Kerajaan Malaysia Tolak Ibrahim Ali

Kerajaan Malaysia menolak kenyataan mana-mana pihak yang cuba menafikan sumbangan kerajaan Brunei atau Sultannya, Sultan Hassanal Bolkiah menurut kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh akhbar Borneo Bulletin di Brunei itu, kerajaan Malaysia menyedari sumbangan besar yang telah diberikan kepada Islam dan negara-negara Islam oleh kerajaan Brunei khususnya Sultan Hassanal Bolkiah.

Akhbar itu juga melaporkan, pesuruhjaya tinggi Malaysia juga memberikan perhatian terhadap laporan Harakah yang telah menimbulkan perasaan kurang senang di pelbagai sektor di Brunei.

Selain itu, Majlis Belia Brunei menyerahkan memorandum bantahan Kedutaan Malaysia di Brunei, Khamis lepas berhubung kenyataan menghina Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Ibrahim Ali terhadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah baru-baru ini.

Borneo Bulletin melaporkan, Presiden majlis itu, Pangiran Suhaimi Pangiran Wahid bersama kira-kira 70 anggotanya bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di pejabatnya di Bandar Sri Begawan untuk menyuarakan kekecewaan mereka dan menyerahkan surat bantahan mereka.

“Tujuan kami adalah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang dilakukan oleh beberapa ahli politik Malaysia yang menggunakan Brunei dan raja kami untuk percakaran politik mereka,”kata Pangiran Suhaimi

Ibrahim Ali yang suka membodek sudah dua kali merendahkan sultan Brunei dalam ceramahnya di Gombak dan Shah Alam sebelum ini

“Kenyataan sedemikian hanya akan merosakkan hubungan baik yang sedia terjalin antara Brunei dan Malaysia yang merupakan negara anggota ASEAN,” tambahnya lagi.

Borneo Bulletin juga melaporkan majlis itu yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan sukarelawan menuntut Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Brunei menerusi akhbar di Brunei atau Malaysia.

Sementara itu akhbar News Express pula melaporkan pihaknya menerima banyak panggilan dari orang ramai yang terkejut dan marah dengan kenyataan Ibrahim tersebut.

Ketua Pengarang