KEMELUT ANTARABANGSA

Seperti juga di dalam konteks sebuah negara, masyarakat dunia sebenarnya memerlukan kelahiran kepimpinan Islam sebenar untuk menyelesaikan segala konflik yang membarah. Selagi dunia dicengkam oleh kekuasaan zionis dan sekutu-sekutunya, selagi itulah seluruh warga dunia akan dihimpit dengan pelbagai krisis antarabangsa yang tidak berkesudahan. Langkah pertama ialah bagi melahirkan perpaduan dan kerjasama menyeluruh di kalangan negara-negara umat Islam. Matlamat ini hanya akan dicapai apabila umat Islam berjaya menumbangkan regim sekular di negara masing-masing dan digantikan dengan kerajaan Islam. 

DPP Pusat akan terus memainkan peranan aktif bersama dengan belia Islam seluruh dunia bagi membantu kebangkitan umat membebaskan bumi Islam daripada penjajahan zionis. Kini kita melihat peranan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan International Islamic Federation of Student Organisations (IIFSO) sudah tidak berfungsi lagi sebagai forum yang menggerakkan kebangkitan pemuda Islam antarabangsa. 

Justeru, DPP Pusat akan bersama dengan gerakan belia Islam di seluruh dunia bagi membina rangkaian baru belia Islam yang akan benar-benar berperanan sebagai pertubuhan belia Islam di peringkat antarabangsa (bukan sekadar gagasan yang bersifat tempatan tetapi berperanan di peringkat  antarabangsa).

DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bebal berterusan yang dilakukan oleh regim sekular dan pihak tentera di Turki menindas umat Islam. Regim sekular yang sedang berkuasa di Turki adalah bapa sekular di dunia Islam dan seluruh gerakan Islam mestilah membulatkan tindakan bagi memastikan segala kezaliman mereka dihentikan. Pemimpin-pemimpin negara umat Islam adalah bertanggungjawab di atas segala tragedi yang berlaku di bumi Balkan, Palestin, Kashmir, Indonesia, Mindanao, Myanmar, selatan Thailand, wilayah kediaman umat Islam di China, Iraq dan lain-lainnya. Ternyata pemimpin-pemimpin di negara umat Islam gagal menyelamatkan bumi Kosovo daripada medan ujian senjata Amerika Syarikat dan semua sekutunya. 

DPP Pusat juga memberi amaran keras kepada gerakan misionari kristian di seluruh Asia Tenggara supaya tidak mengeksploit keadaan di Timur Timor, Acheh, Indonesia dan di beberapa wilayah lain di Asia Tenggara bagi kepentingan sempit pelobi-pelobi kristian. 

Mereka hendaklah menghentikan segera segala perancangan jahat untuk merosakkan umat Islam di rantau ini.


ABAD KE 21 ABAD ISLAM


Setelah kematian komunisme pada penghujung dekad 80-an, dunia menjangka hanya tinggal satu kuasa sahaja yang menentukan tata sejarah dunia iaitu sistem pasaran bebas yang diterajui oleh elit pedagang antarabangsa. Inilah suasana ketika kebangkitan Rasulullah s.a.w. di Mekah lebih 1420 tahun yang lalu. Sejarah akan berulang untuk Islam kembali sekali lagi mengubah tamadun manusia untuk tunduk kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) :

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik."
An Nuur (24) : 55

Marilah kita menjadikan abad ke-21 sebagai abad dakwah Islamiyah dan perbincangan intelektual untuk kesejahteraan umat manusia di seluru pelusuk dunia melalui dialog, forum, seminar dan seumpamanya di samping tidak melupakan semangat jihad yang menjadi teras kemuliaan ummah (al jihad sanamul Islam).

Saya yakin Pemuda PAS terus mantap dalam memimpin ummah melaksanakan perubahan menjadikan Malaysia baldatun thayyibah wa rabbun ghafur. Saya percaya Pemuda akan mempelopori pendekatan-pendekatan baru menghadapi cabaran-cabaran besar di dalam perjuangan. Setelah sedekad memimpin Pemuda, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas segala pencapaian dan segala sumbangan yang telah diberikan oleh Pemuda di semua peringkat sehingga Dewan Pemuda berada di tahapnya pada hari ini. Saya memohon kemaafan di atas segala kekurangan atau kesilapan sepanjang khidmat saya, mudah-mudahan diberkati dalam segala amal jihad yang kita curahkan.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil Hamd

Ke Muka Pertama