PAS JAMIN PERKHIDMATAN KESIHATAN PERCUMA




KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan perkhidmatan rawatan asas percuma disediakan untuk semua rakyat, di samping menjamin wujudnya perkhidmatan rawatan swasta untuk mereka yang mampu dan memerlukannya sekiranya memenangi pilihanraya umum akan datang.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, PAS menentang cadangan kerajaan sekarang untuk mengswastakan sepenuhnya perkhidmatan kesihatan seperti yang sedang dilaksanakan sekarang.

Beliau berkata, cadangan itu jika dilaksanakan sepenuhnya akan menyebabkan rakyat membayar kos mendapatkan rawatan mengikut kadar pasaran dan ia akan membebankan rakyat yang kurang berkemampuan.

"Jika kerajaan berjimat cermat dalam aspek yang lain, PAS percaya kerajaan mampu untuk memberikan perkhidmatan kesihatan secara percuma," katanya di sini.

Dalam tempoh sepuluh tahun lepas, kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya memperuntukan sejumlah kecil daripada belanjawan negara untuk sektor kesihatan misalnya pada tahun 1995, sejumlah RM2.5 bilion atau 5.31 peratus sahaja.

Mengenai pusat kesihatan swasta, Dr Hatta berkata, PAS akan membenarkan kewujudannya tetapi kerajaan akan menentukan kasar bayaran yang selaras dan terkawal supaya rakyat tidak diekploitasikan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

PAS juga akan memperbanyakkan pusat-pusat kesihatan dengan tujuan memperbaiki nisbah klinik: penduduk dengan lebih baik bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih bermutu, ujarnya.

Sehingga tahun 1995, terdapat 111 buah hospital kerajaan, klinik desa (1987), pusat kesihatan (772), klinik gigi (1436), klinik kanak-kanak dan bersalin (102) serta klinik bergerak (284) di bawah tanggungan kerajaan.

Di samping itu, katanya, PAS juga akan memperbaiki mutu perkhidmatan ibu dan anak dengan meningkatkan kelengkapan dan kecanggihan klinik-klinik luar bandar.

" PAS bercadang untuk menambah peruntukan untuk kegiatan-kegiatan promosi dan pendidikan kesihatan dan kegiatan pencegahan dan pemantauan penyakit," ujarnya.

Untuk itu, PAS juga akan memastikan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan sekarang dinilai kembali untuk memastikan ianya benar-benar mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, tambahnya.