Nama sebenar Abu Ubaidah ialah Amir bin Abdullah bin Jarrah. Beliau dikenali sebagai seorang yang kuat beribadat,
merendah diri dan zuhud. Beliau memasuki Islam melalui Sayidina Abu Bakar dan termasuk golongan yang awal memeluk Islam.
Beliau berhijrah ke Habsyah pada kali yang kedua. Abu Ubaidah adalah antara pahlawan Islam yang gigih dan
berani di samping akhlaknya yang terpuji. Beliau turut menyertai hampir kesemua peperangan besar yang dihadapi oleh kaum Muslimin
seperti Perang Badar, Uhud dan sebagainya.
Di dalam peperangan Uhud, Abu Ubaidah sentiasa menjaga keselamatan Rasulullah s.a.w. Namun keadaan di medan
pertempuran itu memaksanya sering berpisah dengan baginda. Meskipun begitu, matanya sentiasa mengawasi kedudukan baginda dari
jauh. Begitulah rasa kasihnya beliau terhadap Rasulullah s.a.w.
Pada suatu ketika, Abu Ubaidah telah terpisah dengan Rasulullah s.a.w. kerana baginda telah dikepung oleh
pihak musuh. Tiba-tiba, beliau melihat sebilah anak panah mengenai baginda. Dengan pantas Abu Ubaidah segera mendapatkan Rasulullah
dan menyerang pihak musuh sehingga mereka bercerai-berai. Didapati di wajah Rasulullah mengalir darah dan ketika itu baginda
sedang menyapu darahnya.
Dua rantai besi penutup kepala telah termasuk ke dalam kedua pipi baginda. Tanpa berlengah lagi, Abu Ubaidah
segera menarik dua rantai besi itu dengan giginya sehingga tercabut dua batang giginya. Begitulah kecintaan Abu Ubaidah yang
dieprlihatkan terhadap baginda.
Abu Ubaidah pernah diberi tanggungjawab memimpin sepasukan tentera seramai tiga ratus sepuluh orang. Setiap
hari mereka diberi segenggam kurma sehinggalah bekalan makanan itu habis. Kemudian digantikan dengan perahan air daun-daun.
Meskipun begitu, tentera di bawah pimpinannya dapat menghadapi kesusahan ini dengan sabar dan keyakinan yang padu.
Abu Ubaidah pernah dipilih sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w. yang wafat. Namun jawatan
itu akhirnya dipegang oleh Sayidina Abu Bakar memandangkan dia memiliki beberapa keistimewaan serta mendapat penghormatan
dari para sahabat pada masa itu.
Setelah negeri Syam jatuh ke tangan umat Islam, Abu Ubaidah telah dilantik menjadi amirnya. Namun
kehidupannya yang sungguh zuhud, tidak sebagaimana para pemerintah yang lain.Sayidina Umar pernah menziarahi
Abu Ubaidah di rumahnya. Dia merasa amat terkejut melihatkan hanya terdapat satu bekas makanan dan sehelai kain bulu di rumah
itu. Abu Ubaidah hanya menerangkan, "Tempat makan itu juga dijadikan bekas wuduk manakala kain bulu itu dijadikan alas
tidur dan tempat duduk."
Mendengarkan penjelasan Abu Ubaidah itu, menitis air mata Sayidina Umar kerana beliau sungguh terharu.
Khalifah Umar pernah berhasrat melantik Abu Ubaidah sebagai penggantinya kelak. Oleh itu, ketika berlaku
suatu wabak di negeri Syam, khalifah telah mengirimkan surat supaya Abu Ubaidah segera menemuinya. Tujuannnya
ialah supaya Abu Ubaidah dapat terhindar dari wabak tersebut.
Namun Abu Ubaidah telah dapat menangkap maksud surat itu. Beliau tidak sanggup meninggalkan tenteranya sedangkan
beliau menyelamatkan diri. Beliau sanggup berada bersama para tenteranya dan enggan berpisah dengan mereka. Surat kahalifah
itu telah dibalasnya. Di antara isi kandungannya:
"Biarlah Allah yang melaksanakan apa yang telah ditakdirkan-Nya buat kami semua."
Tidak lama kemudian, terdengar berita bahawa Abu Ubaidah meninggal dunia di tengah-tengah wabak itu. Mayatnya
telah dikebumikan di Jordan.