DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
UCAPAN KETUA PEMUDA DI MUKTAMAR TAHUNAN 
DEWAN PEMUDA PAS PEMUDA KE-40


MEMIMPIN PERUBAHAN

* Saudara Pengerusi Tetap;
* Al-Fadhil Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj. Awang, Timbalan Presiden PAS;
* Wakil-Wakil PAS Pusat;
* Saudara Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat;
* Saudara-Saudara Ahli Jawatankuasa Kerja DPP Pusat;
* Ketua-Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri;
* Para Perwakilan dan Dhif-dhif Jemputan;
* Pemerhati Dan Hadirin Yang Dikasihi Sekalian;

AlhamduliLlah, segala puji dan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah S.W.T. di atas segala nikmat dan kurnia-Nya maka dapat kita bersama di majlis bersejarah Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat Ke-40 pada pagi ini.

Muktamar ini besar dan bersejarah kerana kita berada di ambang pilihanraya umum negara dan sinar kemenangan sedang memancar membawa harapan besar kepada rakyat jelata.

Kami, saf kepimpinan DPP Pusat, mengalu-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kehadiran YB Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj. Awang, Timbalan Presiden PAS bagi merasmikan Muktamar Tahunan ini. Kami juga mengalu-alukan tuan-tuan tetamu kehormat, sahabat-sahabat yang dikasihi perwakilan, pemerhati dan seluruh tenaga pejuang ke majlis yang serba sederhana ini. Mudah-mudahan dengan kehadiran tuan-tuan akan menjadikan majlis muktamar ini dilimpahi keberkatan daripada Allah Azza wa Jalla. Sepanjang abad ke-20 Masehi ini kita menyaksikan pelbagai penderitaan ummah di setiap penjuru dunia. Penguasaan golongan imperialis terhadap sistem sosio-ekonomi-politik global telah sampai ke puncaknya. Bahkan dominasi mereka terhadap teknologi dan penyebaran maklumat telah menyempurnakan perancangan jahat untuk menguasai denyut nadi ummah dan membendung kebangkitannya. Dalam kancah globalisasi ini dunia Islam menyaksikan penubuhan demi penubuhan pelbagai bentuk jamaah dan kumpulan yang bekerja untuk memajukan Islam. Namun begitu keupayaan umat untuk melumpuhkan kekuatan musuh masih dipersoalkan. Pertembungan politik di antara kumpulan yang memperjuangkan Islam dan kumpulan sekular menjadi proses dan ujian memantapkan jamaah umat di sesebuah negara. Kejayaan gerakan Islam memenangi hati rakyat dalam pilihanraya dianggap suatu ancaman besar terhadap survival golongan sekular yang menguasai negara-negara umat Islam - seperti yang telah dan sedang berlaku di Algeria, Turki, Mesir dan lain-lain. Pemerintah sekular di Malaysia tidak terkecuali terus melakukan segala tipu helah dan kezaliman bagi mengekalkan kuasa dan meneruskan agenda sesat sekularisme mereka. Namun, para ulama dan intelektual yang memimpin gerakan Islam terus membuat persiapan untuk menerima amanah melaksanakan syariat Islam bila sahaja kemenangan dianugerahkan oleh Allah S.W.T.. Alhamdulillah, dengan rahmat-Nya, PAS telah berjaya menempuh badai perjuangan untuk menjadi satu gerakan ummah di negara ini. PERANAN PEMUDA Sejak empat puluh tahun lalu DPP Pusat bersama dengan organ-organ lain di dalam parti membuat pencapaian-pencapaian besar mentajdidkan tonggak kekuatan parti yang kita masyhurkan pada hari ini sebagai kepimpinan ulama. Kini hampir dua dekad PAS mempunyai Majlis Syura Ulama dan PAS di bawah kepimpinan ulama terus maju dan mantap. Pemuda PAS akan terus memberikan dukungan dan wala' kepada kepimpinan ini serta menjadi elemen aktif sehingga rakyat dan negara dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan hidup bernegara dengan syariat Islam. Pemuda juga telah berjaya memberi sumbangan memajukan organisasi parti. Pastinya hari ini, organisasi Dewan Pemuda PAS kelihatan cergas di semua peringkat dan memberi kesan kepada pembangunan manusiawi di dalam negara. Ia diperlihatkan dengan kejayaan Pemuda melahirkan saf kepimpinan pelapis dan tenaga-tenaga kerja profesional untuk menterjemahkan visi dan misi Pemuda secara realistik dan berkesan melalui unit-unit kerja seperti PASTI, Unit Amal, Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP), Unit Guaman Pemuda, Jabatan Kerajaan dan Swasta (JKS), Jawatankuasa Akademik IPT dan lain-lain. DPP juga telah berusaha memajukan beberapa instistusi pembangunan sumber manusia yang bergerak sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memberi sumbangan kepada rakyat dan menjadi badan yang membantu melakukan check and balance serta pelengkap pembangunan negara. Bagaimanapun untuk mencapai tahap gerakan yang sebenar, keupayaan unit kerja jamaah Pemuda di setiap cawangan dan keupayaan mereka bekerja di kalangan anggota masyarakat setempat mestilah terus dipertingkatkan. Keperluan ini lebih mendesak dengan kemasukan begitu ramai ahli-ahli baru PAS khususnya dari kalangan generasi muda. Program tarbiyah berterusan terutama untuk ahli-ahli baru mestilah disegerakan supaya kemurnian aqidah, keseragaman fikrah dan tindakan, kesegaran semangat jihad, komitmen bekerja dengan ikhlas dan berdisiplin berada di tahap maksimum. Program dan pelan tindakan bagi memproses ahli baru termasuk memanfaatkan segala sumber yang ada bersama mereka hendaklah dijana untuk menjadi kekuatan besar kepada perjuangan Islam. Budaya kerja amal jamaie, pembinaan imej dan citra perjuangan PAS yang lebih menawan bagi menyakinkan orang ramai kepada PAS sebagai parti alternatif mestilah terus menjadi agenda penting Pemuda di semua peringkat. Kerana itu imej diri Pemuda, imej pimpinan Pemuda, imej kerja Pemuda, imej bangunan dan pejabat Pemuda, imej pengurusan Pemuda dan imej profesional Pemuda PAS wajarlah terus menerus digilap dan dipertingkatkan sehingga kita menjadi role model kepada dunia dan menyaksikan diri di hadapan Rasulullah bahawa kita telah melaksanakan amal Islami sebaik-baiknya. Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) : "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu dan (begitu pula) dalam (al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong." Al-Hajj (22) : 78 Pemuda wajib membuat persiapan diri untuk menguasai sifat-sifat mulia yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. Ia merangkumi sifat-sifat pemimpin dan rakyat yang layak menerima pertolongan Allah di dunia dan akhirat dan inilah matlamat manhaj tarbiyah yang sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah s.a.w. (yang bermaksud) : "Abu Hurairah (r.a.) berkata, bersabda Rasulullah (s.a.w.) : Tujuh macam orang yang bakal dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan Allah : Imam (pemimpin) yang adil; Pemuda yang tetap taat beribadat kepada Allah; Seorang yang hatinya selalu bergantung pada masjid (iaitu memerhatikan waktu solat berjemaah di masjid); Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah baik ketika bertemu atau berpisah; Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan yang cantik tetapi ia menolak dengan katanya : "Aku takut kepada Allah"; Seorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga tidak diketahui oleh yang kiri apa yang dilakukan oleh kanannya; Seorang yang berzikir ingat kepada Allah sendirian sehingga bercucuran airmatanya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pemuda adalah penggerak utama kepada perubahan. Pada tempat tertentu mereka bersikap participative dengan memberi ruang untuk anggota masyarakat ikut terlibat di dalam program-program yang dianjurkan. Ada kalanya mereka menjadi agen yang menyokong kepada elemen-elemen pembangunan masyarakat. Sebagai pemuda Islam mereka juga tampil sebagai kuasa yang mampu menempuh cabaran sebagai bukti kepimpinan yang terbaik dan dinamik untuk negara majmuk ini. Pemuda hendaklah memperhebatkan program penerangan mengenai kerajaan alternatif yang digagaskan melalui sesi dialog, seminar, forum, konvensyen di semua. Pengurusan belia juga hendaklah dipertingkatkan bagi membendung keghairahan pihak-pihak tertentu menganjurkan konsert-konsert hiburan yang melalaikan. Kita berharap pemimpin-pemimpin belia negara ini lahir dari kalangan pekerja-pekerja muda yang memahami citarasa perjuangan Islam dan usaha menegakkan daulah Islamiyah Malaysia. Pemuda wajiblah sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihanraya umum kesepuluh. Parti dan perjuangan adalah menjadi keutamaan kepada setiap anggota pemuda tanpa dilekakan atau diseleweng oleh matlamat kebendaan. Mengorbankan kepentingan peribadi adalah identiti perjuangan kita. Setelah empat puluh tahun, Pemuda tentulah sudah matang mengenali musuh dan realiti medan perjuangan. Penglibatan kita dalam sistem Demokrasi Berparlimen tidak menjanjikan kemenangan mudah seperti yang dialami oleh gerakan Islam yang terlibat dalam kancah demokrasi di Algeria, Turki, Mesir, Pakistan dan lain-lain. PAS telah melakukan pendekatan yang terbaik dengan mengambil langkah rasional ke arah persepakatan politik (at-tahaaluf as-siyasi) dan menerima kemungkinan perkongsian kuasa (power sharing) dalam menghadapi pilihanraya akan datang. Semua ini menuntut kita bersikap lebih terbuka dan accomodative tetapi sentiasa waspada kepada semua pihak yang menghulur setiakawan. Kebijaksanaan politik Perjanjian Hudaibiyah mestilah sentiasa diamati bersama.

Muka Sebelah