AJK PAS Pusat, Dr. Mohd. Hatta Mohd. Ramli

Tinggalkan gaji tinggi untuk berkhidmat dengan jemaah

 


Dr. Hatta Mohd. Ramli
Dr. Hatta Mohd. Ramli meletakkan jawatan sebagai pensyarah di bidang perubatan kerana ingin bersama pimpinan PAS lain dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang melaksana-kan syariat Islam.

Beliau mengenali PAS sejak kecil lagi apabila Allahyarham bapanya merupakan aktivis PAS di Kawasan Ranting, Setiawan, Perak. Beliau melibatkan diri dalam PAS pada tahun 1982 dan menjadi ahli tahun 1983 di Kawasan Setapak.

Aktif dalam PAS

Semasa di peringkat universiti beliau sudah terlibat dengan kegiatan politik kampus. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau adalah ahli Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Ecxo tugas-tugas khas dan Setiausaha Mahasiswa Perubatan UKM selama 6 tahun.

Dr. Hatta juga pernah memegang jawatan Setiausaha Pemuda Kawasan Bakri, Johor akhir tahun 1985 iaitu sewaktu beliau bertugas di Johor dan menjadi Setiau-saha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor bagi sesi 1987/1989. Beliau meletakkan jawatan dalam kerjaya ke-rana melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di National University of Singapore dan dalam masa yang sama dilantik menjadi Exco Pemuda Pusat.


Dr Hatta masih menjalankan tugas sebagai pegawai perubatan walaupun selepas meletakkan jawatan.
Pada tahun 1988 beliau dilantik menjadi Exco Pemuda PAS Negeri Selangor, kemudian dilantik menjadi Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor pada tahun 1991 dan menjadi Ketua Pemuda PAS Negeri tahun 1997. Dalam tahun itu juga beliau telah dipilih untuk duduk di dalam saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan kekal di saf kepimpinan AJK PAS Pusat bagi sesi 1999/2001. Dr. Hatta juga aktif dalam PAS Kawasan Gombak dan memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Kawasan.

Walaupun beliau tidak banyak terlibat dalam kepimpinan PAS sewaktu di zaman Dato' Asri tetapi beliau sempat mengikuti beberapa program di bawah Dato' Asri.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese di Setiawan Perak pada tahun 1963 hingga 1971. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1972 hingga 1975.

Kemudian mengikuti Matrikulasi di Sabah pada tahun 1975-1976. Melanjutkan pelajaran di bidang Perubatan Universiti Ke-bangsaan Malaysia (UKM) tahun 1976 hingga 1982 dengan mendapat kepujian bidang Obstetrik dan Ginekologi. Beliau kemudian mendapat Sarjana di bidang Kesihatan Awam pada tahun 1987 hingga 1988 di National University Singapore.

Latarbelakang keluarga

Dr. Hatta Mohd. Ramli dilahirkan di Kampung Pasir Panjang, Setiawan, Perak tahun 1956. Bapanya Haji Mohd. Ramli Haji Mustapa telah meninggal dunia tahun 1995 dan ibunya Arga'ayah Md. Rawi 83. Beliau mempunyai 7 beradik dan anak ke 5.

Dr. Hatta berkahwin dengan rakan sekelasnya iaitu Dr. Kalsom Maskom tahun 1979 iaitu ketika beliau berada di tahun 4 UKM. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, beliau dikurniakan 7 zuriat, 3 lelaki 4 perempuan.

Pengalaman kerja


Beliau berkeyakinan kombinasi antara golongan ulama dan profesional memberikan kelebihan dengan lain-lain parti politik terutamanya Umno. Kombinasi itu membuka lembaran baru terutama dengan penyertaan tokoh-tokoh korporat, semakin melengkapkan PAS sebagai satu parti yang mengikuti arus perdana

Setelah tamat belajar beliau ditawarkan bertugas di Hospital Kuala Lumpur dari tahun 1982 hingga 1984. Menjadi Pensyarah pelatih dalam tempoh satu tahun di UKM dan pernah bertugas di Pusat Kesihatan Besar Sungai Mati, Muar dalam tempoh enam bulan. Kemudian menjadi Pegawai Kesihatan Daerah Muar pada Mac 1987. Beliau pernah menjadi Penolong Pengarah Kesihatan di Unit Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak selama enam tahun.

Tahun 1994 beliau meletakkan jawatan di Kementerian Kesihatan dan menjadi Pensyarah di Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan UKM.

Akhirnya Dr. Hatta Mohd. Ramli meletakkan jawatan pada 31 Oktober 1994 untuk menumpukan sepenuh masa dengan tugas-tugas dan aktiviti dalam PAS.

Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana melihat suasana di dalam politik PAS memerlukan pemimpin PAS terutama mereka yang dilantik AJK PAS Pusat menumpukan sepenuhnya masa terhadap PAS.

Melalui tahap perkembangan politik yang pantas dan minat masyarakat untuk mengikuti aktiviti PAS maka usaha-usaha dan gerak kerja dari golongan profesional amat diperlukan.

Apabila beliau telah menumpukan sepenuh masa terhadap PAS, beliau menjadi aktif bukan sahaja di peringkat Pusat bahkan di peringkat kawasan. Pada bulan Mei 1999 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Pengarah di Pusat Penyelidikan PAS.

Kemunculan golongan profesional

Dr. Hatta berkeyakinan lebih ramai lagi golongan profesional akan menyertai PAS apabila mereka melihat PAS membuka ruang yang luas kepada sesiapa sahaja untuk menjadi ahlinya. Penglibatan golongan profesional itu secara tidak langsung menepis tuduhan yang mengatakan PAS hanya untuk golongan para ulama sahaja.

Maka, imej PAS dapat diperkembangkan dan golongan profesional tidak berasa was was akan kemampuan PAS. Golongan profesional juga berpeluang memegang pelbagai jawatan di Lajnah di samping tidak menafikan golongan ulama' sebagai tunggak kekuatan dalam parti PAS.

Beliau berkeyakinan kombinasi antara golongan ulama dan profesional memberikan kelebihan dengan lain-lain parti politik terutamanya Umno. Kombinasi itu membuka lembaran baru terutama dengan penyertaan tokoh-tokoh korporat, semakin melengkapkan PAS sebagai satu parti yang mengikuti arus perdana. Kini ruang untuk menyertai PAS semakin terbuka luas dan timbul keinginan daripada orang bukan Islam untuk menyertai PAS kerana mereka melihat PAS cukup relevan dalam suasana politik hari ini.

 

Ke Laman Utama