UMNO EJEN PENJAJAH



KUALA LUMPUR: Umno yang lebih tepat untuk menjadi ejen negara asing kerana penubuhan Umno itu sendiri adalah ilham penjajah Inggeris bagi merealisasikan perlaksanaan sekularisme dan meneruskan dasar-dasar penjajah.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abd Hadi Awang berkata, ini dapat dilihat dari sistem Barat dalam politik, ekonomi sehinggalah kepada kebudayaan dan pendidikan yang diteruskan oleh Umno di negara ini.

"Di samping itu, ia juga disebarkan oleh jentera-jentera kerajaan yang dikuasai oleh Umno," katanya ketika diminta mengulas mengenai ucapan dasar Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa parti-parti alternatif disokong oleh ejen asing.

Abd Hadi berkata, PAS mempunyai bukti yang jelas daripada perkara-perkara negatif yang banyak melanda negara ini samada yang dilesen atau diberikan kebenaran oleh kerajaan Umno bahawa Umno yang meneruskan agenda penjajah.

Menurutnya, apa yang didakwa oleh Dr Mahathir bahawa pilihanraya akan datang akan dipenuhi dengan taktik kotor sebenarnya dimulakan oleh Umno sendiri.

Pengumuman tarikh pilihanraya yang disembunyikan oleh kerajaan adalah bukti permulaan taktik kotor yang dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sedangkan di negara-negara lain, tarikh pilihanraya diumumkan lebih awal sehingga lebih setahun sebelum tarikh sebenarnya, jelasnya.

"Tetapi kerajaan Umno sengaja menyembunyikannya dan hanya mengumumkan tarikh pilihanraya apabila keadaan menguntungkannya," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan pembangkang akan menggunakan taktik kotor kerana jentera-jentera kerajaan dikuasai oleh Umno dan sehingga ini, Umnolah yang menggunakan politik wang, salah guna jentera kerajaan yang bercanggah dengan konsep demokrasi berparlimen.

Mengenai kerjasama PAS dengan parti-parti alternatif dan cadangan menerima ahli bukan Islam, Abd Hadi berkata, kerjasama itu adalah diharuskan mengikut syarak untuk menentang kerajaan yang zalim.

"Apa yang dikatakan oleh dikatakan oleh Dr Mahathir mengenai kerjasama itu menunjukkan beliau tidak memahami tentang soal itu," katanya.

Dalam Islam ada pelbagai bentuk kerjasama dengan golongan bukan Islam seperti tahaluf, aman, istianah, wala', suluh dan muwadaah dan ianya boleh dihukumkan sebagai harus, wajib ataupun haram, ujarnya.

Menurutnya, kerjasama yang dijalinkan oleh PAS sekarang adalah harus bagi menentang kezaliman dengan mempunyai maslahah yang diizinkan oleh Islam serta syarat-syarat tertentu.

Kerjasama itu berbeza dengan kerjasama yang dilakukan oleh Umno yang sanggup menjual maruah dan ketuanan umat Islam di negara ini seperti tidak mensyaratkan Perdana Menteri sebagai seorang Islam, tambahnya.

Beliau berkata, segala tuduhan Dr Mahathir menunjukkan kebimbangan beliau dan pimpinan kerajaan bahawa penyelewengan yang mereka lakukan akan terbongkar jika parti-parti alternatif memenangi pilihanraya akan datang.

"Kita yakin dan percaya rakyat yang memberikan sokongan kepada PAS dan parti alternatif adalah yang cinta kepada keamanan dan parti alternatif juga mampu membangunkan negara ini," katanya.