Maaf atau Tidak Maaf 

oleh Hassan Karim 

maaf atau tidak maaf 
inilah isu paling hangat 
saat ini 

konspirasi atau tidak konspirasi 
satu lagi 
persoalan sensasi 
waktu ini 

fitnah atau tidak fitnah 
satu persoalan fakta atau persepsi? 
kasihan aku 
mahkamah sibuk mencari intepretasi 
mencungkil definisi 
sebab taruhannya 
ringgit ratusan juta 

lucah atau tidak lucah 
segala cerita-cerita grafik 
dengan tilam tanpa cadar 
dipunggah dari Villa 

kesat atau tidak kesat 
kata nista dari bekas-bekas 
sahabat 

biadab atau tidak biadab 
pukul tahanan 
tangan terikat 
matanya gelap 

aib atau tidak aib 
hukum dijatuhkan 
sedang bicara 
belum dimulakan 

mencarut atau tidak mencarut 
timbul segala cerita 
dubur dan bontot 

zalim atau tidak zalim 
surat-surat layang dijadikan dalil 
  

kejam atau tidak kejam 
dipecat dilucutkan jawatan 
tanpa keadilan asasi 
diberikan 
kemudian dimalu diaibkan 
ditahan lalu diserang 
hingga lebam 
separuh mati 
dan pengsan 

kotor atau tidak kotor 
perbuatan ala diktator 
merancang pendakwaan berpilih 
dengan pertuduhan dialih-alih 
salah taip dan salah tarikh 

dusta atau tidak dusta 
mendedahkan senarai –senarai terpilih 
satu jari telunjuk ke musuh 
empat jari menghala ke diri 
lalu orang bertanya 
di mana senarai kronimu sendiri? 

Benar atau tidak benar 
kamu selalu bercakap 
separuh benar 
sedang rakyat sedang menunggu 
pemilihan datang 
dan engkau tumbang 
tembelang sumbingmu pecah 
dan wajah mu terdedah 
dengan segala fail dan arkib bersepah 
dapat dibuka dapat dibaca 
segala akaun bank dapat diperiksa 
senarai keluarga dan kronimu pula tiba 
giliran dikemuka 
bagi tontotan perdana negara 

kalau ada kes 
kamu semua didakwa 
pandai-pandai tupai 
kata bijaksana 
orang-orang tua kita 
engkau jatuh ke tanah juga 

7 Julai 1999