran, masyarakat India sekarang menyedari bahawa sistem politik yang berasakan perkaumanlah yang menyebabkan mereka terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara.

"Adakah Samy ingin membesarkan masyarakat India dalam lingkungan politik primitif yang berdasarkan bangsa", katanya lagi.

Sistem pecah dan perintah yang diamalkan dalam BN beraraskan sistem kolonial sudah ketinggalan dan masyarakat India menyedari kepimpinan yang sebegitu akan menyebabkan mereka terus terpinggir, katanya.

"Bagi Samy, MIC adalah saluran terbaik untuk mengekalkan kuasanya ke atas masyarakat India tetapi kami menganggapnya sebagai musuh terbesar dan ancaman kepada pembangunan masyarakat India," jelasnya.

"Inilah masanya untuk masyarakat India mengeluarkan Samy daripada kuasa untuk mewujudkan mayarakat yang lebih bertamaddun dan demokratik yang akan memajukan masyarakat India setanding dengan bangsa yang lain," katanya.