PENYALAHGUNAAN DADAH

 

1.0 PENGENALAN

Dadah ialah sejenis bahan kimia yang boleh mempengaruhi fungsi sistem badan dan minda. Ia boleh
dibahagikan kepada beberapa jenis seperti Opiat (heroin, morfin, candu dan kodein), Kanabis
(ganja dan hashih ), Depresen (sedatif hipnotikjenis barbiturat dan bukan barbiturat serta tranquilizer)
dan Stimulan ( jenis amfematin (LSDN), meskalin dan psilosibin ). Kegunaan utama dadah ialah
dalam bidang perubatan untuk mengubati penyakit atau mengurangkan kesakitan. Namun begitu,
terdapat sekumpulan pengguna yang menyalahgunakan dadah. Mereka mengambil dadah secara
berlebihan dan tidak mengikut nasihat doktor.

Terdapat dua jenis pergantungan terhadap dadah iaitu pergantungan secara psikologikal dan
pergantungan secara fizikal. Pergantungan secara psikologikal bermakna keinginan untuk
mendapatkan bekalan dadah supaya dapat berfungsi secara normal dan mencapai ketenangan jiwa.
Manakala pergantungan secara fizikal pula adalah untuk mengelakkan gejala-gejala tarikan seperti
sakit perut, menggeletar dan sebagainya.Jika tidak tertahan ketagihan dadah yang dialami, pengadih
dadah yang kronik sanggup menggadai maruah atau membelot keperikemanusiaan sendiri.
Penyalahgunaan dadah dilakukan melalui berbagai-bagai cara misalnya makan, minum, suntik, dan
hidu. Walau bagaimanapun, dengan menjalankan kerawatan yang sempurna, pergantungan kepada
dadah dapat diatasi seluruhnya.

Berdasarkan laporan Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan ( PEMADAM ) , masalah
penyalahgunaan dadah telah bermula sejak tahun 1970. Angka penagih dadah dijangka terus
meningkat walaupun usaha membanteras gejala tersebut terus digiatkan. Pada tahun 1996, jumlah
penagih dadah yang sudah dikenal pasti adalah seramai 30565 orang. Daripada bilangan ini 54.7
peratus ialah penagih dadah yang menagih semula manakala bakinya, iaitu bilangan penagih dadah
yang baru, mencapai sebanyak 13846 orang ( 45.3% ) daripada jumlah penagih dadah dalam negeri
pada tahun 1996. Menurut penyelidikan yang telah dilaksanakan ke atas penagih dadah yang
terjerumus dalam lurah najis dadah buat kali pertama, kaum Melayu mencapai peratusan yang
tertinggi, iaitu 76.9%, ia diikuti dengan kaum India ( 9.5% ), kaum Cina ( 9.4% ), kaum lain ( 3.7%
), dan penduduk negara asing yang merangkumi peratusan sebanyak 0.5% dalam angka tersebut.

Secara umum, majoriti daripada jumlah gajala tersebut melibatkan lelaki yang berumur 16 hingga 29
tahun. Di samping itu, terdapat dua puluh ribu orang pelajar yang menagih dadah.. Dari segi ini,
dapatlah kita menampakkan bahawa masalah remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah
sudah mencapai tahap yang amat membahayakan sebagai kesan penularan penagihan dadah ke
institusi-institusi pengajian tinggi . Pembabitan remaja dalam kerana penagihan dadah ini merupakan
satu tamparan kepada Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju kerana
generasi muda sekarang ialah tulang belakang pemimpin hari esok. Apa yang lebih merunsingkan
ialah ekoran daripada masalah tersebut yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit sosial seperti
budaya lepak. bosia, dan pelbagai jenayah.

 

2.0 PUNCA-PUNCA

Tinjauan telah dilakukan demi mengenalpasti punca-punca yang membawa kepada masalah ini agar
langkah-langkah penyelesaian dapaat diambil. Pada keseluruhannya, punca-punca tersebut dapat
dilihat melalui nilai tidak saling memahami, tidak rasional, tidak boleh membuat pertimbangan, tidak
sayang kepada nyawa dan kurang yakin pada diri sendiri.

2.1 Tidak Rasional (Faktor Peribadi Individu)

Ada di antara remaja hari ini tidak lagi menghormati ibu bapa dengan memuliakan mereka tetapi
bersikap suka menentang. Mereka bertanggapan bahawa ibu bapa berfikiran kolot serta tidak
mengikut aliran zaman ini dan ini biasanya menyebabkan mereka lebih suka bercanpur gaul dengan
rakan-rakan sebaya. Pada peringkat umur ini,mereka sangat ingin mengetahui rasa dadah dan
seterusnya ingin mencuba sendiri. Namun, sekali cuba, maka menyesal seumur hidup.

Di samping itu, penerimaan pendidikan ibu bapa yang tidak banyak merupakan salah satu faktor
yang menyebabkan anak-anak mereka kurang peka terhadap masalah sosial. Anak-anak seperti ini
kekurangan pengetahuan umum tentang kesan buruk dadah. Sikap dan kelakuan yang tidak
waspada ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang menagih dadah.
Sikap ini adalah tidak rasional. Mereka tidak berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata serta
tidak berupaya mengambil tindakan sewajarnya tanpa dipengaruhi perasaan. Kegagalan remaja hari
ini bermakna akan hancurlah masa depan negara.

2.2 Tidak Saling Memahami (Pemasalahan Dalam Institusi Keluargaan)

Ibu bapa wajib memainkan peranan melindungi dan membimbing anak mereka supaya tidak
terjerumus ke dalam gaung kehinaan dadah. Keluarga yang porak-peranda dan keadaan
latarbelakang kehidupan yang mengecewakan (keruntuhan rumah tangga; kematian ibu atau bapa;
mempunyai bapa yang pemabuk dan sabagainya) biasanya mengheret anak-anak menjadi remaja
bermasalah .Oleh itu mereka menagih dadah untuk mengelak dari kenyataan hidup.

Penceraian merupakan suatu gejala yang lumrah dan biasa dalam masyarakat hari ini. Ini bermakna
tidak wujudnya sifat saling memahami antara suani isteri dan anak-anak. Mereka tidak sanggup
saling menerima pendapat serta tidak memahami perasaan dan keperluan
masing-masing.Akhirnya,ibu bapa tidak dapat atau tidak mempunyai masa untuk memberi didikan
dan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka dan anak-anak mereka berasa
kesunyian,tidak dikasihi,tersingkir dan tidak sempurna serta mengalami nuerosis(fikiran yang tidak
tenteram).Akhirnya mereka terpaksa melupakan dan meluahkan perasaan sedih dan pilu serta putus
asa dengan mengambil dadah.

Selain itu kebanyakan ibu bapa bersikap korporat. Mereka lebih mementingkan kerjaya sendiri.
Sikap materialistik inilah yang menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap
anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan merasa status mereka tidak begitu penting dalam hati ibu
bapa. Maka, mereka akan lebih cenderung dalam mengikuti jejak rakan-rakan. Tidak wujud
kemesraan di antara ibu bapa dan anak-anak. Keperluan rohani pada anak-anak tidak dapat
dipenuhi oleh ibu bapa. Dengan kata yang lain, anak-anak tidak mendapat kasih sayang yang
secukupnya.

2.3 Tidak Boleh Membuat Pertimbangan Dan Penaakulan (Pengaruh Aspek-Aspek Lain
Dalam Sosial)

Apabila seseorang kanak-kanak meningkat remaja mereka mendapat kebebasan yang agak
lebih.Kebebasan yang diperoleh ini lebih memudahkan mereka terjerumus dalam jerat dadah.
Mereka tidak tahu menggunakan masa lapang dengan cara yang berfaedah. Mereka juga tidak tahu
memilih kawan yang baik. Oleh itu, mereka mudah berkenalan dengan rakan sebaya yang
berkelakuan buruk dan akhirnya terpengaruh dengan perbuatan mereka. Mereka kini tidak lagi
mengutamakan hubungan kekeluagaann sebaliknya mereka lebih cenderung untuk bergaul dengan
kawan-kawan. Maka mereka ingin menyesuakan diri dengan sesuatu kumpulan sebaya dengannya
dan terpaksa mengikuti jejak mereka dengan mengambil dadah.

Budaya barat yang merebak dengan berleluasa dalam sosial kita diterapkan secara tidak langsung
melalui media masa. Budaya barat ini tidak mementingkan kesucian dan nilai diri individu. Oleh itu,
belia hari ini yang tidak mempunyai atau kurang mengamalkan ajaran agama dan cuai serta tidak
berwaspada mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat dan seterusnya terjebak ke dalam lembah
dadah. Selain itu, kegiatan pengedar dadah juga merupakan salah satu aspek dalam mengheret
seseorang ke kancah kejahilan ini. Golongan yang tidak berperikemanusiaan ini meracuni jasad insan
di dunia ini. Merekalah yang sebenarnya menjadi akan umbi masalah ini. Setelah dipengaruhi oleh
aspek-aspek di atas, golongan remaja akan hilang keupayaan untuk membuat pertimbangan dan
penaakulan. Dengan kata lain, mereka tidak berkemampuan berfikir dan mengambil kira baik
buruknya sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

2.4 Kurang Yakin Pada Diri Sendiri

Penagih dadah yang bersikap negatif apabila menghadapi masalah telah menyebabkan mereka
kurang yakin pada diri sendiri. Ahli masyarakat tidak mempercayai apa yang telah dilakukan oleh
mereka. Oleh itu, mereka pun mengambil dadah untuk melarikan diri daripada masalah tersebut dan
menenteramkan jiwa mereka. Selain itu, pelajar yang gagal dalam peperiksaan atau pekerja yang
gagal dalam pekerjaan juga akan menyalahgunakan dadah. Kebanyakan mereka adalah dipengaruhi
oleh rakan sebaya apabila dalam emosi yang rendah dan menghadapi kegagalan.Terdapat juga
daripada mereka yang telah pulih tidak dapat diterima oleh masyarakat dan sanak-saudara dan ini
menyebabkan mereka berputus asa dan kurang yakin pada diri sendiri. Akhirnya, mereka pulang ke
lembah kehinaan itu lagi.

2.5 Tidak Sayang Kepada Nyawa

Penagih dadah tidak mempunyai sifat kasih sayang terhadap nyawa sendiri. Mereka yang kurang
mendapat kasih sayang dari keluarga atau masyarakat akan berasa kecewa dan terdedah diri
kepada dadah. Seseorang yang mengambil dadah, pemikiran dan pertimbangannya akan menjadi
kabur, mengakibatkan kerosakan sistem saraf sentral, badannya tidak mempunyai antibodi untuk
menghadapi serangan penyakit lain dan kesihatan seluruh badan akan terjejas. Sekiranya mereka
mengambil dadah yang berlebihan akan membawa maut.

 

3.0 KESAN-KESAN

Tabiat menagih dadah di Malaysia bagi tempoh 1967-1995 menunjukkan bahawa golongan belia
yang berumur di antara 15-29 tahun merupakan golongan yang paling parah dilanda wabak dadah,
iaitu sebanyak kira-kira 70%-80% dari mereka menggunakan dadah jenis heroin, 13.2% ganja dan
bakinya menggunakan candu, morfin dan pil-pil psikotropik. Penagihan dadah bukan sahaja
memusnahkan diri belia sendiri tetapi meninggalkan kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan
negara.

3.1 Kesan - Kesan Terhadap Seseorang Penagih Dadah

Penagih dadah menjadi ketagih . Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan seseorang terikat
kepada satu tabiat yang amat buruk yang biasanya akan berkekalan buat selama-lamanya .
Walaupun betapa gigih sekalipun seseorang yang bergantung kepada dadah berusaha untuk
meninggalkan tabiatnya, namun adalah sukar baginya untuk berjaya .

Penagihan dadah selalunya membawa kesengsaraan dan penderitaan kepada seseorang. Sekiranya
bekalan dadah tidak diperoleh , penagih akan berasa keluh-kesah , gian dan menderita . Matanya
akan berair , hidung beringus ,perut berasa sakit dan perit ,muntah serta cirit-birit. Terdapat banyak
jenis dadah yang boleh mengakibatkan kerosakan mental umpamanya amphetamines ,alkohol ,
barbiturates ,ganja dan L.S.D. Dadah juga boleh menghilangkan selera makan dan dengan itu
menyebabkan seseorang kekurangan zat makanan .Selain itu , dadah boleh mengganggu sistem
penting pada tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, metabolisme dan otot-otot.

Septicamia (peracunan darah) , penyakit kulit , pembekuan darah di dalam pembuluh darah atau
jantung dan kematian mengejut akibat kekejutan mungkin terjadi semasa seseorang penagih
menyuntik dadah ke dalam tubuhnya . Yang paling menakutkan ialah penagih juga mudah dijangkiti
penyakit AIDS ( Sindrom Kurang Daya Tahan ) kerana berkongsi menggunakan jarum semasa
mengambil dadah. Daya tahan terhadap dadah akan terbina dalam badan penagih jika dia sering
mengambil dadah . Maka , penagih perlu mengambil dos yang lebih tinggi demi mendapat
keseronokan yang sama seperti mula-mula mengambil dadah .Jika ketagihan dibiarkan berterusan ,
penagih akan mengalami gangguan mental dan menjadi tidak waras , seakan-akan gila . Dia mula
melakukan sesuatu yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan norma sosial . Malahan ,
penagih akan mengalami masalah tidur . Dia sering mengigau , fikiran menjadi kacau dan tidak
berupaya menaruh perhatian terhadap sesuatu . Emosinya turut menjadi tidak stabil ,seperti mudah
marah atau menangis . Lebih serius lagi , pengantungan terhadap dadah boleh menimbulkan perasaan
kecewa dan seterusnya membawa kepada perbuatan menjauhkan diri atau membunuh diri .

3.2 Kesan-Kesan Terhadap Keluarga Penagih

Keluarga menjadi kucar-kacir . Penagih dadah bukan sahaja menjatuhkan maruah dan nama baik
keluarga mereka di kalangan masyarakat,bahkan diri penagih akan menjadi bebanan kepada
keluarganya kerana terpaksa menghabiskan masa , tenaga dan wang untuk merawatnya . Jika ia
sudah berkeluarga , kehilangan kemahuan seks dan kegagalan menunaikan tanggung jawabnya
terhadap rumahtangga akan menyebabkan porak peranda serta perpisahan dan penceraian di antara
ahli keluarga .Jika penagih tersebut adalah seorang wanita dan telah mengandung , besar
kemungkinan akan melahirkan anak yang cacat dan ketagih dadah . Maka , sesebuah keluarga yang
mempunyai penagih tidak akan hidup dalam keadaan yang aman .

3.3 Kesan-Kesan Terhadap Masyarakat

1. Penyalahgunaaan dadah boleh membuat seseorang terjerumus ke dalam kegiatan-kegiatan
anti-sosial dan perbuatan jenayah akibat terlalu ghairah untuk mendapatkan dadah yang biasanya
secara haram . Mereka yang bergantung kepada bahan narkotik selalunya terpaksa melakukan
kegiatan-kegiatan jenayah seperti merompak dan membunuh untuk mendapatkan wang yang cukup
bagi memenuhi tabiat mereka , kecualilah mereka betul-betul kaya . Kira-kira 60 hingga 70 peratus
kejadian jenayah ada kaitan dengan masalah najis dadah sementara kira-kira 45 peratus bantuan
yang terdapat di penjara Malaysia adalah terlibat dengan dadah . Keadaan ini tentunya akan
mengganggu keamanan , ketenteraman , ketertiban peraturan dan undang-undang negara .

2. Kerosakan pemimpin masa dapan dan melemahkan keselamatan negara. Lebih dua pertiga
daripada mereka yang terlibat adalah terdiri daripada golongan belia , tidak terkecuali juga belia di
institiusi pengajian tinggi. Ketagihan ini akan merosakkan bakal-bakal pemimpin negara di masa
depan. Ini bukanlah satu perkembangan yang sihat bagi negara membangun seperti Malaysia .
Lazimnya, sesebuah masyarakat yang ramai anak mudanya menjadi penagih dadah akan menjadi
lemah dan rendah pencapaiannya, maka negara akan kekurangan sumber tenaga untuk
mempertahankan negara dari serangan musuh .

3. Masyarakat dan negara terpaksa menanggung beban . Penagih dadah umpama bangkai bernyawa
. Meraka tidak bermaya , lemah serta tidak berkemampuan menguruskan diri mereka sendiri .
Akibatnya masyarakat serta negara terpaksa menanggung beban memelihara mereka . Umpamanya
menjalankan usaha-usaha memulihkan kembali mereka dengan menubuhkan pusat rawatan dan
membeli keperluan untuk usaha-usaha pemulihan . Di samping itu juga , belanja penguatkuasaan turut
meningkat untuk menambah anggota polis , kastam , penjara , belanja mahkamah dan lain-lain lagi
untuk membendung masalah ketagihan . Selain itu , ringgit Malaysia turut mengalir keluar terutama ke
negara yang dipercayai membekalkan dadah . Ini sekaligus turut menjejaskan ekonomi negara
kerana penagih membelanjakan beratus juta ringgit setahun membeli dadah .

 

4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

Pengalaman telah menunjukkan bahawa dadah ialah satu kuasa durjana yang boleh memusnahkan
hidup berjuta-juta manusia dan mengacam keselamatan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik .
Memandangkan masalah dadah semakin berleluasa dan semakin menular di kalangan masyarakat,
pihak kerajaan telah membetangkan pelbagai strategi untuk membasmi kegiatan penagihan dadah.
Peranan ibu bapa , guru, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam
masyarakat amat diperlukan dalam perancangan pencegahan peringkat awalan untuk memainkan
peranan yang bersepadu dalam usaha kerajaan mencegah wabak dadah.

4.1 Sikap Cekal Dan Gigih Dalam Usaha Membanteras Penagihan Dadah

4.1.1 Peranan Pertubuhan Kerajaan Dan Kempen-kempen Berkenaan

Pada tahun 1983, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan dadah sebagai pengacam keselamatan
negara yang utama. Berikutan dengan pengisytiharan ini, satu Jawatankuasa Anti Dadah Kebangsaan
telah ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, sebuah Pasukan
Petugas telah ditubuhkan. Pasukan Petugas ini diberi nama Pasukan Petugas Anti Dadah yang juga
menjadi urus setia kepada jawatankuasa ini. Pasukan Petugas ini dipertanggungjawabkan untuk
merancang, mengawasi dan menggerakkan segala tindakan yang berkaitan dengan pencegahan
pengawalan dadah di dalam negara. Manakala di peringkat negeri dan daerah, Jawatankuasa Kerja
Keselamatan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah telah sama-sama
dipertanggungjawabkan bagi mengendalikan semua tindakan antidadah di peringkat masing-masing.

4.1.2 Pelaksanaan Undang-undang Dan Hukuman Yang Ketat

Bagi mencegah penyalahgunaan dadah ini, undang-undang dadah telah diwartakan di Malaysia dan
ia merupakan undang-undang yang paling keras di dunia. Sejak dari tahun 1920-an dan 1930-an lagi
telah diwujudkan enakmen dan pengistiharan mengenai dadah dan candu yang berasaingan. Bermula
dari zaman penjajahan British mereka telah mengambil langkah membendung masalah pengedaran
dan penagihan dadah dengan menguatkuasakan Ordinan Dadah Berbahaya 1952 dan Ordinan
Racun 1952. Di samping itu bagi mengawal pengedaran dan penagihan dadah di negara ini terdapat
tiga akta yang membolehkan tindakan diambil ke atas pengedar dadah iaitu:

I ) Akta Dadah Berbahaya 1952;

II) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)1985; dan

III) Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta)1988.

Pada 14 April 1983 juga, Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dipinda di mana hukuman akan
dijatuhi jika seseorang didapati bersalah kerana memilik :

• 15g atau lebih heroin atau morfin

• 40g atau lebih kokain

• 200g atau lebih kanabis

• 200g atau lebih daun koko

• 1000g atau lebih candu

Langkah yang terbaru ialah pelulusan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya 1984 yang
menyebabkan negara kita mendapat sanjungan dan penghormatan daripada antarabangsa. Secara
kasar, akta ini boleh diertikan sebagai satu alat yang lebih menakutkan untuk menghalang pengedar
meneruskan aktiviti yang berbahaya ini .

4.1.3 Peranan Pusat Serenti

Pusat Serenti menyediakan kaedah rawatan dan pemulihan menyeluruh berteraskan konsep Multi
Disciplinary Approach iaitu penekanan disiplin dalam pelbagai aspek termasuk fizikal dan mental,
bagi setiap penagih dadah yang dihantar menjalani rawatan di pusat itu. Sepanjang tempoh dua tahun
menjalani rawatan, setiap pelatih dikehendaki menjalani lima proses atau peringkat pemulihan iaitu
dari aspek fizikal, moral, kaunseling, ketrampilan / vokasional dan sosial.

4.1.4 Peranan Antarabangsa

Oleh sebab dadah ialah masalah sejagat ,usaha-usaha antarabangsa amat diperlukan . Bahagian
dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu turut terlibat. Misalnya, Jawatankuasa Pakar Dadah
Pertubuhan Kesihatan Sedunia banyak membantu dalam usaha membanteras najis dadah. Selain itu,
beberapa agensi antarabangsa seperti Lembaga Pusat Tetap Candu, Badan Penyeliaan Dadah,
Suruhanjaya Dadah, Biro Antidadah Dan Interpo (polis antarabangsa ) ditubuhkan untuk mencegah
dan mengawal penyalahgunaan dadah. Misalnya, Lembaga Pusat Tetap Candu dan Badan
Penyeliaan Dadah mengkaji beberapa jumlah dadah diperlukan dalam bidang perubatan. Biro
Antidadah dengan kerjasama Interpol mengawasi kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah di
kawasan lapangan terbang, pelabuhan kapal dan di sempadan negara. Suruhanjaya Dadah memberi
tunjuk ajar kepada ahli-ahli negara tentang cara-cara memerangi masalah dadah melalui latihan,
permainan dan pendidikan.

4.2 Sikap Sedia Memaafkan Dan Baik Hati Anggota-Anggota Masyarakat

4.2.1 Peranan Ahli-ahli Masyarakat

Sikap menerima dengan terbuka serta kesungguhan dan kerjasama masyarakat dalam
pembanterasan penyalahgunaan dadah adalah kunci utama yang perlu dititikberatkan bagi menangani
masalah sosial di kalangan belia dan remaja yang kian meruncing. Seorang penagih dadah mengalami
perasaan syak-wasangka terhadap semua rakan dan keluarga serta berasa terasing dan tidak selesa
berdampingan dengan mereka. Ia lebih suka bergaul dengan penagih-penagih lain dan akhirnya
terlibat semula dengan penagihan dadah. Dalam konteks ini masyarakat luar perlu memainkan
peranannya untuk memberi sokongan kepada penagih agar memberhentikan tabiat buruk mereka.

Sebenarnya, soal pekerjaan untuk bekas penagih juga perlu diberi perhatian kerana ini melibatkan
penglibatan mereka dalam masyarakat. Tidak dapat dinafikan bahawa tidak banyak pihak yang ingin
mengambil bekas penagih ini untuk bekerja. Bagi bekas penagih yang telah pulih sepenuhnya mereka
mampu untuk menjalankan pelbagai tugas yang diberikan. Golongan ini perlu mendapat peluang
pekerjaan kerana ini akan membantu mereka membina keyakinan diri.

4.2.2 Peranan Sekolah

Pihak sekolah perlu menyediakan kurikulum yang disisipkan dengan unsur-unsur pendidikan
pencegahan dadah. Program kokurikulum pula melibatkan aktiviti-aktiviti yang bercorak fizikal di
samping yang memupuk perkembangan mental. Ini termasuklah usaha-usaha melatih pelajar menjadi
agen penyampai maklumat antidadah ,menggerakkan persatuan-persatuan Bimbingan dan
Kaunseling serta mewajibkan pelajar menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum sama ada dari segi
permainan, kelab dan persatuan atau pasukan beruniform. Selain itu, pasukan beruniform, seperti
pengakap, kadet, dan St. John juga boleh melibatkan diri dalam Skim Lencana Antidadah. Skim ini
menyediakan satu kokurikulum dan kegiatan kepada ahli-ahli beruniform tentang bahaya
penyalahgunaan dadah dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam membantu usaha
ini.

Aspek pendidikan guru pula melibatkan latihan khas dalam kaedah penyelidikan pencegahan dadah.
Guru juga dilatih menyediakan alat-alat bantuan mengajar dalam kaedah pendidikan pencegahan
dadah. Guru-guru harus sentiasa berwaspada dan mengawasi para pelajar supaya tidak menghisap
atau mengedar dadah. Guru-guru sememangnya mengadakan hubungan mesra dan rapat secara dua
hala dengan para pelajar. Selain itu, guru-guru perlu memupuk dan mencungkil minat, bakat, sikap
serta peribadi baik para pelajar.

4.2.3 Peranan Ibubapa

Dalam pembentukan pendidikan rohani dan jasmani yang sihat untuk anak-anak, ibu bapalah yang
berperanan penting meneruskan institusi kekeluargaan yang murni ini. Pendidikan awal bermula di
rumah akan menjadi teras kukuh sehingga dapat menjauhi anak-anak daripada terjerumus ke dalam
masalah sosial seperti penyalahgunaan dan penagihan dadah . Dalam konteks ini, ibubapa perlu
menunjukkan kepada anak-anak mereka bahawa tekanan-tekanan jiwa dalam hidup seharian dapat
diatasi tanpa berpaling kepada dadah. Anak-anak perlu dididik supaya tidak menerima sebarang
bahan dadah dari kawan-kawan mereka atau orang-orang yang tidak dikenali. Ibubapa sepatutnya
memberi penuh perhatian kepada anak-anak mereka , mengambil tahu segala yang mereka lakukan,
siapakah teman-teman mereka, ke manakah mereka pergi dan apakah yang mereka lakukan pada
masa lapang.

Selain itu, ibubapa mesti mewujudkan suasana sebuah keluarga yang harmoni di mana anak-anak
dapat membesar menjadi orang yang matang seterusnya menjadikan rumahtangga yang penuh kasih
sayang, hormat-menghormati dan bahagia. Ibubapa sememangnya selalu memberi peluang kepada
anak-anak supaya mudah berhubung mesra dengan mereka. Ibu bapa mestilah turut sama
mengambil berat, terutamanya ketika anak mereka dalam latihan pemulihan dan rawatan. Penglibatan
ibu bapa ini akan memberikan semangat kepada bekas penagih dadah dan menunjukkan bahawa
mereka masih disayangi.

4.3 Peka Terhadap Isu-Isu Sosial Dalam Masyarakat

4.3.1 Peranan PEMADAM

PEMADAM atau Persatuan Mencegah Dadah Malaysia telah dilancarkan secara rasminya
pada 22 Mac 1976 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn yang menjadi
penaung persatuan ini. Ia merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang telah bergerak
aktif selama 21 tahun menjurus ke arah pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah di
peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Antara usaha-usaha terbaru PEMADAM ialah menubuhkan Biro Penawar. Biro ini
diwujudkan untuk menangani masalah keluarga terdekat penagih yang turut berasa malang
dan menderita akibat perbuatan penagih tersebut. Dikhuatiri ibu bapa, isteri ataupun anak
penagih dadah ini akan mengalami tekanan dan malu berhadapan dengan masyarakat.
Dalam hal ini , Penawar akan memberi nasihat dan bantuan kepada keluarga tersebut.
PEMADAM melalui Biro Latihan telah melatih ahli-ahlinya untuk membolehkan mereka
berperanan sebagai "parakaunselor". Program berbentuk kaunseling ini amat penting dalam
usaha PEMADAM membentuk satu pasukan yang mantap untuk menghadapi gejala ini.
PEMADAM bersama-sama Kementerian Pendidikan telah mengadakan program, seperti kem
jaya diri. Kem ini memberikan tumpuan kepada pelajar yang berisiko tinggi. Golongan
pelajar ini terdiri daripada mereka yang mudah terpengaruhi oleh unsur-unsur negatif.

4.3.2 Kajian Perubatan Mencegah Ketagihan Dadah

Selain aspek pengawasan dan pemulihan secara praktik, pelbagai kaedah baru termasuk
penyelidikan perubatan diperkenalkan. Antaranya , ubat Trexan yang dikatakan berkesan
kerana dapat mencegah sepenuhnya daripada ketagihan heroin. Kajian yang dijalankan di Amerika
Syarikat terhadap penggunaan Trexan menunjukkan ia sangat berkesan dan selamat dengan kesan
sampingan yang minimum, terutama bagi merawat penagih yang serius jika digunakan mengikut
sukatan.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Antidadah Kebangsaan telah memperkenalkan satu rancangan
pencegahan ketagihan dadah dengan menggunakan sejenis ubat yang dikenalkan sebagai
Naltrexone. Menurut pengajian yang dibuat oleh Universiti Sains Malaysia ( USM ), terdapat 91%
daripada penagih dadah yang terlibat dalam pengajian ini berjaya menghilangkan ketagihan dadah
mereka selepas menggunakan ubat ini.

 

5.0 KESIMPULAN

Memandangkan penyalahgunaan dan penagihan dadah ialah masalah bersama masyarakat, maka
sewajarnyalah semua anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk membasminya.
Ia boleh dimulakan di rumah dan di bangku sekolah bersama dengan pengawalan anggota keluarga
dan pihak sekolah yang mencangkupi penggunaan masa, pergaulan dan lain-lain lagi. Seterusnya,
selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh kerajaan, pemulihan juga adalah satu alternatif
untuk mengurangkan kadar penagihan dan pengambilan semula dadah. Anggota masyarakat perlu
juga sedia menerima mereka yang sudah insaf akan kesalahan mereka.

Pendek kata, pengawalan adalah lebih baik daripada pengubatan. Lebih tumpuan haruslah diberikan
kepada aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap penyalahgunaan dadah melalui
pendidikan secara formal di sekolah, kempen-kempen dari semasa ke semasa dan media massa.
Dengan demikian, kita dapat menghalang penagihan dadah dari terus berakar -umbi.
 

                                               "AWASI JERAT DADAH"

onenita@netscape.net
Bac to Nita's Homepage