Kenyataan Media Bersama

oleh

Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Prinsip-prinsip Asas Perlembagaan Malaysia

Parti-parti Alternatif berazam mempertingkatkan kerjasama mereka melalui suatu rangka persefahaman yang boleh diterima oleh semua pihak.

Prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia merupakan rangka persefahaman yang paling sesuai untuk menjaminkan kestabilan politik dan keharmonian kaum.  Prinsip-prinsip asas ini diterima sebagai teras manifesto bersama yang akan diumumkan kelak. Prinsip-prinsip yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

  • Raja berperlembagaan
  • Demokrasi berparlimen
  • Hak-hak asasi manusia
  • Keluhuran undang-undang;
  • Kebebasan kehakiman;
  • Hak dan tanggungjawab kewarganegaraan;
  • Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan prinsip kebebasan beragama;
  • Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan hak menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain;
  • Kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang lain dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum yang lain;
  • Sistem pemerintahan persekutuan.


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad, telah menyeleweng daripada prinsip-prinsip asas perlembagaan Malaysia.  Hak asasi manusia dicabul; keluhuran undang-undang terjejas; dan kebebasan kehakiman dicabar. Kedudukan istimewa masyarakat Bumiputera dan hak kaum-kaum lain diperalatkan untuk kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu.

Parti-parti Alternatif sebaliknya akan memperjuangkan cita-cita melahirkan negara Malaysia yang  adil dengan nilai-nilai akhlak yang luhur dipandu oleh 10 prinsip asas Perlembagaan Malaysia.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail  
Presiden keADILan     
  
YB Dato' Uztaz Fadzil Noor
Presiden PAS

Dr. Syed Husin Ali     
Presiden PRM      
  
YB Lim Kit Siang
Setiausaha Agung DAP

2 Julai 1999