UMNO GADAI MARUAH MELAYU ?

DALAM satu ceramah umum di Padang Pak Mat, Pasir Putih lebih setahun yang lalu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Zulkifli Mamat dengan nada penuh yakin meletakkan jangka hayat bagi survival parti Umno.
     
Beliau memberi tempoh paling lama pun hanya sepuluh tahun sahaja lagi bagi Umno untuk terus berkuasa, sebelum parti itu dikuburkan. Alasannya, perjuangan Umno sudah tidak relevan lagi dengan masa kini, apatah lagi untuk dekad akan datang.

Sama ada hujah Zulkifli itu disandari pengkajian dan analisis yang konkrit, beliau sendiri lebih mengetahuinya. Yang nyata, batang tubuh Umno kini sememangnya nampak kelihatan tapi menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Perjuangannya jauh menyimpang landasan asal. Umno kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan. Kamus terkini Umno dipenuhi istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah nilai kemanusiaan terkumpul di dalamnya.

Umno nyata gagal dalam rangka kerja pembangunan kemanusiaannya. Apa yang ada hanyalah retorik usang pembangunan kebendaan. Sedangkan, dalam dunia kini soal kemajuan kebendaan tidak boleh dijadikan umpan politik.
   
Rakyat sudah sedar bahawa menyediakan pembangunan kebendaan adalah tugas pemerintah. Mana-mana parti yang memerintah pun, pasti menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyatnya.

Rakyat sudah tahu, China yang diperintah Komunis turut mengadakan jalan raya. Kenderaan di sana tidak berjalan di atas tanah selut. Kapal terbangnya tidak mendarat dalam semak walaupun bukan Umno yang memerintah China.

Thailand yang diperintah bangsa Siam beragama Buddha, pun ada taliair, ada jambatan dan balairaya, ada sekolah.

Bahkan, dalam negara kita, Kelantan yang sudah lapan tahun tidak diperintah oleh BN/Umno, turut mengadakan pembangunan; ada projek taliair Kemasin-Semarak, ada pelabuhan Tok Bali, Bandar Baru Kuala Krai, Jambatan Tok Guru, Jambatan Haji Omar. Bandar Kota Bharu tetap mengalami proses pembangunan setaraf dan serancak bandar-bandar lain yang diperintah Umno. Ada macam-macam pembangunan walaupun Kelantan miskin dan kerajaan pusat pula sekat bantuan. Ertinya bukan Umno/BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kebendaan.

Dengan kesedaran rakyat, modal utama Umno meraih simpati dan undi rakyat semasa pilihan raya sudah tidak setebal dulu lagi. Retorik pembangunan kebendaan tidak relevan lagi dengan keperluan semasa rakyat negara ini.

Umno sering mendabik dada, kononnya ia memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Lagu Setia yang sering dikumandangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia (yang kebetulan kini diterajui Umno) ialah untuk agama, bangsa dan negara. Namun setelah hampir 45 tahun Umno menjadi kerajaan, semakin jelas kegagalan parti itu. Malah semakin banyak bukti bahawa perjuangan Umno jauh menyimpang.
 

Wassalam
nakalsikit
2hb.Julai.1999