Berita Harian Singapore:6 Julai 1999

Shahnon nafi minta maaf kepada Dr M

GEORGETOWN (Pulau Pinang) -- Pengarang novel penuh tengkarah, Shit, Profesor Datuk Shahnon Ahmad, kelmarin menafikan beliau meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berhubung isi kandungan novel berkenaan, menurut laporan akhbar semalam.

"Saya tidak langsung menujukan maaf saya kepada Dr Mahathir ketika saya mengadakan ceramah di Alor Star, tetapi sudah disalah tafsir oleh wartawan muda yang membuat liputan majlis berkenaan," demikian beliau dinukil sebagai berkata oleh akhbar Berita Harian Malaysia ketika dihubungi  pemberita di rumahnya kelmarin.

Menurut beliau, wartawan berkenaan mungkin tidak memahami bahasa sastera dan cereka yang digunakan dalam novel tersebut lantas membuat tafsiran beliau meminta maaf.

Profesor Datuk Shahnon, yang merupakan anggota PAS seumur hidup, berkata: "Maksud maaf dalam ceramah saya itu ditujukan kepada pihak tertentu yang berasa jika disindir."

"Siapa makan cili, dia yang terasa pedas. Saya bukan ahli politik yang  aktif. Saya seorang sasterawan dan gaya penyampaian dalam setiap ceramah  saya lebih kepada gaya satira," kata beliau.

Menurut Profesor Datuk Shahnon, beliau tidak akan menggunakan saluran ceramah untuk meminta maaf, tetapi akan menulis surat rasmi kepada Dr Mahathir dan berjumpa dengannya sendiri jika beliau ingin berbuat demikian. -- BHM.