UCAPUTAMA PERHIMPUNAN PRA-PILIHANRAYA DPP NEGERI KELANTAN

TUAN HAJI MAHFUZ OMAR (KETUA DPP PUSAT)

PERTAHANKAN KELANTAN SINGKIRKAN BARISAN NASIONAL

Assalamualaikum wrt. wbt. dan salam perjuangan,

Saudara Pengerusi Majlis,

Saudara Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang dimuliakan,

Saudara Exco-exco Dewan Pemuda PAS Pusat yang disanjungi,

Saudara Exco-exco Dewan Pemuda PAS Negeri yang dikasihi,

Saudara Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Yang Berhormat,

Semua peringkat pimpinan PAS dan Jentera Pilihanraya Pemuda yang diraikan,

Para Perwakilan daripada Pemuda Kawasan, MTD, Cawangan dan UPU yang dihormati sekalian,

IFTITAH

Allah berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberikan pengampunan kepada mu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus, dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat." (al-Fath :1-3)

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah di atas segala hikmat dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun di majlis Perhimpunan Pra-Pilihanraya Pemuda PAS Negeri Kelantan pada pagi ini. Mudah-mudahan perhimpunan besar dan bersejarah pada pagi ini akan menjanakan kekuatan bagi melonjakan kita kepada penguasaan daulah yang kita perjuangkan.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat saya merakamkan jutaan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang mengambil inisiatif ini untuk memantapkan gerakan jentera pilihanraya kita. Saya juga mengalungkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan daripada Kawasan, MTD, Cawangan dan UPU kerana memberikan komitmen dan iltizam yang tinggi kepada program ini. Mudah-mudahan sokongan dan kerja keras saudara-saudara semua akan dilimpahi keberkatan oleh Allah akan majlis ini.

Perhimpunan ini amat significant bagi kita merencanakan serta merumuskan agenda dan tindakan realistik bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan daripada terjerumus ke dalam kekuasaan BN. Negara ini sedang berada di tebing kehancuran akibat kedurjanaan BN. Segala pakej pembangunan dan wawasan kosong yang ditaja oleh kelompok sekular yang zalim dan tidak berperikemanusiaan ternyata telah gagal dan membawa kerosakan. Tiada pilihan lain yang mampu dan layak bagi memulihkan negara ini dari kebinasaan melainkan PAS yang mendukung risalah Islam dengan segala kemuliaannya.

SATU DEKAD PENTADBIRAN PAS DI KELANTAN

Kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama dua penggal membuktikan bahawa PAS mampu memerintah dan melenyapkan segala momokan serta tomahan bahawa PAS tidak mampu mentadbir dan memerintah negara ini. Kejujuran dan ketelusan kerajaan PAS di Kelantan menjadikan Kelantan sebagai negeri yang membangun bersama Islam.

Sepanjang sembilan tahun PAS menerajui Kelantan, pelbagai program telah disusun untuk mempastikan Islam bukan sahaja dilaksanakan tetapi dilihat telah dilaksanakan di Kelantan. Agenda pembangunan tersusun yang dirancang secara berkembar antara fizikal dan rohani telah menjadikan Kelantan negeri contoh dalam pelbagai perkara. Rancangan pembangunan Kelantan telah ditiru dan diceduk oleh Kerajaan BN di seluruh negara telah membuktikan bahawa PAS lebih bijak memerintah.

Kemantapan pembangunan ekonomi dan sosial Kelantan telah menutup segala ruang fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepada Kerajaan PAS. Dakwaan bahawa tiada pembangunan, rakyat mundur dan tidak mampu mentadbir telah menjadi palsu dan tidak berasas sama sekali. Kejayaan inilah yang akan menjadi contoh kepada seluruh rakyat negara ini di dalam mengukur segala dakwaan karut BN dan ini memungkinkan mereka bersedia membuat perubahan.

Siri-siri kejayaan Kelantan yang diterajui oleh Kepemimpinan Ulama begitu dicemburui oleh pemimpin BN sehingga mendorong mereka bekerja keras untuk mengembalikan Kelantan kepada penguasaan mereka. Perlantikan Tengku Razaliegh sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan membuktikan usaha-usaha ini sedang dilaksanakan dan Pemuda PAS lah yang sewajarnya berusaha keras mempertahankan kekuasaan ini.

AQIDAH PERJUANGAN

Saudara-saudara muslimin yang dikasihi sekalian,

Perjuangan kita untuk menegakkan sebuah daulah Islamiyyah yang kita janakan melalui pelbagai gerak kerja termasuk perhimpunan pada hari ini adalah sebahagian daripada keyakinan kita bahawa menegakan daulah merupakan sebahagian daripada kesempurnaan keimanan kita kepada Allah. Kerana itu golongan Pemuda seperti kita mestilah tampil dengan yakin dan berani untuk menyatakan kebenaran ini.

Keyakinan yang menjadi aqidah inilah yang mendorong Pemuda al-Kahfi untuk bangun berdiri sambil berkata ‘Tuhan Kami adalah Tuhan kepada langit dan bumi’ di hadapan pemerintah yang kufur seperti mana yang diperjelaskan oleh Allah dalam surah al-Kahfi ayat 12 :

"Mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri sambil berkata ‘Tuhan Kami adalah Tuhan kepada langit dan bumi’. (al-Kahfi : 12-13)

Keyakinan yang menebal seperti inilah yang akan mengikat kita untuk terus istiqomah di dalam menegakan kebenaran serta menghancurkan kebatilan. Sebagai Pemuda yang beriman kepada Allah, kita mestilah berani untuk bangun di hadapan para penguasa yang zalim seperti Kerajaan BN demi untuk menegur dan membetulkan penyelewengan mereka.

KEWAJIPAN MENYERTAI DAN BEKERJA UNTUK PILIHANRAYA

Para Ulama’ telah menggariskan dengan jelas tentang kewajipan untuk membentuk sebuah pemerintahan yang beteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya, politiknya dan juga sosialnya. Para Ulama’ Fiqh Siasi seperti Al-Mawardi, Abu Yu’la dan Ibnu Khaldun; ulama’ Fiqh Ijtima’ie seperti Imam al Haramain al Juwaini serta ulama’ Fiqh Tasawuf seperti al-Ghazali telah membincangkan kewajipan ini dengan panjang lebar. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam al Andalusi, katanya :

"Para Ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum Allah, mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw".

Pengalaman kita di Malaysia, menyertai pilihanraya adalah wasilah untuk menegakkan daulah ini. Kerana itu para ulama juga berpendapat bahawa menyertai pilihanraya sama ada dengan mendaftarkan diri sebagai pengundi, mengundi, menjadi calon, bekerja untuk menggerakan jentera parti dan sebagainya turut menjadi kewajipan kepada kita untuk mempasti kita dapat menguasai suara majoriti di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Untuk menguasai suara majoriti ini, kita perlu memenangi kerusi terbanyak, dan kerusi terbanyak pula memerlukan undi teramai (majoriti).

Undi yang sedemikian ini tidak akan diperolehi melainkan daripada para pencinta Islam yang layak mengundi (mengikut peraturan yang ada). Komitmen mereka untuk memberikan undi kepada gerakkan Islam PAS adalah sangat bergantung kepada kesungguhan dan iltizam para jentera kita yang menggerakkan segala usaha untuk menarik sokongan mereka. Kerana itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua peringkat petugas pilihanraya Pemuda PAS, bahawa tanpa kesungguhan saudara-saudara sekalian, impian kita menegakkan negara Islam tidak akan tercapai.

MEMPERTAHANKAN KETUANAN ISLAM DI KELANTAN

DPP Negeri Kelantan sebagai sayap kanan PAS di negeri ini, mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk mempastikan suatu kelangsungan penguasaan Islam ke atas negeri Kelantan dan melebarkannya ke negeri lain. Kelalaian atau kelekaan kita untuk bekerja mempertahankan ketuanan Islam ini akan membuka ruang kepada musuh Islam terutama daripada kalangan pendukung sekular yang sedang berusaha keras untuk meragut kekuasaan kita ini.

Semua peringkat jentera pilihanraya Pemuda bermula daripada Unit Peti Undi, Cawangan, Majlis Tindakan DUN, Kawasan dan Negeri mestilah mempunyai kesedaran dan jiwa yang besar untuk bekorban harta dan tenaga demi mempertahan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN. Tanpa usaha bersunguh-sungguh saudara semua, hasrat kita untuk melihat negeri Kelantan kekal sebagai uswah hasanah dalam mentadbir negara pada penghujung alaf ini akan terbengkalai. Kegagalan kita beerti kita mengembalikan bumi bertuah ini kepada kebejatan sekularisme seperti yang pernah kita alami sepuluh tahun yang lalu.

KEPEMIMPINAN ULAMA

Allah berfirman;

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’), sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Mengampun". (al-Fath : 28)

Kepemimpinan merupakan satu faktor yang sangat mustahak bagi satu-satu agama, banga, negeri dan negara. Kepemimpinan yang beriman, jujur, ikhkas, bersih, telus dan bertanggungjawab akan membawa sesebuah negeri kepada keamanan dan kemakmuran. Kepemimpinan yang buruk, korupsi, menyeleweng dan tidak bertanggungjawab akan membawa rakyat kepada penderitaan. Hasrat Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghaffur, negeri yang baik dan Allah menurunkan pengampunan tidak akan tercapai tanpa kepemimpinan yang bertaqwa kepada Allah.

Pada dua pilihanraya yang lalu, rakyat Kelantan telah membuat pilihan yang bijak dan tepat apabila memilih kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai teraju Kerajaan Negeri Kelantan. Kepemimpinan Ulama’ ini telah berjaya menjadikan Kelantan sebagai negeri paling matang yang begitu dicemburui oleh musuh-musuh Islam. Penghormatan demi penghormatan yang diterima dari seluruh dunia oleh Kerajaan PAS di bawah Kepemimpinan Ulama’ ini telah membuktikan ulama’ boleh mentadbir dunia dengan lebih cekap dan berkesan.

Kerajaan PAS di Kelantan telah melakukan pelbagai perubahan untuk mempastikan Islam berada di tempat yang sewajarnya. Pengharaman judi, pengawalan arak, pengharaman riba, pemindahan wang kerajaan ke Bank Islam, pembukaan ar-Rahn, penubuhan Ma’had Dakwah Wa Imamah, penubuhan Kolej Islam Kelantan, pengawalan kehormatan wanita, pembentangan draf Hudud di Dewan Negeri dan sebagainya telah memperlihat kesungguhan Kerajaan Kelantan memulakan langkah ke arah mendaulahkan Islam.

Kepemimpinan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz yang sederhana tetapi berperancangan dengan pemotongan 45 peratus gaji, mendiami rumah sendiri, menolak elaun keraian serta terus menjadi tuan guru kepada ratusan murid di Dewan Zulkifli dan Masjid Pulau Melaka telah berjaya menghidupkan semula konsep ulama’ wa umara’. Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz diceriakan semula di Kelantan. Cita-cita ‘aqiimuddin wa siasati ad-dunya bih’ tercapai melalui citra ini.

KETUANAN MELAYU DAN ISLAM

Negeri Kelantan hari menjadi satu-satunya negeri yang dikuasai oleh umat Melayu Islam yang mesti terus dipertahankan oleh kita semua. Ketika di negeri-negeri lain orang Melayu Islam hidup merempat tertindas di setingan-setingan, bekerja sebagai kuli dan buruh-buruh kasar kepada bangsa lain dengan kos sara hidup yang tinggi, umat Melayu Islam di Kelantan dapat hidup aman mewah ditanah dan rumah sendiri, menguasai sumber-sumber ekonomi dengan kestabilan sosial yang mantap serta dilimpahi dengan majlis-majlis ilmu yang memperteguhkan keimanan kepada Allah.

Komitmen Kerajaan Islam PAS di dalam mempertahankan ketuanan Islam dan Melayu ini telah menatijahkan kemakmuran kepada rakyat. Dengan Melayu 95 peratus daripada 1.2 juta rakyat, pengekalan pemilikan tanah oleh orang Melayu, penguasaan politik dan ekonomi oleh orang Melayu menjadi bukti paling ampuh, bahawa ketuanan Melayu sedang dibina dan dipertahankan di Kelantan.

Projek-projek besar seperti pembinaan Bandar Baru Pengkalan Kubur, pembinaan pasaraya dan hotel di Kota Bharu, pembinaan resort lima bintang di Pantai Irama, projek Kemasin Semerak, projek gas dan petrolium di Pantai Senok, pembinaan kilang simen di Gua Musang dan pembinaan mega resort di Sri Tujuh menafikan dakwaan bahawa PAS tidak membawa pembangunan kepada orang Melayu di Kelantan.

Dakwaan Umno bahawa kadar kemiskinan di Kelantan adalah paling tinggi juga tidak adil. Perkara ini perlu dilihat secara relatif dengan negeri-negeri yang dikuasai oleh BN. Ambil sahaja Terengganu sebagai negeri jiran Kelantan yang juga negeri kedua termiskin. Kadar kemiskinan di Kelantan adalah sebanyak 19.2 peratus dan Terengganu sebanyak 17.6 peratus. Pendapatan Kelantan adalah sekitar RM 150 juta setahun denan penduduk seramai 1.2 juta orang. Terengganu pula sebanyak RM 600 juta setahun dengan penduduk hanya 800,000 orang. Ini menunjukan bahawa perkapita Kelantan adalah sebanyak RM 1,250 berbanding Terengganu RM 7,500 setiap orang penduduk. Ini membuktikan bahawa pimpinan BN lebih lemah dalam mentadbir kerajaan.

BN MESTI DISINGKIR

Pemerintahan Kerajaan Sekular BN di negara ini telah berlangsung lebih daripada 40 tahun. Pelbagai kerosakan telah mereka lakukan terhadap negara ini demi untuk mencapai matlamat rakus mereka. Mereka memomokan kepada rakyat dengan wawasan muluk dan pembangunan mega tetapi mereka memerangkap rakyat dengan tindasan kapitalis yang mereka bina untuk kononnya menggerakkan pembangunan.

Akibatnya senario politik negara kian gawat. Umno yang menjadi tulang belakang parti pemerintah telah kehilangan kekuatan dan mula menunjukan tanda-tanda kehancuran dengan politik wang dan perbalahan dalaman yang berterusan. Pemimpin-pemimpin Umno pula tidak memperdulikan Islam. Islam dipinggirkan dan tersisih jauh dari dasar politik dan negara.

Isu-isu yang banyak melanda negara seperti kejatuhan ekonomi dan nilai ringgit, krisis air, virus JE, pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, krisis kehakiman, keruntuhan dan kerugian syarikat besar seperti Perwaja menunjukan bahawa setiap pembinaan ekonomi dan pembangunan yang diusahakan Umno selama ini natijahnya hancur berkecai. Semua ini berlaku bukan kerana masalah prasarana tidak kuat tetapi kelemahan kepemimpinan parti-parti yang memerintah negara terutama Umno.

KORUPSI, KRONISME DAN NEPOTISME

Kegawatan ekonomi yang berlaku secara drastik dua tahun lalu telah mendedahkan segala pekung di dada BN yang selama ini sebenarnya menguruskan pembangunan negara bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi untuk memuaskan kerakusan kaum kerabat mereka. Ketika rakyat hidup merempat, mereka bermewah menghabis segala hasil mashul negara. Bila gawat mereka tersepit, kepada rakyat mereka minta selamatkan negara.

Pengagihan ekonomi negara yang berlaku secara tidak adil dengan hanya sebahagian kecil rakyat iaitu di kalangan ahli korporat dan kaum kerabat yang menguasai sebahagian besar pendapatan negara. Sebahagian kecil pendapatan negara pula diagihkan kepada sebahagian besar rakyat yang rata-rata di kalangan petani, nelayan, peneroka, buruh kasar, pekerja kilang dan rakyat bawahan. Dalam kata lain, BN lebih mengutamakan golongan korporat dan membiarkan rakyat melarat.

Kita menegaskan bahawa negara sebenarnya sedang mengalami krisis ekonomi yang terus tenat – bukan kegawatan yang semakin pulih seperti yang digambarkan oleh pemimpin BN – manifestasi kegagalan ideologi dan sistem sekular global dan sekarang adalah giliran rantau ini menerima padahnya. Kerajaan BN ternyata gagal menguruskan krisis ekonomi negara sehingga membawa kepada keadaan yang lebih parah dan menghakis keyakinan rakyat.

Mereka tanpa segan silu menyalahgunakan wang rakyat untuk menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat milik kroni mereka yang bermasalah dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat dalam dana KWSP. Sedangkan mereka membazirkan ratusan juta wang rakyat untuk membina KLCC, membina Mahligai Perdana Menteri di Putra Jaya, membina Panggung Negara, Dewan Filharmonik, membeli jet peribadi Perdana Menteri dan sebagainya yang bernilai berbilion ringgit yang semuanya menyumbang kepada kemaraunya tabung negara.

ISLAM TERABAI

Serentak dengan keruntuhan ekonomi dan politik, negara juga menyaksikan institusi keagamaan musnah akibat hebatnya serangan yang dibiarkan oleh Umno/BN. Kehidupan rakyat dipenuhi dengan pelbagai gejala seperti judi, zina, sanjungan melulu kepada artis dan pemuzik, pesta seks remaja, penghinaan terhadap Rasulullah saw, cacian terhadap ulama’, penolakan terhadap hukum Islam dan sebagainya.

Maksiat-maksiat ini sampai ke kemuncaknya apabila berlaku secara berleluasa peristiwa murtad yang sangat menyayatkan hati tanpa perlindungan dan pembelaan undang-undang dalam menjaga maruah Islam dan umatnya. Rang Undang-undang Persendirian untuk mengatasi masalah murtad oleh PAS tidak mendapat layanan di Parlimen.

Rasulullah saw bersabda :

"Apabila umatku melakukan lima belas perkara, maka wajarlah untuk mereka azab Allah". Lalu ditanya : "Apakah ia wahai Rasulullah?". Sabda Rasulullah saw: "Apabila harta negara berkisar di kalangan orang-orang tertentu, amanah dijadikan peluang untuk mendapatkan harta, zakat dianggap cukai, lelaki mentaati isteri dan mendurhakai ibunya, berlaku baik terhadap rakan dan berkasar dengan bapanya, hingar bingar di dalam masjid, orang yang menjadi pemimpin di kalangan kaumnya adalah orang yang paling hina, dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya, diminum arak, dipakai sutera oleh lelaki, diambil penyanyi wanita, disanjung alat-alat muzik, dan orang yang terkemudian melaknat orang yang terdahulu. Di kala itu tunggulah angin yang membinasakan dan bumi yang menghapuskannya." Riwayat at- Tarmizi

MELAYU TERSISIH

Dalam masa Islam menjadi agama terabai, MCA, Gerakan dan DAP terus memperjuangkan kepentingan orang Cina di Malaysia. MIC pula menyatupadukan kaum India yang kelihatan menumpu kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan. Tetapi Umno gagal memandu hala tuju masyarakat Hindu sehingga berleluasa pembinaan kuil secara sesuka hati. Difahamkan terdapat 17,600 buah kuil di negara ini berbanding hanya dua juta orang masyarakat Hindu.

Percaturan politik di antara Umno dan BN di seluruh negara telah menyebabkan Umno hilang kekuatan. Konsesi-konsesi yang diberikan Umno kepada rakan-rakan BN telah menyulitkan masa depan umat Islam Melayu. Gagasan Bangsa Malaysia yang mereka kemukakan tidak jauh bezanya dengan gagasan Malaysian Malaysia yang diutarakan DAP.

Negara terus dihimpit falsafah politik sempit yang memberi ruang kepada chauvinist perkauman mengeksploitasi kaum dan puak bagi kepentingan masing-masing. Kekayaan negara dibahagi-bahagikan di kalangan kaum kroni mereka kononnya atas nama keadilan. Bangsa Melayu yang selama ini hidup murni dicengkam dan diperalatkan menjadi bangsa miskin dan tertindas sedangkan pemimpin mereka menjadi pelahap rasuah dan penipu rakyat.

Masalah petani dan nelayan yang tidak punya tanah kediaman, tiada skim jaminan sosial, buruh ladang bergaji rendah, penyelesaian hak milik tanah yang boleh difaraid mengikut Islam belum diperolehi peneroka. Tidak kurang juga masalah pekerja sektor industri, kilang dan bank yang hilang pekerjaan menjadi simbolik kepada kesempitan hidup golongan mustadh’afin di bawah dasar BN.

Bangsa Melayu telah hilang kekuatan sejak dipimpin oleh Umno/BN dan tiada suatu apa pun yang boleh dibanggakan melainkan angan-angan dan slogan yang dilaungkan. Sesungguhnya Melayu tiada kekuatan dalam ekonomi, politik dan pendidikan walaupun digagas sekian lama Dasar Ekonomi Baru. Para mahasiswa di universiti menghadapi tekanan yang bukan kepalang akibat kenaikan yuran manifesti daripada pengkorporatan.

PEMUDA PENERAJU JENTERA

Sidang muslimin sekalian,

Setelah lebih 30 tahun kita berusaha keras bagi membina gerak kerja Pemuda yang mantap dan tersusun, Alhamdulillah, dengan rahmat-Nya, pembinaan organisasi Pemuda untuk mencapai matlamat gerak kerja dan sasaran di semua peringkat telah dilakukan sebaik-baiknya. Pemuda telah memenuhi ruang lingkup pergerakan umat Islam di negeri ini dengan lujnah-lujnah, jawatankuasa-jawatankuasa, jentera pilihanraya dan unit-unit di dalamnya yang bergerak aktif. Pembinaan ini menyediakan asas kekuatan yang kukuh bagi Pemuda untuk membantu PAS mengambil alih tampuk kekuasaan negara dengan penuh kewibawaan.

Tarbiyah yang mantap sebagai mekanisme uatama pembinaan sakhsiyah Pemuda telah diselaraskan dengan keperluan pembinaan jamaah. Dengan oreantasi aqidah sebagai asas dan teras segala gerak kerja, Pemuda tahun ini mesti melangkah lebih gagah untuk mencapai hasrat yang lebih bermakna. Untuk itu pengurusan jamaah yang mantap perlu untuk kita sama-sama bina sebagai memenuhi tuntutan aqidah tauhid yang kita dukungi.

Semua ahli mesti mempunyai visi dan misi yang jelas untuk berusaha secara kolektif bagi mempertingkatkan keupayaan parti. Dengan perkembangan terbaru yang sedang melanda umat Islam di Malaysia mahupun luar negara, Pemuda pada tahun ini perlu lebih sensitif dan prihatin terhadap isu-isu dan permasalahan semasa. Untuk membina gerakan yang mantap dalam pilihanraya ini, semua perkara tersebut wajar diambil berat oleh ahli parti untuk mempastikan perjuangan boleh ditetapkan dengan istiqomah.

TARBIYAH MENYELURUH

Pemuda telah dan mesti terus berusaha meletakan asas cemerlang dalam mencernakan pembangunan politik dan kepemimpinan Pemuda yang jelas serta berketrampilan untuk menjadi pemimpin alaf akan datang. Kita bersyukur, hala tuju sebahagian pergerakan perdana Pemuda di negeri ini sedang terarah dengan betul untuk mengisi dan mempertahankan kemenangan Islam yang telah kita perolehi.

Ahli Pemuda mestilah diwajahkan semula menjelang milenium baru dengan dasar pentarbiyahan yang menyeluruh dan berkesan. Demi menzahirkan pemuda yang mempunyai tarbiyah yang mantap ini, semua unit dalam jamaah mesti bekerja keras untuk memberikan kesedaran kepada seluruh ahli akan betapa pentingnya pentarbiyahan dalam membina perjuangan penuh pancaroba ini. Para neqib perlu mempertingkatkan kebolehan dan kemampuan untuk mencapai matlamat ini. Mereka mesti bersedia untuk membina keupayaan ini bagi mempastikan semua unit usrah boleh bergerak sebagai unit kerja jamaah.

PENGURUSAN BERMUNAZOMAH

Kemelut pengurusan yang melanda parti terutama di peringkat cawangan dan UPU ssekarang mesti kita atasi untuk menzahirkan sebuah gerakan Pemuda yang mantap. Kita mesti berubah untuk mencapai kemajuan di dalam mengurus segala kepentingan parti.

Pengurusan yang bermunazomah ini mestilah kita bina berdasarkan kepada penekanan terhadap proinsip keberkesanan (effectiveness) dan kecekapan (efficiency) di dalam perlaksanaan semua program jentera parti terutama jentera pilihanraya. Penekanan kepada dua prinsip ini bukan sahaja akan membuahkan hasil seperti yang dihajatkan tetapi juga mengurangkan pembaziran tenaga kerja. Dalam semua program jentera pilhanraya, setiap sumber yang ada mesti diurus dengan cekap dan berkesan.

Apa yang lebih penting bagi ahli sebuah harakah Islam ini ialah mereka harus menyedari bahawa perlaksanaan sesuatu kerja yang tersusun dan cekap itu adalah sebahagian daripada tuntutan aqidah. Kemenangan Islam akan dipercepatkan oleh Allah jika semua pejuang agama mampu bekerja dengan baik dan tersusun. Allah menyebut di dalam al-Quran :

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang di dalam satu saf yang tersusun rapi." (as-Soff : 4)

Atas dasar itu semua program yang di atur oleh unit-unit parti termasuk jentera pilihanraya mesti memenuhi kehendak dan hasrat parti. Ahli-ahli perlu didedahkan dengan teknik-teknik pengurusan yang berkesan. Kefahaman terhadap visi dan misi parti boleh menjadi landasan yang kukuh ke arah mempastikan cita-cita dan hasrat jentera ini mudah dicapai.

Sementara ahli-ahli dalam jentera pilihanraya perlu diberi pendedahan tentang pengurusan yang cekap dan berkesan, setiap unit jentera pilihanraya mestilah mewujudkan net-working di antara satu sama lain untuk memantapkan hasil setiap program. Unit-unit ini juga harus mempertimbangkan setiap program yang dirancang agar wujud keserasian (align) dengan program unit lain. Semua hal ini penting untuk mempastikan gerak kerja jentera pilihanraya mempunyai perancangan yang bernar-benar memberi momentum kepada kekuatan kita.

MENJANA KEUPAYAAN JAMAAH

Di dalam menghadapi cabaran alaf baru dengan gaya kerja BN yang semakin kotor dan tidak bertata susila, jentera pilihanraya kita mesti berusaha keras untuk menghadapi tekanan ini. Kita mesti mempersiapkan diri dengan segala keupayaan mental dan fizikal. Kebolehan dan kemampuan kita menjana keupayaan jentera parti mempastikan kita tiba tepat pada waktunya.

Penguasaan dan penggunaan teknologi adalah sangat penting untuk mempertingkatkan keupayaan kita dalam menghadapi saingan dan cabaran jahat Umno/BN. Segala teknologi mesti kita gemblengkan dengan memberi penekanan kepada teknologi maklumat, teknologi kerja dan sebagainya. BN dijangka menggunakan sepenuhnya media dan jentera kerajaan yang berteknologi untuk melemahkan keupayaan kita.

Pilihanraya kali ini juga memerlukan kita memiliki dana yang besar, tenaga kerja mahir yang lebih ramai, pentarbiyahan yang mantap, ukhwah yang lebih erat dan pentas kerja yang lebih banyak untuk mempastikan kita mampu menghadapi mehnah dan ibtila’ yang akan diprogramkan oleh BN nanti. Kerana itu segala kemudahan parti yang telah tersedia ada mesti dimanfaatkan pada kadar yang paling optimum dan wajar.

Kita mesti merangka bagaimana untuk membina kekuatan melalui dana yang besar. Ahli juga perlu dipertingkatkan keupayaan mereka. Tenaga kerja yang mahir mesti digarap untuk menguruskan cabaran strategik ini. Persoalan logistik dan strategik mesti diberi keutamaan kali ini. Kepemimpinan al-Amin yang memimpin masyarakat mesti dibina untuk meningkatkan keyakinan pengundi. Keupayaan ini akan mengiringi kemenangan yang bakal kita capai. Penubuhan dana maklumat dan juga R&D Parti mungkin dapat membantu mempertingkatkan lagi keupayaan kita.

Kekuatan ukhwah juga mesti kita garap. Tiada kekuatan bagi kita jika setiap ahli mempunyai masalah antara satu sama lain. Isu-isu remeh di dalam parti tidak wajar menjadi punca ketengangan antara kita. Biarlah sedikit perbezaan pandangan kita membentuk creative tension bukannya menghala kepada descriptive tension. Para pimpinan juga diseru agar mampu berkomunikasi sebaik mungkin dengan ahli dan ahli juga sebaliknya. Segala perselisihan mesti dirungkai dengan penuh mahabbah dan semangat keimanan. Orang mukmin dengan orang muknin yang lain itu berkasih sayang. Tidak wajar bagi kita untuk mengutip kemenangan di dalam perbalahan dan membiarkan kebenaran tersudut akibat kemungkaran.

Ukhwah yang dibina ini juga mestilah meliputi kerjasama dengan semua parti alternatif dan NGO. Hubungan yang padu antara kita dengan mereka akan menutup ruang fitnah yang bakal dan sedang dirangka oleh BN. Pergerakan musuh yang berpadu atas nama Ahzab Moden mesti kita tentang dengan perpaduan juga. Konsep wasotiyyatul Islam mesti kita ketengahkan kepada rakyat untuk menggambarkan ketelusan dan keterbukaan kita. Rasulullah saw bersabda :

"Umat yang sederhana itu ialah umat yang adil."

MENCERGASKAN PEMUDA

Dengan segala kekutan yang boleh kita bina tadi, kita akan mampu untuk mencergaskan jentera pilihanraya Pemuda kita. Segala peluang yang ada mesti dimanfaatkan semaksimum mungkin. Setiap ahli diagihkan kerja secara sama rata untuk mengelakan pertindihan bidang kerja dan bebanan tugas yang tidak sekata. Dengan cara ini kita dapat memaksimakan keupayaan ahli dan menjadikan Pemuda sebagai unit yang produktif dalam semua gerak kerja parti.

Pembinaan Pemuda juga mesti dilaku secara total. Kita mesti mengusaha perubahan sikap Pemuda daripada ‘Pemuda Manja’ kepada ‘Pemuda Berani’. Kita mesti mengubah sikap mereka daripada banyak mengadu kepada banyak bekerja, daripada takutkan celaan dan kritikan kepada terbuka dan kritis, daripada gentar dengan risiko kepada bersedia dengan cabaran, takut untuk mencuba kepada berani melontarkan pandangan, tidak suka pembaharuan kepada memimpin perubahan, memusuhi idea dan pendekatan baru kepada responsif dan prihatin kepada metodologi mapan, cepat merajuk dan suka dipujuk kepada tegas dan cekal, menerima kepada menyumbang, memikirkan hanya diri yang betul kepada orang lain juga berkebolehan. Sikap-sikap seperti ini akan membantu kita mencergaskan kebolehupayaan dan daya tahan Pemuda kita.

Para Pemuda juga mesti mencergaskan diri dalam menghadapi segala strategi jahat BN yang akan digunakan dalam pilihanraya nanti. Mereka dijangka akan menggunakan strategi politik 5P iaitu ‘Pitis (wang), Paksa, Pujuk, Peras ugut dan Provok’ untuk membeli hati para pengundi. Kerana itu kita perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran ini.

PENUTUP BICARA

Sebagai akhir kata, saya sekali lagi ingin menyeru kepada semua petugas pilihanraya Pemuda agar bersatu hati untuk memantapkan jentera pilihanraya kita. Saya juga mengambil kesempatan sempena Maulidin Nabi untuk menyeru diri saya dan saudara-saudara sekalian agar meneladani kesungguhan dan komitmen Nabi saw di dalam memperjuangkan tertegaknya daulah Islam. Semoga keberkatan usaha baginda akan memberikan kelebihan kepada jentera kita dan mempertingkatkan lagi komitmen serta istiqomah kita terhadap Islam.

Marilah sama-sama kita beriltizam untuk terus menjadi pendukung setia Islam yang tidak mengenal erti penat dan jerih. Akhirnya saya mendoakan agar program ini memberi manfaat yang besar kepada kemantapan jentera pilihanraya kita. ‘Ya Allah Kau ampunilah dosa kami. Tutupkanlah segala kelemahan kami. Jangan Engkau jadikan kelemahan kami sebagai kegembiraan kepada musuh kami. Dan jangan ada di kalangan kami yang menikam kami dari belakang. Amin.’

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahiim saya merasmikan Perhimpunan Pra-Pilihanraya DPP Negeri Kelantan pada hari ini. Assalamualaikum wbt. Takbir!