Perang saraf dan takut logo?
LOGO DIGUNAKAN UNTUK UBAH PSIKOLOGI RAKYAT
 Setelah Dr.Siti Zaharah membangkitkan isu logo PETRONAS serupa dengan 'bulan' PAS, respon pertama saya ialah tersenyum. Cuma senyum saja, ianya bukan lucu seperti buku "SHIT" yang UMNO kata lucah, tetapi senyum itu sebenarnya senyum kambing yang menjadi kegemaran Utusan Malaysia.

Seorang kawan terus berkata, happa ra UMNO bodoh sangat!. Tetapi saya katakan kepada kawan saya, hati-hati, kerana orang yang berkata begitu ada degree, doktor pulak tu! MAHATHIR pun degree itu juga. Masakan mereka bodoh, tetapi saya katakan kepada kawan saya itu, mereka bukan bodoh, tetapi juga bukan cerdik, tetapi mereka gayat.

Biasanya orang gayat akan boleh jadi panik, pertimbangan akal tidak berfungsi dengan betul, tak berpedoman dan kadang-kadang boleh menjadi pitam dan akhirnya akan jatuh. Orang gayat akan berusaha sedaya mungkin untuk menstabilkan dirinya dengan berbagai-bagai cara dan keadaan bergantung kepada kedudukannya, kerana semakin tinggi kedudukan, bahaya yang akan menimpa juga semakin berat. Kesan orang jatuh katil tak sama dengan kesan orang jatuh pokok kelapa, kerana tingginya berbeza walaupun akhirnya mereka akan mati jua.

Akibat gayatlah Siti Zaharah berkata begitu. PAS menggunakan bulan sebagai logo mereka, dan mereka kekal dengan identiti itu. Namun UMNO tidak kekal dengan identiti kerisnya. Dulu ada dua keris pada logonya, tetapi akibat gawat dan gayat, maka tak ada dua keris kerana difahami nanti dua ketua tak boleh, maka dilucutkan satu keris. Inilah apabila terlampau percaya sangat kepada psikologi saja, psikologi tak terpimpin namanya, psikologi saja tak boleh, ianya kena dipimpin oleh pedoman Tuhan.

UMNO umumnya kena ingat, bentuk bulat pada lambang PAS itu simbol kepada bulan sahaja. Tetapi yang sebenarnya ialah BULAN itu tetap bulanlah. Ianya tak boleh diubah oleh sesiapa pun, bulan itulah yang jadikan malam cerah, bulan itu adalah ciptaan Tuhan, Allah. Kalau sudah terlampau gayat pun, janganlah sampai nak jolok bulan supaya jatuh. Kalau bulan pun UMNO nak pertikai nak ubah, UMNO ni nak ajar Tuhan, Allah agaknya. Rasanya tak mustahil UMNO akan adakah fatwa mereka tak boleh jadikan bulan, matahari, bumi dan seumpamanya sebagai perlambangan.

Kita tak perlu pertikai sangat tentang macamana mereka nak tukar lambang PETRONAS itu, tetapi rasanya elok kita fikir kenapa UMNO ini sudah jadi sedemikian. Sebab-sebabnya, inilah yang kita kena analisa sama-sama, fikir sama-sama. Kerana mereka hasrat untuk menukar logo itu adalah berasal dari hati-hati mereka, kenapa hati mereka menjurus berfikir sedemikian?

Apabila gayat, UMNO umumnya akan menjadikan psikologi semata-mata, logo itulah telah menghantui mereka, PAS adalah menghantui mereka, Anwar Ibrahim menghantui mereka, UMNO menggunakan psikologi yang tak dipimpinlah, mereka jadi takut apabila ada sesuatu objek yang menyerupai PAS dan sebagainya. Mereka cukup percaya dengan amalan HITLER NAZI di Jerman, psikologi manusia boleh diubah dengan selalu mendedahkan sesuatu yang disampaikan kepada manusia setiap masa, misalnya, membunuh adalah jahat, tetapi akibat dari ia selalu diulang-ulang maka ianya akan menjadi biasa dan orang tak beranggapan bahawa bunuh itu jahat lagi. Sebab itulah NAZI dan orang-orang membunuh sesuka hati kerana membunuh bagi mereka adalah baik.

UMNO pun menggunakan pendekatan yang serupa, misalnya UMNO nak mengubah tanggapan dan psikologi rakyat tentang Anwar Ibrahim, UMNO melalui medianya sentiasa mengulang-ulang perkataan yang memburukkan Anwar, mereka berfikir, dengan cara itu lama-kelamaan rakyat akan boleh menerimanya. Rakyat tak faham psikologi ini, oleh kerana psikologi ini ialah taktik mereka, maka mereka cukup takut kesan psikologi itu ke atas  UMNO. Sebab itulah mereka sanggup mengubah logo PETRONAS walaupun ianya dilihat remeh dan bodoh.

Perang saraf seperti inilah yang dimainkan oleh UMNO sejak lama dulu, terutamanya sejak MAHATHIR menjadi Presiden UMNO. Mungkin Tuanku Abdul Rahman tahu psikologi ini amat merbahaya kepada orang Islam, sebab itulah Tuanku singkirkan MAHATHIR dari UMNO. Taktik ini telah digunakan dengan jayanya oleh Lenin, Karl Marx dan beberapa orang pengamal ' pemerintahan mutlak' di satu masa lampau.

Untuk mengatasi dari terikut-ikut dengan psikologi ini, tidak ada cara lain iaitu menyediakan mental yang kuat dengan psikologi yang berpedoman, menganalisa secara kritikal dan terbuka apa saja yang dibuat oleh Media UMNO. Dengan cara itu sajalah, jentera perang saraf UMNO dapat dilemahkan.

30 JUN 1999