Diceritakan
oleh Ustaz Mohamad Din Yusoh
Utas
Travel and Tours Sdn.Bhd.
Beberapa hari selepas kami berada di Mekah, saya mula terdengar cerita-cerita
daripada jemaah yang saya bawa tentang hubungan dingin antara seorang ibu
dengan anak lelaki dan menantunya. Si ibu berusia 60-an sementara anak
dan menantunya akhir 30-an. Mereka bertiga ialah antara beberapa ratus
jemaah yang saya bawa untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu.
Saya diberitahu, hubungan dingin itu sebenarnya bermula sejak di Malaysia
lagi kerana wanita berkenaan kurang senang dengan perangai menantunya yang
sombong dan mengongkong suami. Kerana hidup dalam kemewahan, menantunya
itu tidak menghormati wanita berkenaan selayaknya sebagai mentua, apatah
lagi seperti ibunya sendiri.
Seperkara lain yang wanita itu benar-benar kecewa ialah biarpun anaknya
itu ahli perniagaan berjaya, tetapi apabila berhadapan dengan isteri, dia
jarang membantah, apa lagi mengangkat suara. Apa sahaja kehendak isteri
diturutkan walaupun kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya.
Walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, wanita tersebut kesal
kerana anak dan menantunya itu amat jarang balik ke kampung. Apatah lagi
hendak tidur disana. Kalau singgah pun menantunya tidak mahu berada lama
di rumahnya. Pelbagai alasan diberi supaya mereka cepat berangkat pulang.
Si ibu tadi telah menasihatkan anaknya supaya menegur sikap buruk isterinya
itu, tetapi ia seperti tidak dilayan. Menantunya terus bongkak dan sombong.
Si ibu juga mengingatkan anaknya jangan terlalu menurut kehendak isteri,
namun dari sehari ke sehari, anaknya itu tetap mengikut telunjuk isterinya.
Saya dimaklumkan juga, wanita tersebut berkecil hati kerana menantunya
tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau boleh dia mahu pergi ke
Tanah Suci bersama suaminya sahaja tetapi kerana lelaki berkenaan berkeras
juga hendak membawa ibunya sekali, dia terpaksa mengalah, namun dengan
bibir yang memuncung panjang dan kata-kata sinis serta sindiran tajam.
Kerana itulah sejak sampai ke Madinah dan Mekah hubungan dingin itu menjadi
semakin parah.
Oleh kerana mereka tinggal sebilik, si anak dapat melihat sendiri di depan
matanya hubungan buruk antara ibu dengan isterinya. Pada mulanya dia tidak
mengendahkan sangat kerana kedua-duanya orang yang dia sayang. Tambahan
pula dialah yang membayar semua perbelanjaan mereka bertiga untuk ke Mekah.
Tetapi semakin hari perselisihan faham itu bertambah parah. Hubungan ibu
lelaki tadi dengan isterinya semakin buruk. Bukan sekali mereka bertegang
leher. Si ibu yang telah agak lanjut usianya, pastilah hendak supaya sentiasa
dilayan hati dan perasaannya. Tetapi menantunya pula sombong dan panas
baran. Dia tidak suka melayan kehendak mentuanya itu yang baginya cerewet.
Akibat perselisihan faham, mereka tidak menegur sapa dan si ibu pula enggan
memakan makanan yang dimasak oleh menantunya itu. Ini menyebabkan si anak
tadi terpaksa membeli makanan diluar untuk ibunya.
"Macam
mana isteri kau nih Man. Emak pun tak dihormatnya. Emak minta tolong sikit
dia membebel. Emak nak itu dia tak layan, nak ini, dia tak peduli, "rungut
si ibu kepada anaknya.
"Abang
tengok-tengoklah sikit emak abang tu. Cerewet, nak itulah, nak inilah,
macam-macam. Saya dah cakap jangan bawa abang nak bawa juga. Hah...sekarang
macam mana?" kata si menantu pula dengan suara yang kasar.
Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak berasa amat
tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri bermasam muka. Hendak
dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula terasa hati. Jadi sedaya yang boleh
dia cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada pertelingkahan
itu.
Perbalahan mereka tiga beranak terbawa-bawa keluar. Apabila berjalan, duduk
di meja makan atau bersiar-siar, masing-masing membawa arah sendiri. Akhirnya
masalah itu dihidu oleh jemaah-jemaah lain. Mereka mula menjadi perhatian.
Begitu juga saya. Pelbagai cerita yang saya dengar tentang mereka.
Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit menyebelahi
isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah kerana terlalu banyak
meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.
"Orang
tua, macam tulah yang," kata lelaki itu memujuk isterinya.
Suatu hari, si ibu memanggil anaknya. "Man, boleh tak kau belikan sejadah
untuk emak? Di kedai bawah tu aja, "katanya. "Emak nak berapa?" soal anaknya.
"Dalam 10 helai." "Eh, nak buat apa banyak-banyak?" soal si anak lagi.
"Alaaah....nak buat kenangan, lebih tuh nak kasi pada kawan-kawan dan orang
kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat pahala sama," kata si ibu dengan
tersenyum.
Mendengar permintaan mentuanya itu, isteri si anak menarik muka masam.
Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai isyarat "Jangan layan!" Kemudian
mukanya ditoleh ke arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu
menuruti permintaan ibunya, kembali ke tempat duduk.
"Tak
bolehlah mak. Saya penatlah. Nantilah bila nak balik nanti saya belikan,"
jawab si anak.
Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia kecewa anak
kesayangannya itu sanggup mengetepikan permintaannya, sebaliknya menurut
saja apa kata isteri.Lantas dia berkata,"Kau nih Man,emak nak benda tu
pun tak boleh beri. Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya
pun kau nak belikan barang lagi. Emak ni kau belikan sedikit aja. Sampai
hati kau Man."
Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan tetapi tanpa disangka
anaknya naik berang.Dengan meninggikan suara, dia memarahi ibunya.
"Emak
ni! Apa mak nak buat dengan barang-barang tu? Mak kan dah tua, buat apa
nak beli itu beli ni. Isteri saya adalah sebab saya beri macam-macam, sampai
penuh beg. Saya ada anak. Saya nak belikan barang-barang untuk anak kami
juga!" katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan marah.
Isterinya pula tersenyum puas.
Si ibu terkejut, lantas berkata, "Sampai hati kau cakap macam tu dengan
emak. Aku ni emak kau, tak boleh kau tengking herdik. Kalau sayang bini
pun janganlah sampai emak sendiri engkau ketepikan, engkau marah-marah,
"katanya dengan kecewa.
Si anak bertambah berang. "Emak tu dah tua,buatlah cara tua! Jangan nak
minta itu minta ini!"
Ibunya makin terkilan.Hatinya begitu hancur apabila anak yang dipeliharanya
sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup mengherdiknya sebegitu rupa.
Tindakan anaknya yang sudah melampau itu menyebabkan si ibu marah.
Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata, "Man, Aku ni emak
kau tau. Aku yang lahirkan engkau. Bila masa isteri engkau beranakkan kau?
Bila masa dia besarkan kau?
"Ingat
Man, emaklah yang susah payah jaga kau, cari duit nak besarkan kau, hantar
ke sekolah sampai kau berjaya sekarang. Tapi bila dah berjaya kau buat
emak macam ni. Isteri kau lebihkan daripada emak kau sendiri. Dengan isteri
kau cakap dengan baik tapi emak kau sendiri kau tengking-tengkingkan."
Dan dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, "Kalau beginilah sikap engkau
Man, mulai hari ini emak haramkan susu emak yang dulunya kau minum!"
Takdir Allah, serentak dengan kata-kata si ibu tadi,anaknya terus jatuh
terjelepok ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata tersebut seolah-olah
"membunuh" si anak tadi serta-merta. Begitu cepat balasan Allah kepada
hamba-Nya. Tanpa menoleh kepada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu
tadi bergegas keluar dari biliknya. Sambil berjalan dia mengesat air matanya
yang menitis dengan lengan bajunya. Dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Sementara itu si anak pula terkulai dengan mata terkebil-kebil. Badannya
longlai dan lembik. Isterinya pula menangis tersedu-sedu.
Sejak itu kesihatan si anak mula terganggu. Badannya seperti sedang sakit,
namun apabila diperiksa, doktor gagal mengesan apa puncanya. Bagaimanapun,
bala yang menimpanya itu masih gagal menyedarkan si anak tadi. Dia dan
isterinya tetap enggan bertegur sapa dengan ibunya. Apa yang telah menimpanya
langsung tidak diambil iktibar. Bagi lelaki berkenaan, apa yang berlaku
bukanlah balasan Allah dan tubuhnya tidak sihat juga bukan satu petunjuk
daripada Allah tentang kesilapannya. Ia cuma kebetulan.
Tinggallah si ibu tadi memendam perasaan kesal dan kecewa. Biarpun duduk
sebilik dia diasingkan oleh anak dan menantunya sendiri. Makanan dan minuman
terpaksa dia pergi membelinya di luar. Di bilik, dan apabila berada di
luar dia lebih banyak termenung dan menangis. Jika jemaah lain bertanya
mengapa, atau di mana anak dan menantunya, wanita tersebut tidak menjawab.
Sebaliknya terus menangis dan menangis.
Anak yang derhaka tidak akan terlepas daripada balasan Allah. Kesihatan
si anak tadi semakin buruk. Badan dan kakinya lemah hingga dia tidak terdaya
untuk berdiri sendiri. Akibatnya si anak itu terpaksa dipapah dan diusung
semasa wukuf, sai, melontar jamrah, tawaf dan sebagainya. Badannya benar-benar
lemah untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut.
Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si ibu tadi menunaikan
haji bersama-sama kami, dengan bantuan dan pertolongan kami, bukan oleh
anak dan menantunya. Masing-masing menjauhkan diri dan tidak bertegur sapa
seolah-olah tidak kenal antara satu sama lain. Suatu hari saya menemui
wanita tersebut.
"Mak
aji...sudahlah tu. Maafkanlah anak makcik tu. Yang lepas tu lepaslah, dia
dah terima balasannya,"kata saya.
Wanita itu cuma mendiamkan diri. Dia menangis dan mengesat air matanya
yang gugur. Saya terus juga menasihatkannya, tapi seperti tadi, wanita
itu langsung tidak mahu menjawab barang sepatah pun. Dia sebaliknya cuma
menangis. Dari raut wajahnya ternyata dia benar-benar kesal dengan sikap
anak dan menantunya hingga dia tidak sanggup lagi bercakap tentang mereka.
Selepas itu saya menemui anaknya pula.Lelaki berkenaan seolah-olah terpinga-pinga
dan tidak tahu apa yang telah berlaku dan apa yang sepatutnya dibuat untuk
menyelesaikan masalah tersebut.Isterinya pula cuma mencebikkan bibir bila
saya sebut nama mentuanya.
Begitulah keadaan mereka hingga selesai musim haji dan seterusnya kembali
ke tanah air. Sejak itu saya tidak menghubungi mereka lagi. Khabar yang
saya terima memang mengejutkan. Saya diberitahu, sejak pulang ke tanah
air si anak tadi sakit terus-menerus. Penyakitnya agak kronik dan gagal
diubati doktor.
Namun dalam tempoh itu hubungan mereka tiga beranak tetap tidak berubah.
Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih tidak insaf dengan kesilapannya.
Ibu pula yang telah terkilan dengan sikap anaknya, tetap enggan memaafkannya.
Sejak kembali dari Mekah,mereka langsung tidak mengunjungi antara satu
sama lain.
Berita terakhir saya terima ialah lelaki terbabit telah meninggal dunia
selepas menderita sakit selama 10 tahun.
"TUHANMU
TELAH MEMERINTAHKAN HENDAKLAH KAMU TIDAK BERBAKTI KECUALI KEPADA-NYA DAN
BERBUAT BAIK KEPADA ORANG TUA, JIKA SALAH SATU ANTARA MEREKA ATAU KEDUA-DUANYA
SUDAH SAMPAI UMUR TUA DAN BERADA DALAM PEMELIHARANMU, MAKA JANGANLAH KAMU
KATAKAN KEPADA MEREKA ITU KATA-KATA "AH", DAN JANGAN KAMU BENTAK MEREKA
TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA BERDUA KATA-KATA MULIA. DAN RENDAHKANLAH
TERHADAP MEREKA BERDUA SAYAP KERENDAHAN KERANA KASIH, DAN DOAKANLAH KEPADA
TUHANMU: BERILAH RAHMAT KEPADA MEREKA ITU SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MEMELIHARAKU
PADA WAKTU AKU MASIH KECIL."
[Surah
al-Israa' 7:23-24.]
Diriwayatkan
oleh Hakim, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
"SEMUA
DOSA AKAN DITANGGUHKAN OLEH ALLAH SAMPAI HARI KIAMAT NANTI APA SAHAJA YANG
DIA KEHENDAKI KECUALI DERHAKA KEPADA ORANG TUA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH
AKAN MENYEGERAKAN KEPADA PELAKUNYA DALAM HIDUPNYA SEBELUM MENINGGAL DUNIA."
CERITA
1
CERITA 2
