KENYATAAN MEDIA

KETUA DPP PUSAT SEDIA DEBAT DI DATELINE JIKA NTV7 PROFESIONAL

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) hari ini menolak dakwaan Pemuda Umno bahawa Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar takut untuk berdiskusi dalam rancangan Dateline NTV7 bersama-sama dengan Pemangku Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishamuddin Hussein dan Ketua Pembangkang, YB Lim Kit Siang. DPP Pusat juga menolak dakwaan bahawa cabaran DPP Pusat untuk berdebat dengan Pemuda Umno sebagai gimik politik semata-mata, tetapi debat ini adalah untuk mencari kebenaran terhadap dakwaan Pemuda Umno tentang isu ketuanan dan masa depan orang Melayu.

DPP Pusat mempertegaskan bahawa penolakkan Ketua Pemuda PAS untuk berdiskusi dalam rancangan Dateline adalah berpunca daripada sikap tidak profesional NTV7 dalam menyiarkan rancangan tersebut. Dakwaan Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Alwi bahawa Dateline sebagai rancangan bersifat akademik adalah tidak benar sama sekali kerana rancangan ini telah bias kepada pihak berkepentingan. Bagi Pemuda Umno, sesuatu program itu akan bersifat akademik jika menguntungkan mereka, tetapi menganggap sebaliknya jika merugikan Umno walaupun program itu dianjurkan oleh mahasiswa di universiti.
 
 

DPP Pusat ingin menjelaskan bahawa Ketua Pemuda PAS pernah menghadiri sesi diskusi Dateline ini pada September 1998, tetapi hanya disiarkan kepada penonton pada 1999, iaitu ketika isu yang dibincangkan sudah lapuk. Penerbit rancangan tersebut juga telah memotong beberapa hujah Ketua Pemuda PAS yang jelas membuka pekung Umno. Rancangan yang disiarkan itu hanya lebih kurang setengah jam berbanding rakaman tersebut dibuat memakan masa lebih daripada satu jam.
 
 

Ketua DPP Pusat ingin menyatakan kesediaan untuk berdiskusi dengan Ketua Pemuda Umno di dalam rancangan Dateline ini sekiranya NTV7 bersikap profesional dan tidak mudah dibeli oleh parti pemerintah korup BN. DPP Pusat mencabar NTV7 supaya menyiarkan diakusi Dateline antara Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda Umno dan Ketua Pembangkang secara langsung bukannya siaran tertunda yang bertujuan menjaga kepentingan Umno. Pemuda Umno juga dicabar supaya tidak memperalatkan penerbit rancangan untuk menjaga kepentingan mereka. NTV7 sepatutnya menjadi syarikat penyiaran yang bermaruah dengan tidak membiarkan dirinya daripada diperalatkan oleh Umno yang merupakan parti yang tidak bermaruah.

Ketua DPP Pusat juga mempertegaskan dakwaan Pemuda Umno bahawa Ketua Pemuda PAS hanya berani berdebat di hadapan penyokongnya sahaja adalah tidak benar. Kita bersedia berdebat dengan Umno di mana sahaja sebaliknya Pemuda Umno yang takut berdebat dengan Pemuda PAS dan berdolak-dalik demi mempertahankan kezaliman mereka daripada terdedah.

Ketua DPP Pusat tidak pernah membawa penyokong untuk mana-mana program, tetapi Umno selalu memaksa kakitangan kerajaan untuk menghadiri program mereka. Kehadiran ramai penyokong pembangkang dalam Debat Perdana UKM adalah berikutan daripada kesedaran politik mahasiswa yang begitu tinggi yang sudah jijik dan benci dengan kezaliman Umno. Inilah menjadi ketakutan Umno dan kerana itulah mereka terus menghalang mahasiswa daripada terlibat dengan politik. Mahasiswa malu untuk menyokong Umno sebaliknya bangga menyatakan sokongan kepada PAS kerana PAS memperjuangkan kebenaran. Umno dalam debat tersebut boleh membawa seberapa ramai penyokong tetapi tiada pemuda yang sanggup datang untuk menyokong Umno kerana mereka juga merasa muak dengan kezaliman dan kebejatan Umno.

Ketua DPP Pusat hari ini sekali lagi mengulangi cabaran kepada Ketua Pemuda Umno untuk berdebat tentang isu ketuanan orang Melayu . Jika Pemuda Umno asyik berdolak-dalih bermakna mereka membenarkan dakwaan bahawa Umnolah yang bertanggungjawab terhadap terkehakisan ketuanan Melayu di negara ini. Penolakkan ini juga menggambrkan Pemuda Umno sebagai ‘Pemuda Perkasa’ di dalam ‘kepondanan’. Kerana itu DPP Pusat menyeru seluruh rakyat menolak BN dalam pilihanraya nanti kerana Pemuda Umno yang akan mewarisi kepemimpinan negara adalah pemuda yang lemah dan tidak mampu untuk mentadbir negara.
 
 

RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB

Setiausaha Politik

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

3 Julai 1999