GOLONGAN BERPENDIDIKAN AGAMA DAN ULAMAK DIPINGGIRKAN?
  
Assalammualaikum WRT. WBT. 
  
Sebenarnya sudah lama saya memendam rasa untuk menyumbangkan penulisan saya di ruangan yang menjadi kegemaran ramai ini. Tapi apabila menatap sebilangan besar dari cetusan idea yang dipaparkan di ruangan ini, sebilangan besarnya adalah cetusan idea yang saya kira sama seperti mana yang ingin saya paparkan iaitu 'PENYELEWANGAN DAN KEDURJANAAN PEMIMPIN UMNO MASAKINI'. Dengan yang demikian penglibatan saya hanyalah sebagai pembaca setia sahaja. 
  
Suka saya catatkan di sini, bahawa saya dibesarkan di sebuah rancangan felda di Pahang (Felda Chemomoi: Tahniah untuk orang Felda Chemomoi yang sebahagian besarnya inginkan 'perubahan'). Walau bagaimanapun isu yang ingin saya bangkitkan ini ialah berkenaan dengan rancangan kerajaan BN yang ingin mengambil alih sekolah agama rakyat atas alasan kedhaifan sekolah tersebut, gurunya yang tidak terlatih dan sumbangan sekolah tersebut yang melahirkan golongan penghentam kerajaan. 
  
Persoalannya, mengapakah isu ini hanya dibangkitkan sekarang? Sebagaimana logo Petronas yang baru hanya sekarang dikatakan menyerupai lambang sebuah parti politik. Selama ini, manakah keprihatinan kerajaan terhadap sekolah agama rakyat tersebut. Boleh dikatakan sekolah agama rakyat ini dahulunya adalah terpinggir, hanya dianggap sebagai sekolah buangan bagi pelajar yang tidak mempunyai kecemerlangan akademik. tanggapan mereka sekolah tersebut hanya layak
melahirkan seorang Imam masjid, bilal, guru al-Quran dan lain-lain yang hanya bersangkut paut dengan agama. Inilah pemikiran sekular!. Inilah yang telah dibuat sejak zaman pemerintahan British atas prinsip "Dasar Pecah dan Perintah" dan masih diteruskan oleh kerajaan yang memerintah sehingga ke hari ini. 
  
Saya adalah merupakan salah seorang yang pernah mendapat pendidikan agama di sekolah agama ini dapat merasakan perbezaannya jika dibandingkan dengan sekolah menengah biasa kelolaan kerajaan. Kemudahan yang disediakan di sekolah agama amatlah dhaif, daripada sekolahnya sampailah ke asramanya. Selepas tamat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Pelangai, Bentong (kawasan ADUN Pelangai: Datuk Adnan Yaakob, MB Pahang sekarang) saya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Agama Dong, Raub. Apa yang menyedihkan hati saya ialah keprihatinan kerajaan terhadap sekolah agama ini amat kurang sekali. Kami tidak mempunyai asrama yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur malahan semua peralatan asrama terpaksa kami sediakan sendiri daripada tilam, bantal, almari dan sebagainya. Sehinggalah asramanya yang terlalu sesak dan uzur. kami bernasib baik sedikit apabila sebuah markas PAS yang terletak di kampung Durian Sebatang dapat dijadikan asrama bagi menempatkan pelajar-pelajar seperti kami yang datang dari jauh ini. Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan ahli PAS kawasan tersebut terutamanya Ayahngku Tengku Puji Tg. Abd. Hamid. 
  
Sememangnya guru yang mengajar di sekolah agama rakyat ini kurang terlatih. Tetapi mereka bekerja di atas prinsip redha. Pendapatan yang mereka dapat tidak setinggi mana. Malah boleh saya katakan pendapatan pekerja kilang jauh lebih lumayan daripada pendapatan mereka yang ingin mendidik anak bangsa ini. Mereka menjalankan kerja dengan penuh ikhlas. Pendidik yang beginilah yang akan melahirkan generasi yang berkualiti bukan sahaja untuk dunia tapi juga kehidupan akhirat. 
  
Mungkin prasangka buruk orang UMNO yang hanya melihat golongan yang berpendidikan agama secara automatik adalah merupakan penentang kepada ideologi mereka. Sebaliknya, mengapakah mereka tidak memikirkan mengapa orang berpendidikan agama ini menentang fahaman dan ideologi mereka. Mengapakah ulamak seperti Prof. Dato' Dr. Harun, Datuk Ismail Kamus, Dr. Badrul Amin dan Datuk Ishak Baharom cuba memperbetulkan mereka. Apabila saluran untuk memperbetulkan mereka telah tertutup maka ulamak tersebut memilih saluran melalui suara parti pembangkang. Agenda
mereka bukan untuk menumbangkan kerajaan, pada asalnya untuk memperbetulkan kerajaan tetapi apabila kerajaan tidak mahu diperbetulkan cara itu maka dengan cara menumbangkannya dengan pilihanraya adalah yang lebih tepat. 
  
Justeru, saya ingin menyeru kepada semua ahli akademik samada guru tadika, guru sekolah, pensyarah dan semuanya berganding bahu untuk memperbetulkan situasi kerajaan yang semakin pincang ini. Berceritalah apa yang benar jangan berselindung dan cakap bertapis-tapis kerana takutkan ancaman kerajaan.Takutkanlah Allah S.W.T. Saya yang juga berperanan sebagai seorang pensyarah di IPT akan menjelaskan apa yang sebenar- benarnya. 
  
SOKONG BARISAN ALTERNATIF.....HAPUSKAN KEZALIMAN UMNO! 
  
DULU TAK ADA PARTI...SEKARANG 'PAS' 
  
PENSYARAH IPTS 
Anak Felda Chemomoi