JIKA ANDA SOKONG BN, BERMAKNA...

Pendahuluan

Tidak dapat dinafikan, kempen Pilihanraya Umum sudahpun bermula. Kempen yang tidak diisytiharkan ini macamlah perang yang tidak diisytiharkan antara dua pihak yang berperang. Tempoh kempen dalam pilihanraya umum itu nanti amat pendek. Tidak sampai dua minggu. Biasanya setakat 10 hari saja.Lazimnya, sebelum hari mengundi, rakyat sudah tahu calon mana, dan parti apa yang hendak dipilihnya nanti. Malah, sekarang pun, sebelum Parlimen dibubarkan, ramai orang sudah membuat pendirian masing-masing. 

Tetapi masih ada golongan yang belum  pasti. Golongan ini sering disebut golongan atas pagar. Golongan ini perlu diberi penerangan yang jelas. Malah usaha untuk mendapat sokongan rakyat di kawasan pendalaman, di desa dan luar bandar, baik lelaki atau perempuan, khususnya perempuan, baik tua atau muda, khususnya golongan tua supaya memihak kepada Barisan Alternatif adalah penting. 

Dalam ruang yang terbatas saya mengusulkan 10 perkara yang boleh diajukan kepada rakyat kita yang sebenarnya lebih bijaksana  dari penulis ini sendiri. Saya mengundang supaya usul saya ini ditimbang dan direnungkan. Tanpa ada niat untuk mengajar atau memaksa-maksa, saya dengan rendah hati mengajak saudara semua supaya menganalisis ada benar atau tidak pendapat saya yang tidak sepertinya ini. Persoalan-persoalan yang saya kemukakan ini secara umumnya ditujukan kepada orang biasa, bukannya golongan cerdik pandai atau cendikiawan yang memang telah sedia pandai dan ilmuan. Saya gunakan kata nama ganti diri “Anda” untuk bermaksud para pengundi budiman. Jika terkasar bahasa, harap maafkan. 10 usul saya  adalah seperti berikut: 

Perkara 1: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda setuju hospital kerajaan dikorporatkan dan kemudiannya diswastakan; 

Perkara 2: 
Jika Anda sokong BN….Itu bermakna anda setuju universiti awam dikorporatkan (telah berlaku sekarang) dan kemudian sistem pendidikan negara di swastakan; 

Perkara 3: 
Jika Anda sokong BN….Itu bermakna anda setuju semua penswastaan yang berjalan sekarang seperti lebuhraya, telekom, elektrik, air, pos, syarikat penerbangan awam, dan banyak lagi yang ternyata telah membebankan pengguna dan rakyat umum sedangkan perkhidmatannya tidak memuaskan; 

Perkara 4: 
Jika anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju wang KWSP, Khazanah Nasional, Petronas, Tabung Haji, dan dana awam lainnya digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat korporat besar yang berhutang besar, rugi dan bermasalah. Misalnya, duit Petronas digunakan untuk menyelamatkan Syarikat Perkapalan milik Mirzan Mahathir, anak Perdana Menteri, dan menyelamatkan syarikat DRB-Hicom. Sebelum ini wang Petronas telah digunakan berkali-kali untuk selamatkan Bank Bumiputera yang hampir bangkerap kerana hutang lapuk tak berbayar yang dipinjam oleh tokoh-tokoh korporat dan yang rapat dengan pucuk pimpinan negara sekarang; 

Perkara 5: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju harga barang-barang keperluan harian khususnya makanan seperti gula, tepung, susu, minyak, dan lain-lain dinaikkan sewenang-wenang. Menyokong BN juga bermakna Anda bersetuju harga rumah kos rendah dinaikkan dari harga asalnya RM 25 ribu menjadi melebihi RM 35 ribu sebuah; 

Perkara 6: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju Dr Mahathir Mohamad membina kediaman Perdana Menteri menelan belanja sampai RM 200 juta, sedang beratus ribu keluarga miskin di seluruh negara hidup sebagai setinggan di paya-paya, di lurah-lurah di pinggir bandar. Sebuah mahligai Perdana Menteri di Putrajaya boleh dibina tetapi tidak ada peruntukan perumahan bagi kakitangan awam. Sekarang masih ada 400,000 kakitangan awam pangkat rendah, kebanyakannya orang Melayu masih tak ada rumah sendiri. 

Perkara 7: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju Dr Mahathir Mohamad memboroskan wang negara baik secara awam atau secara penswastaan untuk membina projek-projek mega yang bukan menjadi keutamaan rakyat dan negara seperti projek megah dan mega : 

(a) Menara Kembar Petronas, 
(b) Jet eksekutif kegunaan Perdana Menteri. (Kalau tentera udara TUDM, tiada   peruntukan wang. Jadi TUDM masih gunakan Nuri dan Karibou yang terhempas sekian banyak kali dan ramai perwira yang terkorban mati) 
(c) Litar Formula-1 
(d) Pusat Pentadbiran Putrajaya, 
(e) Cyberjaya, 
(f)Empangan Hidro Bakun dll. Belanjanya ratusan ribu juta ringgit. Dibina hampir serentak. Akibatnya ekonomi negara jatuh terentak! 


Perkara 8: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju tindakan Dr Mahathir Mohamad memecat dan melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sewenang-wenang, kemudian menangkap Anwar dengan menggunakan ISA, dibawa ke Bukit Aman, kemudian diikat kedua tangannya, ditutup matanya, selepas itu dibelasah separuh mati hingga cedera tubuh badannya dan luka serta lebam mata kirinya. Jika Anda sokong BN…. Itu bermakna Anda bersetuju Anwar dituduh dengan segala macam fitnah dan tuduhan yang mengaibkan dan memalukan. Kemudian Anwar diheret ke mahkamah dan dibicarakan di bawah sistem keadilan mahkamah yang meragukan. Dia dijatuhkan hukum bersalah dan dipenjarakan.Segala instrumen negara baik Polis, Mahkamah, Peguam Negara, Jabatan Kimia digunakan untuk menindas Anwar sedemikian rupa tanpa ada rasa belas ihsan dan bertimbangrasa. Siapa Anwar itu sebelum 2 September 1998? Dia adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kalau orang sedemikian tinggi kedudukannya dilayan sedemikian rupa oleh Dr Mahathir Mohamad dan instrumen-instrumen negara serta gang-gangnya, apakah jaminan kita rakyat biasa, yang tidak ada nama atau kedudukan? Rule of Law atau Law of The Jungle? Yang digunapakai di negara kita ini? 

Perkara 9: 
Jika Anda sokong BN…..Itu bermakna anda bersetuju negara Malaysia yang tercinta dan indah ini terus diperintah oleh seorang yang anti-demokrasi, seorang bersifat autokratik, merangkap ketua satu kabilah oligarki yang ada kecenderungan dictatorship yang taksub akan kuasa peribadi; 

Perkara 10: 
Jika Anda sokong BN….Itu bermakna anda bersetuju masa depan anda dan anak cucu anda serta generasi masa depan digadai dan dipertaruhkan kepada gerombolan BN- iaitu BANDIT NASIONAL. Bandit bererti penjahat atau samseng. Mengapa gerombolan BN itu kita panggil Bandit Nasional? 

Kerana

(a) mereka telah menggadaikan dan memajakkan segala khazanah dan harta kekayaan negara pada masa ini dan masa depan kepada kuasa-kuasa asing melalui penjualan bon-bon yang mereka jajakan ke Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun; 

(b) Melalui pelbagai projek penswastaan yang mega-mega dan megah-megah bertaraf dunia, telah menyebabkan pinjaman luar negara Malaysia, khususnya di sektor swasta amat besar, sesuatu yang memalukan dan tidak dapat dimegahkan; 

Akan tetapi kesalahan terbesar Bandit Nasional (BN) ialah gerombolan ini dalam masa 18 tahun mentadbir negara telah melakukan perompakan, penyelewengan, pengsunglapan, rasuah dan keserakahan yang tak terkira dalam skandal-skandal bertaraf dunia seperti tertera di bawah ini, antaranya ialah: 

(a) Skandal BMF di Hong Kong. (Lesap RM 2.5 Bilion); 

(b) Skandal yang membawa kerugian kepada Bank Bumiputera sebanyak tiga kali sehingga bangkerap akhirnya bank yang diilhamkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera; 

(c) Skandal yang membawa kerugian kepada Bank Negara dalam perjudian tukaran asing mata wang Pound Sterling British; 

(d) Skandal Syarikat Perwaja (Kerugian RM 3 bilion dan RM 7 bilion lagi kerajaan menanggung hutang); 

(e) Skandal Syarikat-syarikat Pendeposit Koperasi; 

(f) Skandal yang membawa keruntuhan Sime Bank (hampir RM 2 bilion). 

Kesimpulan:

Sekarang sampailah masanya Anda sebagai pengundi, sebagai seorang pemilih yang bertanggungjawab membuat keputusan, iaitu sama ada menyokong terus BN atau tumbangkan BN dan sokong Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, PRM, KeADILan dan DAP. Keputusan di tangan anda. Selamat Memilih. 
 

HASSAN KARIM