Jangan Layan Seruan Provokatif

Rakyat seluruh negara digesa tidak melayan seruan provokatif dan tidak bertanggungjawab dari mana-mana pihak yang tidak dikenali untuk mengingati gelombang setahun gerakan reformasi yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato'Seri Anwar Ibrahim sejak 4 September tahun lepas.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional (KeAdilan), Mohd Anuar Tahir berkata, pihaknya menerima pelbagai cadangan untuk sambutan itu termasuk pemasangan bendera serta perhimpunan aman secara besar-besaran di Dataran Merdeka.

Walaubagaimanapun, katanya, sambutan setahun reformasi perlu dibuat dengan rasional, bersemangat dan jiwa yang besar untuk mengelakkan daripada tercetusnya insiden yang tidak menguntungkan perjuangan.

“Kita memang tidak mahu tarikh itu berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa kegiatan dilakukan untuk memperingatinya tetapi ia harus dibuat dengan teliti untuk tidak memberi ruang kepada musuh mempergunakannya,”katanya dalam kenyataan akhbar di sini.