Senator Hajah Jamilah Ibrahim

Ketua Muslimat yang bervisi jauh

 

Kepercayaan dan keyakinan pimpinan PAS terhadap kredibiliti muslimat telah melenyapkan sangkaan buruk masyarakat terutamanya Barisan Nasional bahawa PAS telah mendiskriminasikan wanita. Perlantikan dua wanita untuk dua kerusi senator yang diperuntukkan kepada PAS (melalui kerajaan negeri Kelantan) telah membuktikannya.

Senator Hajah Jamilah Ibrahim merupakan ketua muslimat yang berkarisma bukan sahaja memberi persaingan hebat terhadap Ketua Wanita Umno bahkan kepada peneraju Umno yang ada sekarang ini.

Beliau merupakan muslimat 'veteran' berilmu dan berpengalaman luas dalam bidang dakwah dan politik, tidak pernah jemu berusaha dan tidak kedekut untuk menurunkan ilmu serta pengalaman yang ada kepada generasi muda atau yang baru mengenali Dewan Muslimat PAS.

Ibu yang mempunyai 3 orang anak dan 4 cucu, tidak pernah mengenal erti jemu dan rendah diri untuk berdiri setanding dengan pimpinan BN ketika bertugas di Dewan Negara.

Politik

Oktober 1983 beliau telah menjadi ahli PAS dan ahli Dewan Muslimat PAS setelah balik daripada Amerika Syarikat mengikut suaminya melanjutkan pelajaran.

Beliau kemudiannya diamanahkan untuk menganggotai Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP).

Senator Jamilah begitu peka dengan bakat dan kesungguhan yang ada pada muslimat, bahawa kaum muslimat mempunyai kewajipan yang sama dengan muslimin untuk berada di medan politik bagi menegakkan negara Islam.

Keyakinannya terhadap PAS begitu kukuh kerana ia berada di bawah kepimpinan ulama' yang membawa dua matlamat idealism iaitu politik dan dakwah. Beliau amat berkeyakinan bahawa penglibatan muslimat amat penting untuk membangunkan ummah di negara ini.

Di dalam ceramah dan perjumpaan yang sering dihadiri, Jamilah tidak jemu untuk mengingatkan muslimat bahawa tidak ada alasan untuk mengecualikan diri daripada menyertai medan perjuangan dalam gerakan Islam di dalam negara ini.

Di bawah kepimpinannya sebagai Ketua Dewan Muslimat, banyak perubahan yang telah dilakukan iaitu dari masyarakat tidak mengenali apa itu 'Dewan Muslimat' kini nama itu seiring dengan 'wanita Umno' dan pergerakannya lebih aktif lagi.

Wajah dan nada suara yang lembut tidak menggambarkan bahawa beliau seorang muslimat yang lemah dan mudah dirayu dengan kemewahan. Sebaliknya beliau seorang muslimat yang tegas, berani dan mempunyai wawasan untuk memartabatkan hak dan nilai wanita yang selama ini telah diperalatkan oleh parti BN.

Beliau sanggup pulang larut malam, berhadapan dengan pimpinan BN ketika di Dewan Negara, bukan kerana mahu mengejar glamour tetapi semata-mata kerana mahu melihat martabat wanita dikembalikan dengan cara memberi ruang PAS memerintah.

Untuk mengembalikan keunggulan muslimat, Dewan Muslimat di bawah pimpinan Senator Jamilah telah berganding bahu dengan Dewan Ulama' dan Pemuda, untuk sama-sama turun ke medan perjuangan, bertemu dengan masyarakat bagi menjelaskan perlunya negara Islam diwujudkan.

Senator Jamilah merupakan 'peneroka' untuk kaum muslimat bagi membuka minda masyarakat terutama golongan cendekiawan untuk menyertai DMPP.

Jika dahulu DMPP hanya dianggotai dari kalangan ustazah tetapi dengan kebijaksanaan beliau, DMPP telah didokongi dari kalangan ahli korporat, golongan profesional dan usahawan.

Walaupun kemunculan golongan profesional dan cendekiawan berada di dalam DMPP, tetapi beliau tetap menyeru semua lapisan masyarakat supaya bersama-sama memberi sokongan sama ada dari segi fikiran, tenaga dan harta.

Beliau percaya bahawa setiap individu mempunyai kemahiran dan bakat yang perlu digilap dan ditonjolkan untuk membuktikan bahawa muslimat juga mempunyai peranan yang sama dengan muslimin dalam membangunkan negara Islam.

Pada tahun 1984, Ustazah Jamilah diberi kepercayaan menjadi Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Ketika itu ketuanya adalah Ustazah Wan Asma' Wan Abdul Kadir.

Beliau memangku jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada tahun 1992 apabila ketuanya, Wan Asma' tidak sihat untuk meneruskan tugasnya sebagai ketua.

Pada tahun 1993, beliau menang tanpa bertanding untuk mengisi jawatan Ketua Dewan Muslimat.

Pada tahun 1997, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah memilih beliau sebagai ahli Dewan Negara mewakili negeri Kelantan. Pemilihan itu telah membuktikan bahawa PAS tidak pernah mendiskriminasikan wanita untuk menjadi seorang pemimpin atau wakil rakyat. Muslimat di dalam PAS bukan merupakan kelas kedua sebagaimana yang dicanangkan oleh BN.

Keluarga

Jamilah Ibrahim dilahirkan pada tahun 1947 di Derga, Alor Setar, Kedah. Ayahnya seorang guru pondok iaitu Allahyarham Haji Ibrahim Haji Abdullah dan ibunya Allahyarhamah Hajah Hawa Abdul Rahman.

Suaminya Abdul Aziz Hassan bekas pensyarah ITM dan sekarang bertugas sebagai pendaftar di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah beliau tidak mempunyai banyak masalah kerana suami dan anak-anaknya sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk terus berkhidmat di medan perjuangan.

Beliau adalah juga adik ipar kepada Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd. Noor. Beliau mempunyai 3 adik beradik, kakaknya Khadijah Haji Ibrahim (isteri kepada Dato' Presiden) dan adiknya Ustaz Sauqi Ibrahim Ketua PAS Kawasan Pokok Sena.

Pengalaman

Beliau mempunyai pengalaman mengajar selama 25 tahun. Beliau pernah menjadi penasihat Malaysian Islamik Study Group (MISG) sewaktu di Amerika Syarikat.

Hobi

Di waktu lapang beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca, berkenalan dengan semua lapisan masyarakat dan melancong.

Falsafah hidupnya 'kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' kalau kita berminat untuk berjumpa dengan masyarakat walau apa rintangan sekalipun kita akan berusaha juga untuk berziarah mengenali mereka serta mengetahui keperitan hidup mereka, terutama golongan yang hidup di kampung.

Beliau juga gemar berjumpa dengan ahli akademik yang suka membuat kajian dalam ilmu-ilmu fizik, kajihayat dan seumpamanya.

Perbincangan sering dilakukan dengan ahli cendekiawan kerana beliau berkeyakinan melalui perbincangan itu akan mendatangkan keberkesanan yang lebih mendalam.

Beliau yakin bahawa Islam akan mencapai kemenangan kerana kedudukan politik diibaratkan seperti roda; adakalanya berada di atas dan di bawah.

Senator Jamilah berkeyakinan bahawa laungan 'Allahu Akhbar' akan bergema memecah kesunyian dan kesepian umat Islam terutamanya para 'peneroka' PAS yang dahagakan pelaksanaan sistem Islam.

 

Ke Laman Utama