Satu Lagi Mangsa Pengkorporatan

YAYASAN BASMI KEMISKINAN PAHANG GAGAL BANTU

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pelajar menjadi mangsa pengkorporatan institusi pengajian tinggi apabila tidak mampu membayar yuran pengajian sejumlah RM15,885 untuk mengambil kursus Diploma Masakan di Institut Teknologi Tun Abd Razak (ITTAR).

Sebelum ini, Harakah melaporkan mengenai nasib Mohd Taqiyuddin Yusof yang juga menghadapi masalah untuk membayar kadar yuran yang tinggi untuk menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagaimanapun, isu kegagalan pelajar Melayu meneruskan pengajian akibat masalah kewangan tidak mendapat tempat dalam Perhimpunan Agung Umno lepas dan Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Razak mengakhirinya dengan mengugut akan menghantar guru ke "pulau" sekiranya masih menyokong pembangkang.

Pelajar berkenaan, Zainal Amran Mokhtar daripada Pekan, Pahang ditawarkan untuk mengikuti kursus diploma itu berasal daripada keluarga yang miskin yang tidak mampu menanggung kos pengajiannya.

Bapanya telah meninggal dunia sejak tahun 1995 manakala ibunya yang tidak mempunyai kerja tetap perlu menanggung adik-beradiknya yang lain seramai tujuh orang.

Zainal berkata, beliau telah cuba memohon bantuan kewangan daripada pihak-pihak berkenaan termasuk Yayasan Pahang dan Mara untuk mendapatkan pinjaman tetapi gagal kerana dikatakan ITTAR tidak ditaja oleh pihak tersebut.

Beliau juga telah berjumpa dengan pegawai-pegawai institusi kewangan tetapi ia memerlukan peminjam dan penjamin yang berkelayakkan.

"Sedangkan saya tidak mempunyai ahli keluarga atau saudara-mara yang berkelayakan (berpendapatan tinggi) sepertimana yang dikehendaki oleh bank," katanya.

Manakala Yayasan Basmi Kemiskinan Pahang pula hanya mampu menyediakan satu surat sokongan kepadanya untuk mendapatkan sumbangan daripada mana--mana pihak.

"Oleh sebab itu bagi meneruskan cita-cita saya, saya menggunakan cara ini dengan memohon kepada pihak yang bersimpati dengan saya untuk menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menampung pengajian saya," katanya kepada Harakah.

Segala sumbangan boleh dihantarkan kepada Zainal Amran Mokhtar(KP 801208-06-5296) di alamat DR 278, Kg Kuala Pahang, 26690 Pekan, Pahang atau dimasukkan dalam akaun GIRO 5-3922522-3 Bank Simpanan Nasional Kuantan.