Bertepatan dengan pengisian2 dari sahabat2 sepanjang
penghujung bulan Mac 99, berikut ana huraikan beberapa
fokus menarik mengenai "CINTA" yang dipetik dari
majalah Suara Kampus Mutiara (edisi P.Pinang) hasil
kajian daripada : Al-Fadhil Ust Hanafi Abd Rahman
(B.A Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar) dan
Beliau merupakan Fellow Kanan Markaz Pengumpulan
Kajian dan Hasil Penyelidikan (MANHAL) di bawah
PMRAM.
<^Fokus
Cinta I^>
CINTA
: Ungkapan Disebalik Rasa Ungkapan cinta sememangnya
intim dalam kamus kehidupan insan. Namun begitu,
bukan bermakna kita sudah mempunyai pengertian yang
tepat mengenainya. Akibatnya cinta seringkali disalah
tafsiran. Salah tafsiran mendorong kepada salah
tindakan.
Cinta
seringkali menjadi sesuatu yang pedih, adakalanya
jijik dan mengecewakan. Ramai yang kecewa kerana
cinta, lalu berderetanlah kubur cinta sepanjang
zaman. Lihatlah nisan percintaan yang terukir seperti
Romeo dan Juliet, Uda dan Dara, Laila dan Majnun
dan seterusnya. Perasaan fitrah ini sememangnya
mengundang perasaan ingin mencintai dan dicintai
sesama insan. Hati memerlukan cinta sama seperti
jasad perlukan makanan. Anehnya apa yang kita rasai
tidak semestinya kita fahami. Lalu apakah sebenarnya
cinta itu ???
Definasi
: Cinta adalah perasaan sangat sayang yang terpamir
melalui tindakan atau perbuatan. Cinta sebenar perlu
dibuktikan, bukan sekadar pendaman rasa atau luahan
kata. Namun praktikal "Love Is A Verb" ini sangat
terbatas bila hubungan cinta dijalinkan sebelum
perkahwinan. Jika dicuba juga mempraktikkanya besar
kemungkinan cinta itu membawa kepada perbuatan terlanjur
lalu melanggar hukum cinta dari Allah. Cinta dan
Penciptanya : Untuk mengetahui segala-galanya tentang
cinta, manusia perlu merujuk kepada Pencipta cinta
itu sendiri, yakni Allah s.w.t. Tuhan mencipta cinta
maka Dialah yang Maha Mengetahui sifat dan rahsianya.
Cinta itu indah kerana dicipta oleh Yang Maha Indah.
Sabda
Rasulullah s.a.w. "Allah itu indah dan cintakan
keindahan" (mafhum hadis).
bukan
sahaja indah, cinta yang diciptakan Allah ini bertujuan
untuk menyelamatkan, mententeramkan dan membahagiakan
manusia. Tidak kira sama ada dalam komunikasi antara
manusia dengan Tuhan atau sesama manusia. Cinta
adalah perantaraannya.
Tegasnya
cinta mempunyai fungsi dan natijah yang sangat besar
dalam kehidupan. Disamping itu juga, Allah mengurniakan
hukum cinta yang mesti dipatuhi demi mencapai maksud
penciptanya. Dengan "hukum" itu, Allah mengatur
agar cinta sentiasa selamat dan menyelamatkan. Begitulah
cinta dalam Islam, ia mempunyai kaedah dan peraturan
demi kemurnian dan kesuciannya. Selagi manusia berpegang
kepada peraturan ini, selagi itulah cinta terpelihara
dalam sifat fitrahnya yang asal, yakni murni, indah
dan mententeramkan. Sebaliknya, jika peraturan ini
dilanggari, cinta akan bertukar menjadi kotor, jijik
dan menyeksakan.
Peraturan : Untuk menjamin keindahan percintaan
itu, maka peraturan dan hukum Allah perlu dijaga.
Peraturan
pertama yang perlu dipatuhi ialah "cinta itu mesti
dibina atas dasar cinta Allah". Cintailah sesiapa
pun tetapi mestilah kerana Allah. Namun, meletakkan
cinta hanya kerana Allah tidaklah menghalang meletakkan
cinta kepada yang lain. Apa tandanya kita mencintai
seseorang atas dasar "cinta Allah" ??
Pertama,
mestilah dipastikan kecintaan itu tidak melebihi
cinta kepada Allah. Kita akan sentiasa mendahulukan
kehendak kecintaan utama kita (Allah) daripada
kehendak "kecintaan-kecintaan" kita yang lain.
Kedua, cinta itu mestilah tidak melanggar
batas-batas syariat. Jangan cinta menyebabkan
kita berdosa kerana tidak melaksanakan apa yang
diperintahNYA dan melanggar apa yang dilarangNYA.
Apabila
dua syarat ini dilanggar, maka cinta tidak akan
murni dan berkekalan lagi. Inilah punca patahnya
cinta selepas perkahwinan. Tetapi sekiranya dua
hukum cinta ini dipatuhi maka di sinilah pula letaknya
keindahan cinta selepas perkahwinan. (Terus Ikuti
Fokus Cinta II, III & IV)
<^Fokus
Cinta II^>
Merubah
CINTA Budaya Bukan mudah hendak mengubah persepsi
kita tentang bercinta. Sekian lama kita membentuk
satu tanggapan dalam fikiran bahawa cinta adalah
pra-syarat perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu mesti
didahului oleh hubungan cinta. Ada "dating", hubungan
telefon dan lain-lain. Bila dikatakan ada keindahan
cinta selepas perkahwinan, kita menganggap janggal
kerana ia berbeza dari persepsi kita tentang cinta.
Oleh itu bermacam-macam persoalan timbul. Bolehkah
bahagia bila berkahwin tidak didahului hubungan
cinta? Bolehkah serasi? Dan bermacam persoalan lagi.
Mungkin kerana itulah agaknya ramai yang menganggap
kehangatan cinta akan mendingin selepas berkahwin
lalu mereka ingin menikmati kehangatan itu sepuas-puasnya
sebelum perkahwinan. Dan ada yang mengambil masa
yang cukup panjang untuk bercinta sebelum perkahwinan,
kononnya mencari keserasian agar cinta terus berkekalan
setelah perkahwinan.
`Cinta Sebelum Perkahwinan`
Bercinta
sebelum kahwin mempunyai berbagai risiko yang bukan
sekadar zina mata dan hati malah zina yang lebih
besar yang boleh mengganggu jiwa sebab cinta sebelum
kahwin ini adalah bersalut nafsu dan syaitan. Dalam
keadaan sebegini bagaimana mungkin kita memiliki
khusyuk di dalam sembahyang kalau diri diselaputi
iblis dan syaitan?? Apabila hati kita diisi oleh
cinta manusia dan nafsu, tiada tempat untuk cinta
Allah. Oleh yang demikian Islam amat menekankan
kawalan terhadap hati agar tidak mudah terpesong
meletakan neraca perasaan cinta kepada yang bukan
hak melalui amalan seperti doa dan sebagainya. Antara
doa yang patut diamalkan :
"
Ya Allah, Kurniailah aku cinta-Mu dan cinta orang
yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta
kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu dan jadikan
cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku
cintai daripada air yang sejuk"
Doa ini wajar diamalkan supaya kita faham erti cinta
yang menjadikan kita cinta kepada Allah atau menjadikan
cinta kepada orang yang hampir dengan Allah. Jika
seseorang itu cinta kepada manusia, ia mestilah
cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah.
Oleh itu jika kita sudah "fall in love", pastikan
apakah cinta itu kerana Allah atau kerana nafsu.
Kalau cinta itu kerana Allah, kita akan bertambah
khusyuk di dalam sembahyang dan bertambah ibadah.
Tetapi kalau cinta itu semakin menambahkan maksiat,
bermakna cinta itu didorong oleh nafsu.
Namun begitu adakala cinta itu datang tanpa dipinta.
Atau dalam erti kata yang lain "cinta pandang pertama"
yang sememangnya tidak diundang yang boleh menganggu
minda dan imaginasi. Dalam keadaan yang sedemikian
kita amat digalakkan untuk mengamalkan doa tadi.
Kedua, mengerjakan solat Istikharah dan berdoa :
"
Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini
betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia
akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah
dia isteri (atau suami) ku. Kalau tidak baik,
Ya Allah, elakkanlah"
"if you love someone" mintalah kepada Allah yang
mencipta diri kita. Ini kerana orang yang kita cintai
itu juga adalah makhluk Allah. Allah berhak untuk
menjadikan makhlukNya suka atau tidak.
Silap
kebanyakkan kita sekarang ini, terus direct kepada
empunya diri. Persoalan yang penting sekarang ialah
apakah yang diperolehi oleh mereka yang bercinta
sebelum kahwin apabila mereka sudah saling mengetahui
segala perkara mengenai diri masing-masing. Sudah
tidak ada nikmat selepas kahwin. Apatah lagi kalau
sudah terlanjur, kemudian kahwin pula dengan orang
lain dan ternyata suami itu cinta kepadanya. Individu
akan menyesal kerana `she got nothing to offer`
kepada suami yang betul-betul mencintainya. Ini
akan melahirkan perasaan dendam dan bersalah. Jadi
eloklah dijagai perhubungan kita.
`Cinta
Selepas Perkahwinan`
Bercinta
selepas kahwin adalah merupakan sunnah Rasul. Mungkin
terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi
perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya
yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau
trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika
dahulu yang menyaksikan ramai yang berkahwin atas
pilihan ibubapa dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Para
ibubapa ketika itu memilih calon menantu mereka
berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad
s.a.w melalui sabdanya :
" Dikahwini wanita itu atas empat perkara
: harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah
atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat
kebajikan". (mafhum hadis)
Bukan
itu sahaja, malah trend masyarakat ketika itu juga
sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi. Jadi
perkahwinan melalui orang perantaraan (match maker)
yang dipercayai kesolehannya juga mudah dilaksanakan.
Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi
perkara biasa pada ketika itu. Namun ini tidaklah
menafikan perkara-perkara yang boleh dan memang
dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum
sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang
dibolehkan melihat calon isteri atau suami, menyelidiki
maklumat tentang pekerjaan, peribadi dan lain-lain
latar belakang calon. Ini semua dapat dibuat dengan
adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri
daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya
tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah
mendapatkan maklumat tentang calon suami atau isteri
melalui cara percintaan. Tidak hairanlah kalau suasana
bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan
sepanjang perkahwinan. Marilah kita dekatkan semula
keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta
cinta. Rumahtangga pasti berseri apabila suami isteri
sama-sama cintakan Ilahi.
<^Fokus
Cinta III^>
CINTA : Antara Runtunan Nafsu Dan Tuntutan
Syariat Pada awal kurun ini, masyarakat Melayu Islam
telah dikejutkan dengan suatu reformasi baru yang
dikemukakan oleh Agus Salem, salah seorang pengasas
Syarikat Dagang Islam sekitar tahun 1911. Beliau
menyarankan kepada pemuda pemudi yang terdedah dengan
benih-benih pergaulan bebas yang diajar oleh penjajah
ketika itu supaya bercinta sesudah berumahtangga.
Fikiran ini dimahsyurkan lagi ke tengah-tengah masyarakat
Melayu Islam oleh Bapa Hamka (HJ Abdul Malik Karamullah).
Selepas
itu, masyarakat mula mengkaji apakah yang lebih
berkesan sama ada bercinta sebelum berumahtangga
ataupun bercinta sesudah berumahtangga. Suatu perkara
yang sudah pasti, bercinta dan berkasih sayang adalah
suatu yang teramat penting sesudah berumahtangga
kerana dua rukun inilah menjadi tiang seri yang
paling ampuh dalam pembentukan keluarga.
Persoalannya, adakah bercinta itu penting dan perlu
sebelum berumahtangga??.
Jawabnya
: perasaan tersebut perlu ada dalam hati kedua-dua
bakal suami isteri, tetapi tidaklah membawa kepada
wujudnya pergaulan atau melanggar batas-batas yang
telah ditetapkan oleh Syariat Islamiah seperti membuat
"dating" dan lain-lain lagi.
`Tanggungjawab`
Bakal
suami isteri perlu mengetahui bahawa rumahtangga
suatu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
Ahli falsafah menyatakan bahawa cinta adalah suatu
perasaan yang dimiliki oleh semua manusia, laksana
getah-getah yang ada di pokok-pokok getah atau madu-madu
yang ada di pokok bunga. Maka perasaan ingin menyayangi
dan ingin disayangi itu bersebati dalam diri manusia
semenjak dia dikeluarkan dari perut ibunya. Pasangnya
sukar dibatasi apabila perasaan tersebut melodak
di dalam jiwa, surutnya sukar digumbai apabila perasaan
dingin menguasai diri dari jiwa manusia yang kecewa
terhadapnya.
Secara
fitrahnya manusia yang kecewa terhadap cinta akan
bermuhasabah terhadap harga dirinya. Kadang-kadang
muhasabah itu mengajar bertindak dengan cara yang
betul, dan kadang-kadang pula ia menghalakan manusia
ke arah yang memusnahkan. Manakala manusia yang
dilodaki oleh perasaan tersebut pula akan merasa
gembira dan riang sehingga membolehkan dia membuat
suatu perubahan yang besar dalam dirinya sama ada
ke arah baik atau sebaliknya. Ini bererti alam percintaan
adalah suatu jambatan yang mengubah masa depan manusia
yang merentasinya. Oleh itu, alam percintaan adalah
suatu persediaan untuk mengenali dan memahami erti
tanggungjawab. Manusia yang bercinta sentiasa menghadapi
tekanan saraf dan perasaan. Sewajarnya manusia yang
melalui perkara tersebut belajar menghayati erti
pengorbanan. Sekiranya seorang lelaki yang mencintai
perempuan tetapi dia tidak sanggup berkorban untuk
perempuan tersebut maka cinta yang dilafazkannya
adalah palsu dan penuh kepura-puraan, Perempuan
yang cerdik tidak boleh mempercayai lelaki yang
sebegitu dan demikianlah sebaliknya.
Ahli
Hukama` menegaskan : "nilailah harga kasih
sayang pasanganmu itu melalui pengorbanannya
bukan melalui ungkapan bicaranya".
Lantaran
itu kita mendapati realiti kehidupan sentiasa mencatatkan
pasangan yang mampu mencapai hakikat kebahagiaan
ialah manusia yang berkahwin untuk mendidik, manakala
manusia yang berkahwin berdasarkan fantasinya semata-mata
seringkali menemui kemusnahan dalam pembentukan
rumahtangga. `Ganjaran Dari Allah`
Perkahwinan adalah suatu sunnah dari Rasulullah
s.a.w. dan nabi-nabi sebelumnya. Suatu perkara yang
perlu dikaji akan hikmah percintaan yang dilakukan
oleh Baginda s.a.w ialah Baginda menyarankan kepada
bakal-bakal suami untuk mencari gadis-gadis untuk
dikahwini tetapi beliau sendiri memperisterikan
perempuan-perempuan janda, hanyalah Aisyah r.a seorang
sahaja yang masih gadis ketika dikahwini. Hal ini
tentulah menggambarkan kepada kita tentang persediaan
pengorbanan dan menyempurnakan tanggungjawab yang
telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w
sebelum melalui gerbang perkahwinan. Rasulullah
s.a.w telah menerangkan bahawa diantara golongan
yang mendapat dua ganjaran pahala ialah seorang
yang memerdekakan hambanya lalu mengahwininya.
Al-Mawardi menyebut di dalam kitabnya (peradaban
dunia dan agama): adalah baik bagi seseorang mencari
pasangannya dengan tujuan menolong dan membantunya,
kerana perkara ini akan mematangkannya untuk menjalankan
tanggungjawab dan berkorban setelah berumahtangga
kelak.
`Fantasi Dan Khayalan`
Sebelum
berkahwin manusia seringkali mengkhayalkan belaian-belaian
dan pujuk rayu pasangannya, padahal gambaran khayalan
itu hanyalah berlaku dalam jarak masa yang singkat
berbanding dengan liku-liku perjuangan yang terpaksa
ditempuhinya. Perkara ini adalah lumrah semulajadi
semua manusia. Tanpa kawalan agama ianya akan menjerumuskan
manusia melakukan kerja-kerja keji sama ada dihadapan
khalayak ramai atau ketika berseorangan. Manusia
yang tiada matlamat hidup seperti golongan barat,
sebagaimana yang ditonjolkan dalam media massa akan
cuba memanjangkan tempoh fantasi ini sekalipun ianya
bukanlah suatu yang boleh berpijak di alam nyata.
Lantaran itu kehidupan mereka akan menjadi musnah
dan kebahagiaan yang dikhayalkan itu bukan dapat
dicapai sekali-kali. Masyarakat Islam sepatutnya
mestilah mempelajari panduan-panduan hidup yang
kuat agar dapat membersihkan diri daripada anasir-anasir
yang boleh memusnahkan diri. Sewajarnya masyarakat
kita menjadikan perjalanan-perjalanan untuk bekas-bekas
bohsia sebagai pengajaran yang disempadani, bukannya
untuk melonjak-lonjakkan nafsu syahwat yang menghancurkan
pula masa depan mereka sendiri.
<^Fokus Cinta IV^>
CINTA
Lahir Dalam Perkahwinan Pelbagai kajian telah dibuat
mengenai cinta dan perkahwinan. Salah satu yang
menarik ialah yang dibuat oleh Dr. Harville Hendrix,
pengarang buku laris "Getting the Love You Want:
A Guide for Couple" (1988). Beliau telah menemui
wujudnya empat fasa dalam perkahwinan.
`Fasa
Pertama`
Fasa
pertama merupakan musim penuh janji manis dan fantasi
cinta. Hidup dirasakan begitu indah, lengkap segala-galanya
dan unik kerana mempunyai pasangan yang serba sempurna.
`Fasa
Kedua`
Bila
pasangan masuk fasa kedua barulah suami isteri tadi
dapat melihat realiti pada diri pasangan masing-masing.
Ketika itulah "the real work of love begins" maksudnya,
cinta mula bertindak dan menghasilkan natijah. Ramai
yang kecundang kerana melihat banyak cacat cela
pada pasangannya, tapi mereka yang dapat melalui
fasa ini dengan baik akan menemui keindahan dalam
hubungan suami isteri yang berlandaskan realiti,
bukan lagi fantasi.
`Fasa Ketiga`
Fasa
ini dikaitkan dengan permasalahan yang ada hubung
kait dengan seks.
`Fasa
Keempat`
Manakala
fasa keempat ialah di mana berlakunya jalinan semula
cinta. Menurut Dr.Harville, inilah musim menuai.
Dan fasa inilah cinta mula bersemi semula. Waktu
itulah cinta sejati benar-benar wujud.
Apa
yang menarik mengenai kajian ini ialah hakikat bahawa
cinta boleh dibina dan disuburkan kerana ia adalah
fitrah semulajadi, sama seperti sifat-sifat fitrah
yang lain. Dan cinta juga boleh dibuang dari hati.
Fasa pertama perkahwinan tadi adalah saat bulan
madu serba indah. Namun jika selepas puas menjalin
hubungan cinta baru berkahwin maka perkahwinan akan
masuk fasa kedua. Tiada lagi nikmat fasa pertama!.
Tidak kurang menarik ialah kesimpulan yang dibuat
oleh Dr.Harville mengenai cinta.
Katanya,
"..cinta tidak melahirkan perkahwinan. Cinta,
jika ia datang, sebenarnya lahir di dalam perkahwinan
itu sendiri".
Kesimpulannya,
untuk mengharungi arus kehidupan yang sememangnya
dipagari dengan pelbagai ujian, kita sebagai hambaNya
perlulah kembali bermuhasabah dan terus berusaha
pada setiap ketika agar kita tidak tergolong dikalangan
orang-orang yang cintakan dunia lupakan akhirat,
cintakan kehidupan bencikan kematian.
Sememangnya
ketiga-tiga musuh utama kita (Syaitan, Nafsu dan
Dunia) tidak pernah dan tidak akan membiarkan kita
pergi begitu sahaja meninggalkan mereka, sebaliknya
ketiga-tiga mereka ini akan terus berusaha untuk
lebih gigih bagi terus menjerumuskan kita ke arah
kesesatan. Jadi, marilah sama-sama kita berhasrat
untuk memerangi ketiga-tiga musuh ini dengan tindakan
bijak bermula dari saat ini.
Berikut
ana huraikan serba ringkas untuk perkongsian bersama
:
1.
Iblis/Syaitan : sememangnya mereka ini merupakan
musuh kita dunia akhirat dan mereka telah pun berazam
dan bersumpah didepan Allah untuk menyesatkan kesemua
golongan manusia. Hasilnya skrg, kita dapat lihat
sendiri keadaan yang berlaku diserata dunia bahkan
dinegara kita sendiri bagaimana manusia semakin
hilang norma2 kemanusiaan dan seumpamanya. Yang
menambah parahkan lagi ialah kita tahu bahwa mereka
ini adalah musuh kita yg sebenar-benarnya tetapi
kita tidak pernah berusaha untuk menentangnya bahkan
kita semakin lalai dengan pujukan-pujukan mereka
hingga kita sendiri semakin hari semakin rosak dengan
kehidupan kita. Jadi, antara punca-punca utama untuk
kita memiliki keimanan yang jitu kepada Allah s.w.t,
kecintaan yang utuh serta kerinduan yang tidak berbelah
bagi kepadaNya ialah dengan memerangi pujukan-pujukan
iblis/syaitan selama-lamanya.
Perlu
di ingat! kalaupun kita telah berjaya mengatasi
halangan yang pertama ini tidak semestinya kita
akan terus berjaya memiliki iman/cinta yang perfect,
sebabnya masih ada dua halangan sesudahnya (nafsu
dan dunia). Contohnya kita lihat pada bulan ramadhan,
semua iblis/syaitan akan dikurung oleh Allah tetapi
dalam masa yang sama masih ada orang-orang Islam
yang melakukan maksiat yang didorong pula oleh nafsu
dan dunia. Jadi sama-samalah kita berfikir dan mencari
jalan terbaik untuk memerangi dengan sepenuh kekuatan
halangan yang pertama ini. Selalulah merangka lalu
mengamalkan semua amalan-amalan kita zahir dan batin
menuju kearah marhdatillah (keredhaan Allah) sepanjang
masa.
2.
Nafsu : merupakan halangan yang kalaupun
tidak sehebat halangan yang pertama tadi ianya hampir-hampir
menyamainya. Ana ceritakan secara ringkas mengenai
nafsu : Ada satu riwayat mengisahkan bahawa setelah
Allah jadikan nafsu lalu Allah soal dia (nafsu)
siapakah engkau wahai nafsu? lalu jawabnya : aku
adalah aku dan Engkau adalah Engkau...lantas Allah
rejam dan kurung dia di dalam neraka yg paling panas
selama beribu tahun, kemudian diangkat semula, dan
ditanya lagi, siapakah engkau wahai nafsu? Dijawabnya
seperti jawapan yang pertama tadi. Kemudian Allah
kurung pula dia di tempat yang paling sejuk selama
beribu tahun, selepas itu diangkat dan ditanya soalan
yang sama, dijawabnya : aku adalah aku ..dan Engkau
adalah Engkau....kemudian Allah kurungkan pula dia
(nafsu) disatu tempat dengan keadaan lapar juga
selama beribu tahun, setelah itu diangkat dan disoal
dengan soalan yang sama, barulah nafsu menjawab
: sesungguhnya aku adalah hamba yg diciptakanMu
dan Engkau adalah Tuhanku yang Maha Agong.
Begitulah
betapa dasyat dan kerasnya nafsu yang ada pada setiap
seorang dari kita. Jadi berdasarkan cerita tadi,
jelas kepada kita bahawa cara yang paling mudah
untuk menewaskan nafsu kita ialah dengan berlapar
(berpuasa) maka dengan cara ini dapat membantu kita
untuk menjinakkannya. So, kunci sudah pun ditemui
cuma cara untuk membukanya (melaksananya) perlu
berhati-hati, sebabnya skrg kita lihat ramai orang
yang berpuasa tetapi masih tidak dapat mendidik
nafsunya. Contohnya bila dah puasa, time berbuka
makan sampai tak mampu siperut untuk menanggungnya
dan berbagai lagi yang boleh kita lihat.
Antara
punca-puncanya ialah kita berpuasa dengan bersebab,
maksud ana ada dikalangan kita yang berpuasa kerana
nak diet, ada yg kerana nak hilangkan sakit dan
seumpamanya. Maka inilah bahaya bila melakukan satu-satu
kerja (amalan) tidak kerana Allah semata-mata, masing-masing
melakukan amalan kerana dunia dan seumpamanya maka
bertambah degil dan bermaharajalelalah nafsu kita.
Jadi, kunci yang setepatnya ialah berpuasa selalu
dengan hati yang amat ikhlas untuk mencari keredhaan
dan kerahmatan Allah (bukan menginginkan ganjaran).
Contohilah keikhlasan seperti Rab`ah Adawiyah yang
pernah berdoa "
Ya
Allah, sekiranya solatku (amal ibadahku) ini
kerana inginkan ganjaran maka aku lebih rela
dimasukkan kedalam neraka". (mafhum riwayah).
3. Dunia : halangan yang ketiga ini rasa
ana kita semua masing-masing dah tahu sangat, yang
dimaksudkan dengan dunia ialah semuanya....... perhiasan,
harta, wanita dan berbagai-bagai lagi yang mana
setiap satunya adalah cabaran yang cukup berat dan
hebat untuk kita mengharunginya. Pernah diriwayatkan
dari satu kisah para ahli suffiyah : Allah s.w.t
memerintahkan kepada Dunia :
"Wahai
Dunia...sekiranya manusia itu menggunakanmu
kerana ingin berbakti kepadaKu maka jadilah
engkau hamba kepada manusia tersebut, sebaliknya
jika dia menggunakanmu kerana kepentingannya
maka jadikanlah dia hamba kepadamu."(mahfum
riwayah)
Cerita
ini bertepatan dengan satu kata-kata yang agak mashyur
dikalangan masyarakat kita :
"Jika
kamu mengejar dunia, dia akan semakin jauh (lari)
meninggalkanmu, sebaliknya jika kamu meninggalkannya
maka dia akan datang mencarimu".
Kadangkala
kita mampu menjadikan dunia sebagai sumber bekalan
di sana kelak seperti jadi orang kaya yang pemurah,
memiliki wanita yg solehah (sebagai isteri atau
anak) dan sebagainya. Akan tetapi yang selalunya,
kita akan ditipu dan tertipu dengan dunia tadi.
Sebaiknya kita berusaha untuk tidak memiliki mana-mana
sumber dunia yang cepat dan dapat merosakkan kita
atau kita lalai dengannya. Jadi bila rasa tak mampu
nak jadi orang kaya yang pemurah, kita jangan cuba-cuba
untuk menjadi kaya kerana kaya tadi akan merosakkan
kita begitulah seterusnya. Ambillah iktibar dari
kata-kata Hassan Al-Basri ra. :
"...tanda-tanda
Iman ditarik dari hati (ditutup pintu hatinya)
ialah Allah akan sibukkan dirinya dengan urusan
dunia..."(mafhum riwayah).
Lantas marilah kita bersama membina hubungan cinta
makhluk kepada Khaliknya (Pencipta) dengan erti
percintaan yang sebenar, Kalau inginkan kebahagiaan
carilah cinta yang hakiki kepada Allah terlebih
dahulu bukan kepada makhluk, seperti kata hikmah
:
"cinta
kepada bunga, bunga akan layu, cinta kepada
manusia, manusia akan mati, sebaliknya cinta
kepada Ilahi kekal abadi"...
fikirlah.
Ma`assalaamah