Arahan Naib Canselor

DEBAT UM DIARAH TANGGUH

KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang menganjurkan debat mengenai isu mahasiswa berpolitik diarahkan oleh Naib Canselor universiti itu, Dato Abdullah Sanusi sehari sebelum tarikh debat itu sepatutnya diadakan.

Presidennya, Mohd Nasir Zakaria berkata, pihaknya dimaklumkan secara lisan mengenai perkara itu oleh salah seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar UM petang Isnin lepas dan ia akan ditangguhkan sehingga dua minggu.

Debat itu sepatutnya diadakan pada Selasa (22 Jun) akan dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Mahfudz Omar, Ahmad Noh (Ahli Parlimen Tanjung Karang), Suhaimi Ibrahim (Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), Ruslan Kassim (Ketua Penerangan Parti KeADIlan Nasional) dan Borhan Che Daud (Presiden Persatuan Mahasiswa UM).

Nasir berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pegawai itu bahawa penangguhan itu terpaksa dibuat akibat daripada peristiwa debat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Dalam debat di UKM, dua ahli panel daripada penyokong kerajaan iaitu Suhaimi dan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Zein Isma disorak oleh mahasiswa UKM.

Bagaimanapun, katanya, beliau menerima baik penangguhan itu dan menyangka baik bahawa arahan penangguhan itu tidak berniat untuk menyekat kebebasan mahasiswa.

"Kita menerima arahan penangguhan itu dan kita berharap ia tidak dibuat untuk menyekat kebebasan mahasiswa," katanya.

Beliau juga memberikan jaminan debat itu akan diadakan dua minggu lagi dan pihaknya berharap ia akan dibuat di tempat yang lebih besar iaitu Dewan Tunku Canselor yang boleh memuatkan 5,000 orang.

Hantar Komen Anda