KEBODOHAN DAN KEMISKINAN  RAKYAT SENJATA AMPUH UMNO
        

      Kebodohan 

      Apabila mahasiswa universiti tempatan mula bangkit dari lamunan tidur  mereka yang sekian lama dibuai mimpi indah dengan tidak mengendahkan apa yang berlaku di luar kampus, UMNO, parti yang suatu ketika dulunya merupakan tonggak Melayu yang kini sebahagian besar ahlinya sudah mula mual dan loya dengan kepimpinan diktator Mahathir, -- terasa benar keperitan dan kebimbangannya. 

      Apa tidaknya, rata-rata para mahasiswa universiti tempatan menentang tindakan zalim yang dilakukan oleh kerajaan hari ini, samada tentangan berbentuk demonstrasi aman, atau pun melalui forum dan saluran lain. Yang penting, mahasiswa hari ini sudah mahu dilihat sebagai golongan mahasiswa yang peka dengan suasana persekitaran yang melanda masyarakat serta mahu turut membimbing dan menyedarkan masyarakat.

      Mahasiswa di menara gading adalah kelompok  terpelajar dan cerdik pandai dari kalangan masyarakat dan mereka sudah tentu tahu membezakan antara kebaikan dan kejahatan, kepalsuan dan kebenaran. Mereka adalah generasi yang bakal memimpin negara suatu ketika kelak. Pemikiran dan pandangan mereka  adalah berasaskan maklumat, fakta, dan pengamatan mereka yang cerdik dan matang tanpa boleh disogokkan dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. 

      Adalah terlalu bebal  rasanya mereka, khususnya pemimpin UMNO, boleh mendakwa bahawa para mahasiswa tempatan sudah dipengaruhi oleh parti-parti pembangkang, walhal untuk membenarkan seorang penceramah dari parti pembangkang masuk ke kampus pun bukanlah suatu perkara yang senang dan kerapkali permohonan sedemikian ditolak oleh Hal Ehwal Pelajar. Ianya berbeza dengan parti UMNO kerana pemimpinnya begitu bebas keluar masuk kampus samada atas aturcara kerajaan mahupun tidak rasmi. Justeru itu adalah lebih logik dan waras kiranya mahasiswa sepatutnya dikatakan  mudah dipengaruhi oleh parti kerajaan dari parti pembangkang.

      Namun hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Pergilah ke mana-mana universiti tempatan, tidak keterlaluan jika dikatakan 90% adalah penyokong reformasi,  keADILan, PAS atau ringkasnya Barisan Alternatif. Suasana yang sama juga berlaku di kalangan para pelajar Malaysia di luar negara samada di UK mahupun di US. 

      Kenapa ini semua berlaku? 

    Kerana para mahasiswa adalah mereka yang cerdik. Sedangkan mereka yang masih bersama menyokong dan mendokong UMNO hanyalah orang-orang bodoh yang tertutup dan rela ditutup mata hati mereka dari kebenaran. Bodoh bukan bermakna tiada pendidikan. Ramai di kalangan ahli dan pemimpin UMNO termasuk Dr.Mahathir sendiri mempunyai kelulusan yang tinggi. Tetapi cuba amati setiap apa yang beliau ulas, tidakkah menggambarkan bagaimana beliau cuba memperbodohkan rakyat, sedangkan sebenarnya menyerlahkan kebodohan beliau sendiri? Bodoh kerana tidak mahu mengikut hati kecil dalam memihak kepada kebenaran. Bodoh kerana tiada keberanian untuk membebaskan diri dari belenggu bersekongkol dengan kezaliman demi kerana kedudukan dan harta benda.UMNO sangat memerlukan manusia-manusia yang bodoh seperti ini yang boleh diperalatkan dan dicucuk hidung mereka ke sana dan ke mari. 

      Yang masih bersama UMNO adalah mereka yang terkena sindrom 'bisu' dan menganut fahaman "ampuisme" dan "anggukisme". Yang cerdik sudah tidak sanggup lagi bersama parti yang kotor, jijik dan tidak bermaruah seperti UMNO itu. Terlalu malu rasa mereka untuk mengaku ahli UMNO atau untuk membela tindakan pemimpin UMNO hari ini. Parti yang semuanya "boleh", dan parti yang semuanya halal demi kerana politik dan kuasa. 

      Pemimpin UMNO sebenarnya cukup seronok jika kata-kata mereka "diaminkan' oleh sekalian rakyat yang bodoh itu tadi. Di setiap ceramah atau perjumpaan, mereka ini bercakap tanpa ada hujah yang konkrit dan bernas. Yang ada hanya hujah-hujah bodoh bagi menakut-nakutkan rakyat yang diulang dan diulang. "Penjajahan semula", "agen orang asing", dan seumpamanya merupakan antara hujah-hujah dangkal yang kita maksudkan. 

      Lantaran ketiadaan hujah itulah maka mereka mengada-adakan isu seperti membangkitkan isu kafir mengkafir. Bila diajak bersemuka samada dalam majlis forum, debat, mahupun muzakarah, tiada seorang pun yang berani tampil ke depan. Hamid Othman, Yusoff Noor (Yes), Wan Mokhtar, Ibrahim Ali, Hishamuddin dan seumpamanya semuanya hanya berani bercakap di kaca-kaca TV dan di corong-corong radio secara monolog. Mereka berani bercakap dengan pemberita, dengan kerusi dan meja tetapi tidak berani berdepan dengan pemimpin Barisan Alternatif untuk membentangkan hujah-hujah mereka. Mereka sedar bahawa mereka tiada hujah, yang ada hanyalah "loyar buruk" dan mereka akan ditempelak dan dimalukan dengan mudah jika menghadiri mana-mana forum mahupun perdebatan. 

      Pengalaman Zein Isma dan Suhaimi Ibrahim di Debat Perdana UKM sudah cukup menunjukkan kepada kita bahawa mereka tidak mampu berhadapan dengan hujah-hujah bernas dan berasas dari kalangan mereka yang boleh berfikir. Mereka tidak mampu berada di majlis yang bersifat dialog seperti debat dan forum. Pemimpin UMNO lebih suka jika rakyat menjadi manusia yang tidak berfikir, tidak pandai berhujah balas, tidak pandai menilai tetapi mengikut mereka semata-mata. Mereka sahaja yang mahu bercakap dan minta didengar percakapan mereka, tanpa boleh diberikan hujah balas. 

      Justeru itu jugalah yang masih mendokong UMNO hari ini adalah dari kalangan generasi berumur  yang tiada berpendidikan tinggi dan tinggal di kampung-kampung pendalaman, tanpa mendapat sebarang maklumat lain melainkan TV dan Radio. Ada  dari kalangan mereka yang cukup nostalgik dengan perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu, tanpa menyedari bahawa UMNO dan pemimpinnya hari ini adalah 1000 kali berbeza dari perjuangan UMNO asal 1946. Pemimpin UMNO hari ini bukan lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk "perut". 

     Selain daripada itu, yang masih bersama UMNO hanyalah tukang-tukang sorak yang diupah, mereka yang seronok dengan majlis-majlis keramaian dan pesta-pestaan, mereka yang berkepentingan untuk mendapatkan projek samada bernilai jutaan mahupun ribuan atau ratusan ringgit. Korporat-korporat besar di KL dan Selangor sudah pasti dambakan projek bernilai berjuta-juta ringgit, manakala tok-tok penghulu dan JKK UMNO di kampung-kampung pula memadai sekadar projek menabur pasir dan batu merah di kampung-kampung.  

      Golongon professional, cendikiawan, sasterawan negara, seniman,  kakitangan kerajaan mahupun swasta dan mereka yang berpendidikan sudah mula bersama dengan Barisan Alternatif samada secara terang-terangan mahupun diam-diaman, walaupun mereka ini suatu ketika dahulu dari kalangan yang tidak begitu berminat dengan perkembangan politik semasa. Mereka terpaksa mengambil tahu secara serius perkembangan politik tanahair berikutan dari kezaliman dan penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah hari ini. Yang akhirnya kesannya seperti kenaikan harga barangan dan tol menimpa mereka juga. 

      Pembangunan Dan Kemiskinan 

      Setiap kali musim pilihanraya bermula, setiap kali itulah UMNO menyeru rakyat agar terus memberikan UMNO mandat untuk memerintah kerana kononnya ianya penting untuk pembangunan negara dan membasmi kemiskinan.  Seolah-olah jika parti lain yang memerintah, maka pembangunan tidak dapat dilaksanakan. Apakah hanya orang  UMNO sahajalah yang bisa membuat pembangunan? Bagaimana dengan pembangunan negara-negara maju yang tidak ditadbir oleh UMNO pun? Apakah orang lain tidak pandai dan tidak cerdik serta tidak berkelulusan untuk membangunkan negara ini? Kelulusan apakah orang UMNO sehingga tiada orang lain yang boleh menandingi mereka? Adakah kelulusan mereka dari langit atau planet Marikh? Apakah otak orang UMNO itu berkali-kali ganda lebih baik dari otak orang yang bukan UMNO? Rasanya kalau otak seperti Ibrahim Ali itu, di kaki-kaki lima pun banyak.

      Orang UMNO mempunyai kelulusan yang sama sahaja dengan orang-orang lain samada lulusan luar negara atau  pun tempatan. Orang UMNO sama sahaja kepintarannya dengan orang lain, malah dalam banyak hal kelulusan dan kepintaran  mereka ini jauh lebih ketinggalan berbanding dengan kelulusan mereka yang bersama Barisan Alternatif. 

      Ghafar Baba sebagai contoh bukan seorang lulusan universiti,  tapi pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, begitu juga dengan mereka yang lain yang terlalu banyak dalam UMNO yang naik bukan sangat kerana kepandaian mahupun kecerdikan mereka tetapi kerana "bodek" dan "ampu". Begitu juga si Ibrahim Ali yang tidak pernah walau sehari menghadiri kursus Undang-undang tetapi dilantik sebagai Timbalan Menteri (Hal Ehwal Undang-undang). 

      Apa yang ingin kita nyatakan di sini ialah jika pembangunan boleh dilaksanakan oleh UMNO hari, maka pembangunan yang lebih baik dan lebih berkualiti malah  tanpa penyelewengan sudah pasti dengan izin Allah, dapat dijayakan oleh para pemimpin Barisan Alternatif yang jauh lebih hebat dari segi kepandaian dan kelulusan mereka, ditambah lagi dengan keikhlasan untuk memikul amanah rakyat. 

      Isu kemiskinan juga satu daripada isu hangat yang dicanangkan oleh UMNO. Kelantan kononnya dikatakan negeri termiskin di Malaysia. Kita ingin utarakan di sini beberapa persoalan:- 

      1. Negeri Terengganu yang kaya raya dengan hasil minyaknya yang diterajui oleh Wan(g) Mokhtar yang juga salah seorang Menteri Besar terkaya di Malaysia, adakah bebas dari kemiskinan? Malah Terengganu merupakan negeri yang kedua/ketiga miskin di Malaysia. 

      2.Bukanlah suatu yang pelik bagi negeri Kelantan dengan suasana geografinya sedemikian yang tidak memiliki sumber asli seperti minyak di Terengganu untuk tidak sekaya Terengganu dan Selangor. Lebih-lebih lagi Kelantan jauh dari pusat, Kuala Lumpur, dan sudah pasti juga melambatkan sedikit perhubungan. 

      3.Apakah negeri-negeri di bawah pemerintahan UMNO/BN seperti di Selangor, Kedah dan lain-lain tiada rakyatnya yang miskin. Malah, di Kuala Lumpur sendiri, ibukota yang begitu dibanggakan oleh kerajaan yang memerintah hari ini, kita masih boleh lihat ada di kalangan rakyat miskin yang menjadikan bawah-bawah jambatan sebagai tempat tinggal mereka.

      4. Apakah pembangunan mahupun pembasmian kemiskinan yang telah UMNO lakukan sebelum PAS memerintah Kelantan bermula dari tahun 1990? Hakikatnya, selama UMNO memerintah Kelantan sebelum ini, tiada apa yang mereka lakukan untuk rakyat dalam membasmi kemiskinan kerana pemimpin UMNO masing-masing sibuk berebut-rebut membolot tanah-tanah balak. 

      Kenapakah kemiskinan terus wujud walaupun sudah lebih 40 tahun kita merdeka? UMNOlah sebenarnya yang tidak berminat untuk bersungguh-sungguh menghapuskan kemiskinan di negara kita ini kerana dengan adanya rakyat yang miskin, UMNO akan boleh menggula-gulakan mereka dengan 1001 macam jenis bantuan dan seterusnya mengikat mereka agar terus mengundi UMNO/BN sebagai membalas jasa dan budi UMNO. Rakyat yang miskin ini mulalah dijanjikan dengan rumah murah, pekerjaan untuk anak-anak, biasiswa, makanan serta pakaian seperti kain-kain dan seumpamanya. Inilah dia permainan UMNO di setiap kali menjelang  pilihanraya. 

      Dengan segala sumber asli yang dimiliki negara, rakyat di negara ini  sepatutnya sudah lama bebas dari belenggu kemiskinan. Namun apa yang terjadi ialah, kekayaan negara diagih-agihkan di sekitar dua tiga kerat manusia dan kaum kerabat mereka dan yang meleleh kepada rakyat hanyalah beberapa titis sahaja dari segala kekayaan tersebut. Rakyat sepatutnya mendapat RM1000 misalnya, tetapi yang diberikan hanyalah RM10, dan rakyat diseru bersyukur kepada kerajaan.Yang selebihnya dirompak oleh puak-puak mereka.Tidak sekali-kali perlu kita berterima kasih kepada perompak-perompak harta rakyat ini, bahkan mereka sepatutnya dihukum kerana mengkhianati amanah rakyat. 

      Hanya satu cara menghukum mereka, tumbangkan mereka dan naikkan kerajaan baru dari Barisan Alternatif. Dacing Barisan Nasional sudah tidak relevan  lagi dan sudah ketinggalan zaman. Mari sama-sama kita campakkan ke Laut Cina Selatan.  

AWANG BONGSU