Banyak kegemilangan
dicatat pada Ramadan
RAMADAN datang lagi, menuntut umat menambah
iman, mengulangi taubat, serta membersih dosa dan noda. Ketika Ramadan, bulan
yang penuh keberkatan dan kemuliaan, umat Islam sangat digalak merebut segala
kelebihan dan ganjaran yang diberikan oleh Allah. Inilah masanya untuk menambah
amal soleh dengan melakukan pelbagai ibadat sunat yang dijanjikan Allah
ganjaran berlipat ganda.
Puasa adalah ibadat yang difardukan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad saw dan
umat Baginda. Kefarduan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah melalui
firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu
berpuasa, seperti mana yang telah difardukan ke atas umat terdahulu daripada
kamu, semoga kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183).
Mereka yang berpuasa akan menikmati pelbagai hikmah.
Dari segi biologi, puasa membina kesihatan. Ini kerana dengan mengatur amalan
pemakanan dan tidak terlalu banyak makan, makanan dapat dicernakan dengan lebih
baik dan perut mempunyai ruang untuk ‘berehat’.
Perut adalah sumber perkembangan penyakit. Perut juga dikenal pasti sumber yang
boleh mengganggu kesihatan akal dan hati. Lukman ul-Hakim berkata kepada
anaknya: “Wahai anakku, apabila perutmu terlalu kenyang, maka otakmu tidur,
fikiranmu rosak dan badanmu malas beribadat.”
Dari segi mental dan jiwa,
melalui puasa, jiwa dan hati akan ‘dibersihkan’ daripada penyakit hati seperti
hasad dengki, iri hati dan rasa sombong, takbur dan riak. Hati yang sentiasa
mengingati Allah dan mencari kesempatan untuk berbuat kebaikan, akan melahirkan
sifat terpuji yang secara automatik menyebabkan mulut ingin sentiasa berzikir. Hati
yang lembut juga akan memupuk fikiran bersih yang diselaputi sifat kemanusiaan
yang dijalin atas kasih sayang.
Dari segi moral dan akhlak pula, puasa adalah satu sistem latihan bagi
membentuk akhlak mulia.
Sebenarnya, Ramadan bukan saja mempunyai banyak fadilat, kelebihan dan hikmat,
malah sejarah bulan itu sendiri mengagumkan. Pada Ramadan, diturunkan al-Quran,
iaitu wahyu Allah yang menjadi petunjuk hidup manusia.
Pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan Jumaat, berlaku Perang
Badr al-Kubra, satu peperangan besar yang pertama kali membabitkan kaum
Muslimin melawan kaum musyrik.
Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr.
Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua
orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira
1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota
pasukan berkuda.
Ini bererti seorang Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Atas kekuasaan dan
pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh golongan Muslimin.
Pada tarikh 18 Ramadan tahun kelapan hijrah pula, Rasulullah bersama 12,000
kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju Makkah untuk membebaskan Makkah.
Peristiwa pembebasan kota Makkah ini begitu terkenal dengan sebutan ‘Futuh
Makkah’.
Pembebasan kota Makkah oleh golongan Muslimin menandakan satu era baru dalam
Islam, selepas kaum Muslimin diseksa dan ditindas, bahkan yang terakhir
dikepung oleh pasukan tentera Ahzab (sekutu) selama berminggu-minggu di
Madinah.
Malahan, Rasulullah menyifatkan pembebasan Makkah itu begitu penting, melalui
sabda Baginda, yang bermaksud: “Kaum Quraisy tidak akan berani lagi mendatangi
(menyerang) kamu selepas tahun ini, lenyap musnah kekuatan mereka, dan mereka
tidak akan memerangi kita selepas hari ini dan sekarang giliran kita akan
memerangi mereka, insya-Allah.”
Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan
Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali
sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar
Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara
Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.
Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan mercu
peradaban manusia yang tersohor pada zamannya, sehinggakan kemajuan teknologi
yang dimiliki Eropah sekarang adalah warisan teknologi umat Islam masa silam.
Selain itu, daerah Ghaal di Peranchis atau kini Pays des Gualles, juga
ditakluki Islam ketika Ramadan.
Justeru, dalam kita meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita sama-sama
menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang
dalam keadaan berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka.
Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu
mempertahankan agama Islam kerana daripada sejarah, banyak kegemilangan Islam
dicatatkan dalam bulan ini.