Untuk menentang jentera BN

16 NGO SOKONG ALTERNATIF

Oleh Amir Ramadzan Ibrahim

 

KUALA LUMPUR: 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta parti-parti alternatif PAS, Parti Keadilan Nasional (Keadilan), PRM dan DAP mewujudkan segera barisan alternatif bagi memastikan kerajaan yang ada sekarang berjaya diubah.

Mereka juga meminta agar parti alternatif boleh bersetuju dengan segera dalam beberapa isu antaranya mengenai pembahagian kerusi, dasar-dasar kerajaan baru, calon Perdana Menteri dan kabinet bayangan dan lambang yang sama.

Perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum bersama yang disokong oleh 16 NGO termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina, Jamaah Islam Malaysia (Jim), Majlis Pelajar Malaysia dan Persatuan Ulama' Malaysia kepada pemimpin tertinggi keempat-empat parti.

Menurut memorandum itu lagi, NGO yakin bahawa pilihan raya akan datang adalah satu-satunya peluang untuk memperbetulkan keadaan tetapi rakyat perlu diberi pilihan yang munasabah.

"Persepakatan parti-parti alternatif hendaklah bermuafakat pra-semasa-pasca pilihan raya untuk bertanding bersama-sama, memerintah bersama atau menjadi pembangkang bersama," .

Menurut memorandum tersebut, rakyat telah sangsi dengan tanggungjawab kerajaan sekarang menjamin serta mempertahankan keadilan dan hak-hak rakyat.

"Adalah tidak munasabah jika jentera alternatif tidak bergabung menjadi satu bagi menentang jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang bersatu, berdana besar dan memanfaatkan jentera kerajaan," .

Memorandum itu juga menjelaskan kewujudan barisan alternatif juga akan membuktikan kebijaksanaan, kesungguhan dan kemampuan pemimpin parti-parti alternatif.

Di samping itu, memorandum itu turut meminta agar pilihan raya yang akan datang bebas, bersih dan adil yang akan menimbulkan keyakinan rakyat kepada pemenangnya dan memberikan semangat baru kepada amalan politik di negara ini.

 

Ke Laman Utama