Make your own free website on Tripod.com

Baiah

Baiah bererti perjanjian atau ikrar bagi menerima dan sanggup memikul atau melaksanakan sesuatu yang dibaiahkan. Biasanya istilah baiah digunakan di dalam penerimaan seorang murid dengan Syeikhnya untuk menerima wirid-wirid tertentu dan berpegang dengannya sebagai suatu amanah. Namun suatu perkara yang diketahui dan difahami bahawa baiah juga digunakan di dalam skop yang lebih luas dan jauh bagi menegakkan ajaran Islam yang bukan hanya setakat berbaiah untuk mengamalkan wirid-wirid tertentu daripada syeikh-syeikh bahkan lebih menyeluruh dari itu untuk menegakkan perlaksanaan syariat Islam itu sendiri .

Di dalam Risalatul Taa'lim karangan Hassan Al Banna Rahimahullah, beliau telah mengemukan beberapa pemahaman dan pengertian tentang baiah di dalam gerakan dakwah Islamiah. Antaranya ialah:

1-Baiah untuk memahami Islam dengan kefahaman yang sebenar. Andai tiada kefahaman terhadap Islam maka sesuatu pekerjaan itu bukanlah merupakan 'amal' untuk Islam atau amal menurut cara Islam. Sebagaimana ia juga bukan merupakan suatu perjalanan yang selari dengan Islam.

2-Baiah merupakan keikhlasan. Tanpa keikhlasan amal itu tidak akan diterima oleh Allah dan perjalanannya juga pasti sahaja tidak betul di samping terkandung pelbagai penipuan di dalam suatu perkara yang diambil.

3-Merupakan baiah untuk beramal yang ditentukan permulaannya dan jelas kesudahannya. Iaitu yang dimulakan dengan diri dan berkesudahan dengan dominasi Islam ke atas alam. Hal ini adalah kewajipan yang sering tidak disedari orang Islam masa kini.

4-Merupakan baiah untuk berjihad. Jihad itu menurut kefahaman Islam adalah berupa penimbang kepada keimanan.

5-Merupakan perjanjian pengorbanan bagi memperolehi sesuatu (iaitu balasan syurga).

6-Merupakan ikrar untuk taat atau patuh mengikut peringkat dan keupayaan persediaan yang dimiliki.

7-Merupakan baiah untuk cekal dan setia pada setiap masa dan keadaan.

8-Merupakan baiah untuk tumpuan mutlak kepada dakwah ini dan mencurahkan keikhlasan terhadapnya sahaja.

9-Merupakan baiah untuk mengikat persaudaraan (sebagai titik untuk bergerak).

10-Merupakan baiah untuk mempercayai (thiqah) kepimpinan dan gerakan atau jemaah.

Dapat disusun rukun-rukun baiah tersebut sebagaimana berikut:-

(1) Al Fahm.
(2) Al Ikhlas.
(3) Al Amal.
(4) Al Jihad.
(5) At Thadhiah.
(6) At To'ah.
(7) At Thabat.
(8) At Tajarrud.
(9) Al Ukhuwah.
(10) At Thiqah.

Konsep rukun baiah yang telah disusun oleh Hassan Al Banna sebenarnya merupakan satu formula dan resepi bagi menjamin keteguhan dan kemantapan individu, gerakan, kumpulan atau jemaah yang ingin menegakkan risalah Ilahiyyah dan Nubuwwah iaitu Islam di atas muka bumi. Apa yang perlu difahami juga oleh anak-anak pejuang di jalan Allah ini ialah tidak dapat tidak perlunya bagi mereka untuk menghadham dan menguasai sebaik mungkin kefahaman yang terkandung di dalam rukun baiah itu. As Syahid bukanlah membawa perkara baru di dalam perjuangan dakwah ini melalui rukun baiah yang digariskannya itu. Bahkan ia adalah bersifat berkesinambungan daripada apa yang pernah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW semenjak 1400 tahun yang lalu. Cuma apa yang digariskan oleh As Syahid hanyalah suatu kaedah untuk memudahkan dan menyesuaikan dengan perkembangan zaman umat kini agar dapat memahami tuntutan dan pendekatan bagi memahami konsep sebenar yang perlu diambil di dalam memperjuangkan agama Allah ini. As Syahid pernah merumuskan tentang perkara itu semasa menghuraikan masalah faham di dalam Risalah Muktamar Kelima yang berbunyi:

"Wahai saudara, izinkan saya menggunakan ungkapan ini. Saya tidak bermaksud bahawa Islam Ikhwanul Muslimin adalah Islam yang baru, yang bukan dibawa oleh Saidina Muhammad Rasulullah SAW dari Tuhannya. Saya maksudkan bahawa kebanyakan umat Islam di kebanyakan zaman telah mencabut sifat-sifat, ciri-ciri dan batas-batas dari Islam mengikut kemahuan masing-masing. Mereka mempergunakan keanjalan dan keluasan Islam secara buruk dan sempit. Sedangkan keanjalan dan keluasan itu mempunyai himkah yang tinggi".

Seperkara yang perlu diteliti tentang pendekatan As Syahid itu sendiri ialah, beliau telah mengemukakan suatu bentuk method dan formula untuk bergerak dan sebagai panduan dalam pergerakan yang begitu tersusun dan lengkap yang dikategorikan sebagai satu minhaj yang mudah tapi menghalang. Dalam ertikata ia adalah mudah difahami oleh setiap orang dan golongan tapi sukar pula diikuti oleh ramai orang.

Andai kita memerhatikan kepada pendekatan atau method As Syahid itu sendiri kita akan dapati perkara utama yang diutarakan dan dihidangkan adalah tentang kefahaman rukun baiah. Kemudian barulah didedahkan dengan kewajipan-kewajipan seorang pejuang. Sehinggakan ia diletakkan sebagai nilaian atau neraca kamampuan dan persediaan seorang petugas bagi menggerakkan jentera amal di dalam gerakan dakwah. Sebenarnya As Syahid telah menyusun rukun baiah yang sepuluh itu dengan penuh penelitian dan berwawasan sekadar memerhati apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW di dalam proses melahirkan rijal-rijal dan kader-kader dakwah pada masa baginda.

Pemahaman seorang Muslim kini adalah begitu berbeza dan amat terlalu sukar bagi seorang Muslim itu untuk mengikuti dan menerima serta patuh kepada ajaran Islam secara langsung dan menyeluruh. Maka disusunkan rukun baiah ini bagi mewujudkan peringkat-peringkat di dalam pencapaian seorang amil. Sesuatu perkara yang perlu difahami ialah wujud di dalam susur galur dan latarbelakang gerakan atau jemaah Islam itu tingkat dan peringkat yang berbeza samada sebagai keahlian biasa, pembantu, amilin (petugas), naqib dan naibnya, amir dan ketua petunjuk atau Mursyid. Maka rukun baiah adalah berfungsi bagi membangkitkan kesedaran atau motivasi terhadap para petugas Islam untuk menghayati dan berpegang dengan kefahaman Islam serta memahami syarat-syarat kelayakan untuk bergerak dan mencapai peningkatan.

Gerakan Islam disertai dari pelbagai lapisan dan bangsa dan dari pelbagai profesion. Maka bagi mengikat kefahaman di antara sesama anggota gerakan perlu kepada suatu ikatan dan ikrar untuk melahirkan kefahaman, kesanggupan, ketaatan, kesatuan dan kepercayaan di kalangan anggota dalam semua peringkat. Kerana melalui rukun baiah inilah seterusnya akan mewujudkan wehdahtul fikr dan wehdatul amal. Peristiwa baiah ini telah dicatatkan di dalam sirah Rasulullah SAW sebagaimana yang pernah berlaku semasa perjanjian Aqabah pertama dan kedua. Pada perjanjian Aqabah pertama umat Islam dibentangkan dengan kerasulan dan kebenaran ajaran tauhid serta jaminan untuk memelihara Rasul dari pelbagai ancaman dalam apa jua keadaan. Manakala pada perjanjian Aqabah kedua yang telah disertai seramai 73 orang lelaki dan dua orang wanita dibentangkan pula dengan ikrar dan kesanggupan untuk memikul amanah dan perintah jihad dalam ertikata yang sebenar sekiranya keadaan memaksa. Teras dan peringkat baiah tersebut diambil oleh Rasulullah setelah mana keadaan dan kedudukan kefahaman umat Islam sudah pun di dalam tingkat yang boleh diharapkan. Perjanjian tersebut adalah bertujuan bagi menjelaskan tentang kefahaman menerima Islam sebagai ad Deen di dalam kehidupan iaitu dalam erti kata sanggup dan rela berkorban demi mempertahankan Islam dalam apa jua situasi yang melanda.

Rasulullah SAW memahami bahawa suatu cara untuk menegakkan ajaran Islam perlu melalui jemaah atau gerakan dan bukannya secara perseorangan. Maka untuk membentuk jemaah itu perlu diwujudkan ikatan dari kalangan ahli-ahlinya agar mereka mengerti dan benar-benar memahami tuntutan sebenar di dalam apa yang dinamakan suatu pergerakan. Memahami bahawa baiah itu merupakan ikatan yang dapat menyelamatkan jiwa dan melindungi darah dan menghapuskan segala kesilapan lampau. Orang mukmin itu mengerti sesungguhnya pada dua kalimah syahadah itu telah terkandung di dalamnya ungkapan umpama baiah iaitu berupa suatu ikrar dan ketaatan sanggup menerima dan meletakkan Allah dan RasulNya SAW sebagai ikutan dan rela pula melakukan segala kerananya.

Sebagaimana baiah yang berlaku semasa pembukaan Mekah. Peristiwa pembaiahan Hindun binti Utbah dihadapan Rasulullah anak saudara kepada Saidina Hamzah yang gugur ditangannya secara kejam. Rasulullah telah membuktikan keadilan Islam dan keterbukaan baginda sehingga diterima baiahnya. Antara kandungan baiah yang dimeterai ialah; Sabda Rasulullah SAW: "Kamu berbaiah kepadaku bahawa kamu tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah dan tidak akan mencuri. Dan kamu tidak akan berzina, jangan kamu membunuh anak-anak kamu dan kamu tidak akan berbohong dengan mereka di antara tangan dan kakimu, kamu tidak menderhakai aku di dalam perkara yang baik. Lalu Hindun mengucapkan kepada baginda SAW:

'Wahai Rasulullah, segala puji hanya milik Allah, yang telah memberi kemanangan kepada agama yang dipilihnya. Semoga aku memperoleh manfaat daripada kasih sayangmu'.

Memahami baiah dan rukunnya adalah syarat sebelum mengetahui segala kewajipan yang akan diambil seterusnya oleh para pendukung agama Allah. Rukun baiah adalah berfungsi sebagai membentuk keperibadian seorang pejuang dan mengenalpasti persediaannya memikul kewajipan-kewajipan yang dibentangkan. Kerana bilamana menyebut tentang dakwah dan gerakan maka ia juga membentangkan kepada para pejuang untuk mengenali objektif di dalam setiap tindakan yang perlu dicapai dan dilaksanakan.

Kita memerhati dalam banyak-banyak perkara yang diambil Hassan Al Banna telah meletakkan kefahaman sebagai teras yang paling asas dan dasar serta teratas sebagai kandungan rukun baiah. Kenapa As Syahid tidak meletakkan keikhlasan sebagai dasar memahami syarat bergerak?. Sebenarnya amal Islami ini sebelum diambil apa-apa tindakan selanjutnya hendaklah terlebih dahulu dilalui dengan kefahaman yang jelas dan benar. Untuk mengikhlaskan diri di dalam melaksanakan amal Islami tidak mungkin ternyata andai tahap kefahaman seorang amil itu masih belum pasti. Andai wujud pun kemungkinan ia tidak akan mencapai tahap masaknya yang sempurna dan lengkap atau menyeluruh. Akhirnya tetap juga akan berlaku kecacatan dan kepincangan serta seribu kelemahan di dalam menggerakkan jentera amal di dalam menegakkan risalah Islam itu sendiri.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Risalatul Taalim: Bahawa amal yang ikhlas tetapi tidak didasari kefahaman yang sohih dan tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, kadang-kadang boleh membawa ia tersesat jauh. Mengenai kefahaman yang jelas ini lagi Imam Ibn Al Qayyim menyatakan bahawa;

'Kefahaman yang sohih merupakan cahaya yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam hati hambaNya, menyebabkan ia boleh membezakan di antara yang sohih dan fasid, hak dan batil, petunjuk dan kesesatan, penyelewengan dan kebenaran...'.

Kefahaman yang jelas di sini ialah bermaksud bahawa menghayati dan mengembang serta memperjuangkan Islam itu sehingga ia tertegak dan diterima sebagai suatu cara hidup secara menyeluruh dan sempurna di dalam segenap kehidupan manusia. Cara hidup bererti segala urusan dan perkara yang berkaitan samada dari sudut aqidah, ibadah, muamalah, siyasah, ekonomi, ketenteraan, pendidikan dan dakwah yang melibatkan soal peribadi, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta di dalam setiap suasana dan keadaan samada ketika aman, perang, susah dan senang.

Dalam menghuraikan rukun kefahaman ini As Syahid telah menyusun-kandungkan maksud kefahaman yang jelas itu dalam penghuraian sebanyak 20 usul yang semestinya difahami dan diteliti dengan sebaik mungkin oleh para petugas dan mereka yang membaiah dengan perjuangan ini bagi memastikan mereka tidak tersilap dan terseleweng daripada memahami tuntutan dan kewajipan yang terkandung di dalam ajaran Islam itu sendiri. (Dalam ruang yang terhad ini kemungkinan usul 20 tersebut tidak dapat diselitkan. Namun sebagai rujukan boleh dikaji dan diperhatikan di dalam buku Risalatul Taalim). Begitu juga dengan amal, jihad, pengorbanan, kepatuhan, berprinsip, mutlak, persaudaraan dan kesatuan serta kepercayaan adalah bertitik tolak daripada rukun kefahaman yang telah dijelaskan oleh As Syahid dengan panjang lebar bagi memahami sifat dan tabiat memperjuangkan Islam dan melaksanakan tuntutan-tuntutannya. Ikhlas As Syahid menyatakan bahawa;

"Yang dimaksudkan dengan ikhlas itu ialah setiap saudara muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala daripadaNya. Segala perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan dan terkemuka atau mundur. Dengan itu ia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan".

Firman Allah taala: "Katakanlah olehmu; 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku adalah kerana Allah Tuhan Sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian itu aku diperintahkan".

Amal

"Amal soleh melazimi iman dan membenarkannya. Kedua-duanya adalah sebab kemenangan dan kekuasaan di atas muka bumi serta kebahagian dan kenikmatan di akhirat. Beramal dalam medan dakwah kepada Allah, agar agamaNya tegak berkuasa dan mendirikan negara Islam adalah bidang amal soleh yang paling afdhal dan mulia".

Firman Allah taala: "Dan (katakanlah) bekerjalah kamu, sesungguhnya Allah dan Rasul serta orang-orang mukmin itu akan melihat amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Maka Allah akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan". (At Taubah:105)

Jihad "Jihad yang dimaksudkan di sini ialah satu kewajipan yang berterusan hingga hari kiamat sebagaimana maksud sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang mati sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak pernah berniat untuk berjihad maka matinya adalah mati jahiliah". Slogan kami adalah; 'JIHAD ADALAH JALAN KAMI'.

Firman Allah taala: "Berjihadlah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad".

Pengorbanan

"Pengorbanan itu adalah mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk mencapai matlamat. Tidak berlaku jihad di dunia ini tanpa pengorbanan mengiringi".

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mukmin jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan memberikan kepada mereka bayaran syurga".

Taat

"Taat itu ialah mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan segera, baik di waktu senang atau susah, dalam perkara yang disukai atau dibenci".

Firman Allah taala: "Wahai orang-orang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kami". (An Nisa':59)

Thabat

"Thabat itu ialah mestilah sentiasa beramal dan berjihad untuk mencapai matlamat sekalipun matlamat itu masih terlalu jauh dan memakan masa bertahun-tahun sehinggalah tiba saat menemui Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu akan mendapat salah sati dari dua kebaikan, samada berjaya mencapai matlamat atau mati syahid".

Firman Allah taala: "Wahai orang-orang beriman bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu serta tetaplah bersiap sedia (di perbatasan) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh keuntungan". (Al Baqarah:200)

Tajarrud

"Tajarrud itu adalah membebaskan diri dari prinsip-prinsip dan individu-individu yang lain dari fikrah yang dimiliki".

Firman Allah taala: "Celupan Allah, maka siapakah yang terlebih baik celupannya selain dari Allah". (Al Baqarah:138)

Ukhuwwah

"Maksud persaudaraan itu ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ukhuwwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (salamatus sodri) terhadap saudara seIslam dan setinggi darjat ukhuwwah ialah mengutamkan orang lain (ithar) dari diri sendiri".

Firman Allah taala: "Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dengan orang mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukn hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana". (Al Anfal:62-63)

Thiqah

"Thiqah ialah keyakinan seorang pejuang terhadap qiadah (kepimpinan) pada kemampuan dan keikhlasannya. Dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan".

Firman Allah taala: "Maka demi Tuhanmu, mereka tidak sekali-kali beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya".

Inilah sepuluh rangkaian perjanjian kita sebagai mereka yang sanggup untuk menerima dan memikul amanah dakwah ini. Sesungguhnya kesepuluh rangkaian arkanul baiah ini bukanlah terpisah-pisah bahkan ia adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Tidak mungkin wujud keikhlasan tanpa didasari kefahaman yang jelas dan benar, tidak mungkin berlaku suatu kerja andai tiada keikhlasan yang benar-benar mutlak, tiada mungkin dikatakan perjuangan andai tiada suatu pengorbanan, tidak mungkin terealisasi ketaatan andai tiada tumbuh kepercayaan, dan titik bertolak amal Islami itu tidak dapat tidak hendaklah bermula dari ikatan iman dan ukhuwah.

Baiah yang terkandung di dalamnya sebanyak sepuluh rukun itu telah disusun dengan sedemikian rupa oleh As Syahid untuk mengikat di kalangan anggota gerakan dan jemaah Islam agar tidak mudah berundur dan terburai apabila berdepan dengan pelbagai permasalahan dan konflik di dalam jemaah. Itulah beza di antara gerakan Islam dengan gerakan yang lain. Walau apa bentuk cabaran dan peralihan zaman sekalipun ia tetap utuh dan berpegang di atas dasar dan matlamatnya iaitu melihat tertegaknya sebuah daulah bagi menyahut seruan Allah dan menghidupkan kembali sunnah Rasulullah SAW sebagai utusanNya.

Allah matlamat kami Rasul pimpinan dan ikutan kami Al Quran perlembagaan kami Jihad jalan kami Syahid cita-cita kami

Susunan oleh;
Abu Sulaiman (khudri) Al Qalamuni

"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara " (Al-Hujurat 10) 
email :nuun79@yahoo.com