Naib Presiden PAS, Haji Mustafa Ali

Tokoh politik berpengalaman luas

 

Haji Mustafa Ali
Haji Mustafa Ali adalah bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar iaitu sewaktu PAS menyertai parti Barisan Nasional (BN) pada awal tahun 1977. Pada akhir tahun 1977, beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri kerana menentang pengisy-tiharan yang dibuat oleh kerajaan pusat ke atas negeri Kelantan melalui Akta Darurat. Anak kelahiran Seberang Marang, Terengganu ini berpendirian tegas dan sedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja bagi menegakkan kebenaran dalam perjuangan. 

Pengalaman politik 

Haji Mustafa minat berpolitik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Sewaktu pilihan raya tahun 1959 beliau sedang belajar di tingkatan dua dan waktu itu beliau terlibat membantu kerja-kerja pilihan raya seperti menampal poster dan sebagainya. 

Ayahnya Haji Ali merupakan pengasas dan ketua PAS cawangan Seberang Marang ketika itu. Pada tahun 1959 rumah ayahnya turut dijadikan markas pilihan raya dan secara tidak langsung beliau turut membantu kerja-kerja pilihan raya. 

Kali pertama beliau menyertai muktamar PAS tahun 1973 dan mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Beliau kemudiannya di lantik menjadi Ketua Pemuda PAS dan memegangnya selama 12 tahun iaitu dari tahun 1975 hingga 1987 iaitu jawatan yang pertama kali dipegang sejak menyertai PAS. 

Tahun 1987 beliau melepaskan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan dilantik menjadi Bendahari PAS Pusat selama 10 tahun iaitu dari tahun 1987 hingga 1997. Pada muktamar Agung PAS tahun 1997 beliau dipilih oleh para perwakilan untuk memegang jawatan Naib Presiden PAS sehingga sekarang. 

Haji Mustafa pernah melalui tiga krisis besar dalam PAS sepanjang penglibatannya dalam parti. Tahun 1974 yang melahirkan kumpulan Bebas Bersatu ditubuhkan oleh ahli PAS di Kelantan yang tidak bersetuju PAS bergabung dengan Barisan Nasional. Tahun 1977 pula lahir parti Berjasa di bawah pimpinan Dato' Mohamad Nasir. Manakala pada tahun 1982 pula berlaku penubuhan parti Hamim yang merupakan serpihan dari parti PAS di bawah pimpinan Dato' Asri apabila Dato' Asri keluar PAS bersama pengikutnya. Selepas itu, PAS diterajui oleh kepimpinan ulama. Dasar kepimpinan ulama ini adalah berdasarkan satu resolusi Dewan Pemuda PAS pimpinan beliau pada ketika itu yang mencadangkan idea tersebut. Di bawah kepimpinan ulama', PAS tidak lagi mengalami krisis sebaliknya dapat memantapkan lagi jemaah Islam. 

Beliau juga merupakan antara pimpinan PAS yang terlibat secara langsung dalam perundingan dan kerjasama antara PAS dan Parti Melayu Semangat 46 dalam pembentukan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tahun 1988. 

Dari pengalaman beliau melalui tiga krisis dalam PAS, iktibar yang diperolehi ialah tidak ada sesiapa pun yang dapat bertahan jika menentang parti. Beliau mengingatkan ahli PAS supaya jangan mencabar kewibawaan pimpinan atau perlembagaan yang telah ditetapkan oleh PAS kerana kedudukan seseorang itu akan tenggelam atau akan hilang pengaruhnya jika dipecat dari menjadi ahli PAS. 

Beliau yang berpengalaman dalam PAS mengingatkan krisis yang berlaku dalam PAS kerana mengabaikan persetujuan secara syura. Kepimpinan ulama yang ada sekarang ini berbeza dengan sistem pimpinan PAS dahulu kerana sekarang PAS mengamalkan sistem syura. 

Di Terengganu, Haji Mustafa diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu. Pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yang Dipertua PAS bagi tiga kawasan itu Kuala Terengganu, Marang dan sekarang di Kawasan Dungun. Walaupun beliau tidak lagi bertugas sebagai guru tetapi Haji Mustafa masih lagi diamanahkan sebagai Pengerusi Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) di sekolah Pusat Kuala Ibai, Terengganu. Menjadi Pengerusi Koperasi Koinsaf Terengganu dan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah. 

Latar belakang 

Haji Mustafa Ali dilahirkan pada 7 disember 1944 mendapat pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Marang tahun 1951 hingga 1956. Beliau kemudian menyambung pelajaran di sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu tahun 1957 hingga 1962 dan dua tahun berada di sekolah Menengah Sultan Abu Bakar Kuantan menuntut di tingkatan enam tahun 1962 hingga 1964. Tahun 1965 hingga 1968 beliau menuntut di Universiti Malaya dan lulus B.A Hons dan mendapat Diploma Pendidikan dari UM. 

Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1970 dengan Aminah Mohamad. Mempunyai 5 orang cahaya mata 3 lelaki dan 2 perempuan. Isteri beliau, puan Aminah turut aktif dalam politik dan menjawat jawatan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat. Aminah juga menjadi Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Terengganu dan AJK Dewan Muslimat Kawasan Kuala Terengganu. Walaupun Haji Mustafa terlalu sibuk dengan urusan politik seperti menghadiri mesyuarat, ceramah, bertemu masyarakat tetapi beliau tidak lupa dengan hobinya untuk membaca buku dan bermain catur. 

Pengalaman kerja 

Setelah tamat pengajian di UM beliau ditawarkan mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ismail Dungun tahun 1969 hingga 1972. Beliau pernah menjadi Setiausaha PIBG daerah Dungun dan pada tahun 1973 hingga 1974 beliau menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Marang, Terengganu. Kerana itulah sehingga sekarang, beliau lebih dikenali sebagai Cikgu Pa di kalangan yang rapat dengannya. 

Pada tahun 1974 beliau meletak jawatan sebagai guru kerana bertanding dalam pili-han raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu menentang calon PSRM, Kassim Ahmad. Beliau pernah dilantik menja-di Setiausaha Parlimen di Ke-menterian Industri dan Per-dagangan sebelum Timbalan Menteri Sains dan Teknologi. 

Haji Mustafa pernah mengetuai rombongan perdagangan Malaysia ke negara Kesatuan Eropah (EEC). Pernah mewakili Malaysia dalam Seminar Ahli Parlimen Komanwel di London pada tahun 1975. Haji Mustafa juga pernah mewakili Malaysia ke Persidangan Negara-negara Islam OIC di Jeddah tahun 1975. Tahun 1978 beliau bertanding sekali lagi atas tiket PAS di Kuala Terengganu dan mengalami kekalahan dan waktu itu semua kerusi PAS kalah dalam pilihan raya. Pada tahun 1982 dan 1986 selama dua penggal beliau menang dalam pilihan raya atas tiket PAS di Dun Wakaf Mempelam dan pada tahun 1990 beliau sekali lagi bertanding di Dungun tetapi mengalami kekalahan.