assalamu'alaikum,
Saya tak pasti jika sebelum ini sudah ada topik ni
dibincangkan. Saya catatkan fatwa Yusof Qardawi dari
buku "Fatwa Masa Kini" muka surat 335-343. Ianya agak
panjang- harap sabar sikit. Banyak nas2 yang Qardawi
bentangkan:
Masjid Dan Politik
Soalan:
Kami
berselisih pendapat dalam satu persoalan penting.
Ada yang bersetuju dan ada yang membangkang. Masing-masing
tidak dapat menerima pendapat orang lain. Kami bersetuju
untuk merujuk kepada pihak tuan (yakni Yusof Qardawi),
kerana persoalan ini penting, terutamanya pada masa
kini. Persoalannya ialah: Adakah harus menggunakan
masjid untuk tujuan politik? Apakah dalil keharusannya,
jika hukumnya harus? Atau dalil pengharamannya, jika
ia ditegah? Semoga Allah Taala memnberi taufik dan
manafaat ilmu tuan kepada umat Islam.
Jawapan
Yusof Qardawi:
Masjid: Pusat Dakwah dan Pemerintahan di Zaman Nabi
(s.a.w.) Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) merupakan
pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat
beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat,
markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan,
tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang dating
dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat
Rasulullah (s.a.w.) membuat pertemuan dengan mereka
dan tempat Rasulullah (s.a.w.) menyampaikan khutbah
dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama
ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran.
Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan
di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang)
dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang
lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada
masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah
markaz dakwah dan politik. Masjid Di Zaman Kegemilangan
dan Zaman Kemuduran. Begitu juga di zaman Khulafa
Ar Rashidin selepas Rasulullah (s.a.w). Masjid dijadikan
sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti
politik dan sebagainya. Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan
ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah
beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya.
Beliau berkata:
“Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu.
Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan
kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan
yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng,
perbetulkanlah aku.”
Umar
bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di
masjid, beliau berkata:
“Wahai
manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng,
perbetulkan aku!” Lalu seoang makmum berkata:
“Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng,
kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang
kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada
Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar,
mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar
dengan mata pedangnya.”
Masjid
terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan
di zaman kegemilangannya. Tetapi ketika luputnya bintang
tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam
segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah.
Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang
sahaja. Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga.
Kerana ia bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca
khutbah. Tajuknya hanya berligar di sekitar zuhud
di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab
akhirat. Oleh kerana itu sewaktu ruh kebangkitan Islam
mula meresapi tubuh umat ini, kita dapati sebahagian
daripada khatib bercakap tentang permasalahan umat
Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan
umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama
dan kedinginan cendikiawan. Oleh itu kita dapati,
setengah orang berkata: Khatib itu bercakap tentang
politik…! Politik
Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak.
Saya
tidak faham, kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’,
seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah?!
Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang
paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang
politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang
paling mulia. Yang peliknya lagi ialah sebahagian
ahli politik sendiri yang bertanya:”Adakah harus menggunakan
masjid untuk tujuan politik?” Sedangkan mereka bergelumang
dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki.
Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor,
apabila ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan
oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lengkaran
hukum dan nilai-nilainya.
Politik
yang ditolak ialah politik ‘Micheavelli’ yang menyatakan
matlamat menghalalkan cara, tidak beriltizam dengan
akhlak serta nilai-nilai kebaikan dan mengenepikan
halal dan haram. Manakala politik dengan maksud mentadbir
urusan seluruh manusia dengan menjaga kepentingan
mereka dan menghilangkan keburukan serta menegakkan
keadilan di kalangan mereka, makia ia adalah selari
dengan agama, bahkan ia adalah sebahagian daripada
agama kita, kerana Islam itu adalah aqidah, ibadah,
akhlak dan sistem hidup yang lengkap. Risalah masjid
sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar
tidak dapat digambarkan bahawa ianya boleh dipisahkan
daripada politik dengan pengertiannya yang di atas.
Masjid
diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat
Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan
agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia
mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam
seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian,
kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikenali
sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam
yang diketahui, di mana Nabi (s.a.w.) menjadikankannya
sebagai seluruh agama sebagaiaman di dalam sabdanya
yang bermaksud;
“Ad-Deen
itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk
siapa wahai Rasulullah?” Sabdanya: “Bagi Allah,
Rasul, Kitab dan Imam Muslimin serta umat Islam
seluruhnya.”
Ia
juga termasuk dalam konteks berwasiat dengan kebenaran
dan berpesan dengan kesabaran yang dijadikan oleh
al-Quran sebagai syarat untuk mendapat keselamatan
daripada kerugian di dunia dan akhirat. Firman Allah
bermaksud
*(
Al-Asr: 1-3): “Demi masa! Sesungguhnya manusia
itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Ia juga tergolong daripada amar-makruf dan nahi mungkar
yang dijadikan oleh Allah Taala sebagai sebab utama
kepada kebaikan umat ini. Firman Allah (s.w.t.): Maksudnya:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik
umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara
yang baik, dan melarang daripada segala perkara
yang salah (buruk dan keji).” (Ali-Imran: 110).
Allah Taala juga menjadikannya salah satu daripada
sifat asasi mukminin dan mukminat. Firman Allah (s.w.t.):Maksudnya:
“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan
melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta
ta’at kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itulah
akan diberikan rahmat oleh Allah.”
Di
dalam ayat di atas, Allah (s.w.t.) mendahulukan kefardhuan
amar makruf dan nahi mungkar daipada kefarduan solat
dan zakat, sedangkan kedua-duanya merupakan rukun
Islam. Ini menunjukkan kepentingan kefardhuan amar-makruf
nahi mungkar. Allah juga memberitakan kepada kita
tentang laknat yang menimpa orang yang meninggalkan
kewajipan ini di kalangan umat-umat yang terdahulu.
FirmanNya: Maksudnya:
“Orang-orang kafir Yahudi dari bani Israel
telah dilaknat (di dalam kitab-kitan Zabur dan
Injil) melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa bin
Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka
dan menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan
(sesama sendiri)n dari perbuatan mungkar (derhaka
dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya
amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”
Melalui
nasihat, berpesan dengan kebenaran dan amar makruf
nahi mungkar, masjid berperanan di dalam memberi pengarahan
terhadap urusan pentadbiran umat, memberi kesedaran
kepada mereka tentang permasalahan hidup mati mereka
dan mendedahkan kepada mereka tentang tipu daya musuh.
Semenjak dahulu lagi masjid berperanan meniupkan semangat
jihad fi sabilillah dan semangat menentang musuh yang
menceroboh. Intifadhah yang diberkati, yang berlaku
sekarang di bumi ambiyak ‘Palestin’ bermula dari masjid.
Seruan pertamanya bergema dari menara azan. Pada permulaannya
kebangkitan ini dinamakan sebagai kebangnkitan masjid.
Begitu juga jihad di Afghanistan dan lain lain tempat
lagi, masjid mempunyai peranannya yang tidak dapat
dinafikan. Saya masih ingat pada tahun 1956 sewaktu
permusuhan tiga serangkai ke atas Mesir, saya dijemput
oleh Kementerian Wakaf yang menjadi menterinya pada
masa itu ialah Syeikh Ahmad al-Baaquri untuk menyampaikan
khutbah Jumaat di salah sebuah masjid terbesar di
Bandar kaherah untuk menguatkan semangat orang ramai.
Walaupiun ketika itu saya tidak dibenarkan berkhutbah,
mengajar dan setiap aktiviti yang memberi pengaruh
kepada umum., tetapi keadaan darurat ketika itu memaksa
mereka meminta pertolongan saya. Kementerian wakaf
dan ha ehwal masjid menyeru para khatibnya dari masa
ke semasa supaya menyentuh dalam khutbah mereka tajuk-tajuk
yang boleh menolong negara mencapai matlamatnya dan
melaksanakan polisinya. Seperti bersederhana dalam
melakukan penggunaan, menentang keganasan, memerangi
pelampau, seruan ke arah kesatuan bangsa, kempen membasmi
dadah…semuanya itu adalah dari lubuk politik.
Jadi
apakah yang dimaksudkan dengan ‘tujuan-tujuan politik’
sebagaimana yang terdapat di dalam pertanyaan di atas?
Difahami daripada soalan seumpama ini ialah politik
pembangkang yang menentang kerajaan. Pada pendapat
saya, politik yang berbentuk begini tidaklah ditegah
secara mutlak dan tidak juga diharuskan secara mutlak.
Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu
dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca,
menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama
ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak
harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan
nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian. Tetapi
mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara
yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi
kerajaan.
Masjid
didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk
meyokong polisi mana-mana kerajaan. Ketika kerajaan
bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti
berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan. Tidak
harus sama sekali masjid ditegah daripada haknya yang
tradisi, logik dan bersejarah ini; iaitu hak memberi
kesedaran dan peringatan kepada umat daripada taghut-taghut
yang tidak melaksanakan syariat Allah dan meghukumkannya
mengikut hawa nafsu mereka atau tuan-tuan mereka yang
sedikitpun tidak mempunyai kekuatan ketika berhadapan
dxengan kekuatan Allah (s.w.t..)
Di sesetengah negara Islam, kerajaan mengeluarkan
enakmen berhubung hukum kekeluargaan yang bercanggah
dengan syariat Islam, lalu ulama bangkit menentangnya
dan mengkritik di masjid-masjid, kerana media massa
yang lain dikuasai oleh kerejaan. Tindakan kerajaan
tersebut terhadap ulama-uama yang berani ialah hukum
bunuh dan bakar! Perkara ini secara tepatnya berlaku
di Somalia. Pemerintah menggunakan masjid sebagai
trompet untuk mengembar-gemburkan polisinya. Apabila
mereka mahu berdamai dengan Israel, maka mereka mengatakan
bahwa perdamaian adalah satu kebaikan berdasarkan
firman Allah (s.w.t): Maksudnya:
“Dan
jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian,
maka nengkau juga hendaklah cenderung kepadanya
serta bertawakallah kepada Allah.” (Al-Anfaal:
61)
Ketika
hubungan mereka dengan Israel menjadi tegang, maka
mereka mengatakan bahawa bangsa Yahudi adalah musuh
yang paling ketat kepada orang-orang yang beriman.
Perdamaian dengan mereka adalah haram dan khianat.
Demikianlah apa yang terjadi. Masjid tidak lagi menjadi
lidah yang benar bagi risalah Islam, bahkjan ia menjadi
agensi dakyah kepada polisi kerajaan. Keadaan ini
menyebabkan masjid hilang fungsi dan pengaruhnya di
dalam masyarakat dan dalam waktu yang sama ia juga
menjatuhkan kemuliaan ulama dan pendakwah kepada jalan
Allah. Kita memohon kepada Allah (s.w.t.) agar memberikan
keselamatan kepada agama dan dunia kita.
|