Alam Ciptaan Ilahi

Alam,

Unggas riuh berkicauan

di celah pepohon nan menghijau,

Cemerlang cahaya matahari,

Menyinari alam,

Segala anugerah Ilahi.

Matahari dan bulan silih berganti,

Menyerikan alam ini.

Unggas-unggas tertawa riang,

Berterbangan tinggi di awan.

Kini...

Adakalanya ku terdengar

Bisikan Media Massa,

Alam di timpa bencana,

Memusnahkan segalanya.

Persekitaran semakin tercemar,

Bukit digondolkan

Kesengsaraan semakin menjadi

Keampunan ku pohon padaMu Ilahi.

Karya;

Zurinah Junlih (3A)

 

Untukmu Ibuku

Ibu,

Dikaulah pelita hidupku,

Dan memberi sinar hidupku,

Untuk mencerahkan lagi

Masa depanku.

Ibu,

Perintahmu ku junjung sepanjang waktu,

demi kebaikan hati dan naluriku,

Aku menyayangimu sepenuh hatiku,

Seperti aku menyayangi

tubuh badanku.

Andainya ku engkar akan perintahmu,

Akulah anak menderhaka padamu,

Dikau ibu yang ku hormati,

Budimu tetap ku sanjung tinggi,

Kau mengandungkanku,

Kau menyusukanku,

Dikau menjaga makan minumku,

Sakit sihatku hanya engkau yang tahu.

Akulah harapan hatimu,

Akan ku berbakti untukmu ibuku,

Akan ku perjuangkan sepenuh ragaku,

Untuk berbakti pada nusa bangsaku.

Kasih sayangmu hanya padaku,

Tanpamu ibu, hilang arahku.

Hasil karya;

Rohaya Asikin (1B)

MEHO

Sinar matahari yang berwarna keemasan mula terpancar di ufuk timur. Embun masih di dedaunan. Kokok ayam bersahutan. Berbagai-bagai bunyi kedengaran menghidupkan suasana desa. Deruman enjin bot desiun dibawa angin dari arah sungai. Ombak beralun dan menampar-nampar jeti yang berbaris di tebing Sungai Padas.

Pada suatu sudut, di ruang sebuah bilik yang berdindingkan kain tampung seribu, terbaring sekujur tubuh yang diselimuti kain gebar yang sudah lusuh. Bagaikan sarung nangka tubuh tersebut. Bumbung rumah berlubang-lubang. Jelas cahaya dari luar menerobos melalui lubang-lubang tersebut. Tikar yang mengalas tubuh itu bagaikan jerami padi yang tidak tersusun. Tetapi tubuh itu sudah biasa dengan tikar yang menjadi teman setianya setiap malam. Sesekali tubuh itu mengesot dan sesekali menampar-nampar nyamuk yang kehausan darah pada pagi yang dingin itu.

Dari suatu arah terdengar tapak kaki memijak lantai yang berjongkang-jongket. Berkeriut-keriut bunyinya. Kedengaran seakan-akan berbisik suara dari arah dapur itu membilang sesuatu.

"Ho .... bangun Ho",terdengar suara lembut si ibu yang berwajah tenang itu memecah kedinginan hending padi itu. Suara kokok ayam jantan kian bersahutan. Suasana di luar masih gelap. Embun pagi masih segar didaunan kayu dan rumput.

Sesekali tubuh itu mengeliat sambil menarik kain gebar. Jelas kedengaran dia sedang menggaru-garu kakinya yang digigit nyamuk.

Ibu memandang tubuh itu dengan penuh simpati. Pada waktu begini anak kecil itu seharusnya tidur lagi, bukan dikejutkan untuk mencari nafkah dengan menjual kuih. Namun keadaan hidup mereka kedua beranak memaksa mereka berbuat demikian. Mereka perlukan sesuap nasi untuk mengalas perut dan untuk membeli keperluan seharian. Mereka tidak mahu mengharapkan belas ihsan daripada orang lain. Walaupun perasaannya itu berat untuk mengejutkan anaknya namun dia perlu melawan perasaan simpati buat seketika. Kekadang air mata mengalir membasahi pipinya.

"Ho .... Ho ..., bangunlah nak. Kalau dah terlalu siang, nanti tak ada orang pula nak membeli kuih jualan kita. Orang kampung kita ni semuanya nak ke kebun Balau," kata ibu Meho.

Sekali lagi suara ibu memecah keheningan pagi yang dingin. Kali ini suaranya sayu dan memilukan. Perasaannya terlalu hiba melihat anaknya yang masih lena. Dia mengalihkan pandangannya ke bakul jualan.

Tubuh tadi mengeliat dan menguap sambil mengosok-gosok matanya. Sekali lagi dia menguap.

"Bu... , sekarang pukul berapa ?" tanyanya.

"Pukul lima setengah Ho," sahut ibunya.

Begitulah nama timangan anak gadis sunti yang masih bersekolah dalam tingkatan tiga disebuah sekolah menengah di kampung tempat tinggal Meho. Panggilan Meho ialah panggilan manja bagi kaum Bisaya di kawasan Beaufort Sabah, tidak kira ia beragama Islam atau Kristian.

Meho berdiri menggeliat dengan kain gebar yang masih menyelimuti tubuhnya. Dia menguap lagi. Selepas itu dia menanggalkan kain gebar dan terus melipatnya. Tangannya mencapai kain batik yang tersidai ditepi dinding. Cahaya lampu minyak tanah kelihatan samar-samar, cuma cukup untuk menerangi ruang bilik yang sempit.

"Bu ... di mana lampu picit ?" tanya Meho.

"Tepi dinding dekat kain batik tadi," jawab ibunya.

Meho mengambil lampu picit. Lantai yang

dipijaknya berkeriut. Ibunya sibuk menjerang air dan menyiapkan makanan tengah hari. Di ruang tengah rumah terletak lampu minyak tanah yang malap.

Meho membuka pintu. Kemudian dia berdiri sambil memerhati suasana di sekeliling. Sesekali dia menguap. Di seberang sungai sudah ada yang sedang mandi. Hembusan angin pagi menampar-nampar rambutnya yang mencecah bahu. Badannya mengigil kesejukan.

"Ho...., kenapa berdiri tercegat di situ? tanya ibunya.

Meho tersentak apabila mendengar suara ibunya. Rupa-rupanya dia berkhayal seketika.

"Bu...., Ho turun ke jelatung dulu, ya." Meho memberitahu ibunya yang sedang sibuk di dapur.

"Baik-baik Ho. Jelatung tu licin," pesan ibunya.

"Baik bu," jawab Meho sambil melangkah pergi.

Meho berdiri seketika. Bunyi jirusan air dari jelatung-jelatung yang berhampiran di tebing sungai memecah keheningan pagi. Bulu romanya berdiri tegak. Burung-burung berkicauan, salakan anjing dan kokokan ayam kian bersahutan. Pagi masih gelap. Pelita minyak tanah yang digunakan di jelatung kelihatan samar-samar dan berkelip-kelip dihembus angin.

Meho tersentak. Dia seharusnya mandi cepat. Dia mencapai bakul sabun dan menuju ke jelatung. Terasa sejuk kakinya memijak lantai jelatung yang basah kena embun. Meho menceduk air dengan baldi kecil yang memang disimpan di situ. Dia mengambil berus gigi dan ubat gigi. Kemudian dia memicit ubat gigi tersebut yang sememangnya sudah kempis. Dia akan memberitahu ibunya untuk membeli ubat gigi yang baru sekiranya kuih dijual pada pagi ini laris. Meho memberus giginya. Setelah selesai dia pun menceduk air dan menjirus ke badannya. Dia mengigil kesejukan. Dia terus menceduk air dan menjirus ke badannya. Begitulah rutinnya pada waktu begini setiap hari kecuali pada hari minggu peperiksaan. Pada waktu itu ibunya memberi masa untuknya mengulang kaji pelajaran dan tidur secukupnya.

Setelah selesai mandi Meho membawa bakul sabun dan lampu picit naik ke rumah. Dia terus melangkah dengan berhati-hati kerana takut tergelincir. Bakul kuihnya sudah tersedia di atas meja kecil yang usang di ruang tamu. Meho masuk ke bilik dan mengenakan pakaian sekolah. Selepas siap dia pun keluar.

Meho akan bersarapan pagi selepas balik dari menjual kuih. Dia tidak suka bersarapan terlalu awal.

"Bu..., berapa semua kuih jualan untuk hari ini, bu?" tanya Meho.

"Enam ringgit saja," jawab ibunya.

"Kalau jualan dan laris, cepat-cepatlah balik ya. Nanti terlambat pula nak ke sekolah," pesan ibunya

"Baik bu," jawab Meho.

Meho mencapai bakul jualan sambil tangan kirinya membawa lampu picit. Suasana di luar agak terang. Semasa turun dari rumah, jam jiran sebelah berdenting enam kali. Kedengaran burung-burung berkicauan keluar dari sarangnya untuk mencari makanan.

"Kuih bingkaaa ...., kuih selorot ....," suara Meho memecah keheningan pagi. Suaranya memang sering berkumandang pada waktu begini kecuali musim peperiksaan.

" Kuih bingkaaa....., kuih selorot......,"

"Meho....., mari sini!" terdengar suara lelaki tua memanggil Meho. Meho menoleh ke arah suara itu.

"Oh ...., Pak Jon! Pak Jon ke mana awal-awal begini?" tanya Meho.

"Pak Jon nak ke kebun balau. Nak menebang balau sepohon dua. Ho, bungkus lima biji kuih bingka dan lima biji kuih selorot," pinta Pak Jon sambil menghulur wang dua ringgit.

"Terima kasih, Pak Jon," jawab Meho.

"Sama-sama. Baik-baik jalan Ho," nasihat Pak Jon lalu terus beredar.

Meho tersenyum riang. Nampaknya rezeki hari ini begitu baik. Meho melangkah pergi.

"Kuih bingkaaa....., kuih selorot.......," sekali lagi suara Meho melaung kuih jualannya.

"Kuih bingkaaa....., kuih selorot....,"

"Ho....Ho.... mari sini!" terdengar suara seorang perempuan memanggil namanya.

Meho menoleh ke arah suara orang yang memanggilnya. Terdapat tiga orang perempuan berdiri menantinya. Meho lantas menuju ke arah perempuan-perempuan itu.

"Nak beli kuih apa, mak cik?" tanya Meho penuh hormat.

"Kuih ada tinggal berapa lagi," tanya mak cik yang gemuk itu.

"Ada empat ringgit lagi, mak cik," jawab Meho.

"Ho... mak cik nak lima biji kuih bingka," pinta mak cik yang bernama Tam.

Meho membungkus kuih untuk Mak Cik Tam. Dia memberi bungkusan itu kepada Mak Cik Tam. Mak Cik Tam menghulurkan wang satu ringgit.

"Terima kasih mak cik," balas Meho.

"Ho... tolong bungkuskan lima biji kuih selorot untuk Mak Cik Imuk dan selebihnya itu bungkuskan untuk mak cik ya," pinta mak cik gemuk itu.

"Baiklah mak cik," jawab Meho.

Meho membungkus sekali lagi kuih tersebut untuk Mak Cik Imuk dan mak cik gemuk itu. Mereka menghulurkan wang berjumlah tiga ringgit.

"Terima kasih mak cik," ucap Meho kepada mereka.

"Sama-sama," jawab mereka lalu beredar.

Meho melonjak keriangan. Dia melangkah lebih pantas supaya cepat sampai ke rumah.

"Bu..... Bu...... Bu.....," Meho memanggil-manggil ibunya.

Wajah ibunya tersembul di ambang pintu sambil tersenyum. Dia memang tahu perangai anak perempuan kesayangannya itu. Kalau dari jauh sudah memanggilnya bermakna kuih yang dijualnya sudah habis tetapi jika sebaliknya, bermakna kuih itu ada lagi tinggal dua atau tiga biji. Wajahnya akan muram sahaja dan tidak banyak bercakap.

Ibunya menyambut bakul kosong daripada tangan Meho.

"Ho.... pergilah sarapan. Ibu sudah sediakan hidangan di bawah tudung saji itu," jelas ibunya.

Meho melangkah ke dapur yang agak sempit. Dia duduk dengan tertib menghadap hidangan yang disajikan.

"Ibu sudah minum?" tanya Meho.

"Sudah Ho," jawab ibunya.

Ibu membawa keluar bekalan dan beg sekolah lalu meletakkannya di tepi pintu. Selepas itu dia meletakkan kasut Meho yang sudah lusuh itu di tepi beg sekolah tadi. Meho memerhati gelagat ibunya. Terasa hiba di hatinya. Ibunya terlalu mengharapkan kejayaannya walaupun keadaan mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, cuma mengharapkan tulang empat kerat untuk mendapatkan sesuap nasi. Tanggung jawab yang dipikul oleh ibunya sekarang terlalu berat. Dialah bapa dan ibu bagi Meho.

Ibunya sudah menyediakan makanan untuk tengah hari kerana ibunya akan pergi ke kilang sagu dan ibu akan balik pada waktu petang. Seharian ibunya tiada di rumah kecuali hari hujan. Begitulah keadaan mereka setiap hari. Sebelah malam pula ibunya menyediakan bahan-bahan untuk membuat kuih pada waktu awal pagi.

Selesai sarapan, ibu Meho menyimpan hidangan tadi di bawah tudung saji semula dan di atasnya diletakkan lesung batu untuk mengelak daripada gangguan kucing ataupun tikus.

Meho mencuci tangannya. Selepas itu dia menyarung sarung kaki dan kasut di serambi. Ibunya sudah sedia dengan pakaian seragam kilang sementara sebelah tangannya membawa sebilah parang. Pekerjaan ibunya cuma mengopek kulit balau dan kadang-kadang menjemur lemantak yang sudah dibersihkan.

"Ho....," terdengar suara ibu memanggilnya.

Meho menoleh ke arah ibunya.

"Ho..., ambil duit ni buat belanja sekolah. Kalau ada besok, ibu akan beri lagi," jelas ibunya sambil menghulur wang saku sebanyak dua puluh sen.

"Bu...., ibu beri banyak sangat," jelas Meho.

"Tak apalah, Ho simpanlah sendiri dalam tabung jika tidak mahu membelanjakannya," jawab ibu.

Mereka sama-sama melangkah meninggalkan rumah. Ibunya menuju ke jelatung kerana kilang sagu terletak di kampung seberang. Meho berjalan menuju ke jalan besar mengarah ke sekolahnya. Masa perjalanan lebih kurang dua puluh minit. Mereka pun berpisah menuju ke destinasi masing-masing.

 

Hasilan

RAHMAT KASMIN(4 Teknologi)

INDUSTRI ANGKASA

Dewasa ini, jelas terlihat banyak kerjasama dalam aktiviti angkasa yang diusahakan diperingkat antarabangsa, rantauan dan dua hala. Kerjasama serantau ini telah diwujudkan sejak abad ke-21 lagi. Aktiviti dan teknologi angkasa akan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi. Teknologi angkasa akan membekalkan maklumat yang penting kepada manusia sejagat dalam mengeuploitasikan hasil dan bahan mentah bumi. Era baru dalam perhubungan antarabangsa iaitu angkasa Kerjasama ini termasuklah penggunaan teknologi angkasa seperti Satelit untuk mengawasi alam semesta.

Kerjasama antarabangsa merupakan saluran utama dalam mengembangkan sains dan teknologi terutamanya dalam bidang penggunaan teknologi antarabangsa. Buat masa ini, bidang penerokaan angkasa merupakan contoh yang jelas dalam kerjasama antarabangsa dan sangat penting demi kepentingan semua negara. Di Malaysia amnya, memang tidak dinafikan lagi bahawa pembangunan sains dan teknologi angkasa mesti selaras dengan aktiviti angkasa antarabangsa. Faktor ini bukan sahaja dari segi pasaran untuk industri, tetapi sebagai jalan masuk kepada teknologi dan tenaga mahir.

Strategi yang mantap dan teratur, membolehkan kerjasama dengan agensi angkasa luar negara dalam menjayakan projek yang mendatangkan faedah bersama. Penglibatan manusia harus dihargai dan difokuskan kepada bidang yang menawarkan aktiviti pembangunan saintifik dan komersil yang berkekalan dan berfaedah untuk Malaysia. Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mementapkan industri dan sains angkasa ialah membantu dan memudahkan syarikat-syarikat dan institusi-institusi Malaysia melibatkan diri dalam program angkasa luar negara yang terpilih selaras dengan kekuatan saintifik dan industri tempatan. Kerajaan telah mempromosikan perhubungan kerajaan ke kerajaan yang lebih rapat dikalangan negara serantau dan kedatangan faedah bersama. Dalam merealisasikan kejayaan industri angkasa negara perlu mewujudkan strategi angkasa yang akan menyediakan asas yang diperlukan oleh kerajaan untuk bekerjasama dengan industri, universiti dan badan-badan lain. Strategi ini dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kemampuan industri angkasa Malaysia dalam keadaan stabil agar sumber-sumber negara dan jentera kerajaan dapat dipergunakan sepenuhnya.

Industri angkasa menawarkan peluang untuk Malaysia membangunkan industri berkaitan dengan kepentingan sains dan tentera diangkasa. Pada alaf yang canggih ini, dengan kedatangan sistem komunikasi satelit, sistem pandu arah satelit dan penderiaan jauh, industri angkasa yang lebih kepada bidang komersil telah diperkenalkan. Pasaran bukan ketenteraan di peringkat antarabangsa telah menghasilkan perdagangan

sejumlah berbillion ringgit setiap tahun untuk industri angkasa. Industri angkasa berada pada era kemuncak teknologi baru dalam beberapa bidang. Penemuan-penemuan baru dalam bidang angkasa kerap menyumbangkan kearah banyak industri lain, termasuk oeronautik, komunikasi, kejuruteraan aeroangkasa, komputer. Malah kita tidak harus melepaskan peluang untuk menceburi malah memimpin industri angkasa. Walau bagaimanapun industri angkasa yang berjaya mestilah melaburkan suoser-suoser dalam aspek penyelidikan dan pembangunan dalam usaha mencari dan memperkenalkan keluaran dan kepercayaan.

Sains angkasa dapat menambahkan pengetahuan dan kefahaman kita terhadap kewujudan alam dan keselesaan alam semulajadi. Sains dan teknologi angkasa boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu sains angkasa lepas dan industri penerbangan. Teknologi angkasa lepas boleh dilihat daripada tiga bidang iaitu kajian dan penerokaan angkasa lepas dari segi kefahaman kita tentang alam semulajadi. Aspek ini mempunyai dua bidang utama iaitu astronomi dan pengembaraan angkasa lepas untuk tujuan komunikasi. Khususnya penggunaan satelit perhubungan. Dalam mengeksploi angkasa lepas dari segi komunikasi akan melibatkan kemajuan sains dan nilai komersil. Oleh itu, penglibatan pihak swasta sangat penting. Penglibatan negara dalam industri penerbangan selaras dengan matlamat industri ini untuk membina pasawat terbang ringan. Pasaran pesawat ringan mempunyai pasaran yang menggalakkan. Selain daripada penglibatan ini kita akan memperolehi teknologi pembinaan dan pembuatan daripada bahan komersil. Kita akan berupaya memajukan penghasilan bahan ini akan penggunaannya dalam industri lain.

Kepakaran kita dalam industri angkasa lepas adalahterhad. Jika penguasaan kita kuat dalam bidang ini, kita perlu menyedarkan masyarakat tentang nilai aset yang berharga dan digunakan untuk komersil, pertahanan dan pelbagai kegunaan yang tidak terhad. Kita tidak mahu hadkan diri kita pada apa yang nampak dimata. Ini merupakan beban yang berat. Oleh itu kerjasama antara rakyat Malaysia perlu dipupuk untuk menstabilkan dan memantapkan industri angkasa dinegara ini dalam melahirkan generasi bijak dan berprestij untuk kecemerlangan negara.

Hasilan

SUZILAH MAHAT (5A)