Isu kemiskinan di Kelantan

AKHBAR DIMINTA MOHON MAAF

 


Puan Zabidah bersama dua cucunya di rumah sebenar beliau yang terletak di dalam kampung. Beliau gunakan bangsar beliau di tepi jalan sebagai tempat pengumpulan sesuai dengan kerja beliau sebagai 'tok peraih'.
KOTA BHARU: Anak lelaki tunggal Zabidah Awang, 63 yang didakwa sebagai keluarga miskin oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini, Azrulhisyam Daud, 27, melahirkan rasa dukacita terhadap laporan akhbar berkenaan yang dianggap menghina keluarganya.

Malah beliau menyifatkan kemiskinan ibunya hanya dinilai setakat beras, biskut dan susu oleh seorang pemimpin Umno di Pengkalan Chepa.

Azrul yang bertugas di salah sebuah syarikat swasta terkemuka di Kuala Lumpur, ketika dihubungi berkata, akibat laporan tidak benar akhbar berkenaan menyebabkan beliau serta enam saudaranya yang lain terpaksa menanggung malu.

Menurutnya, sumbangan yang berupa beras, gula dan seumpamanya itu tidak berbaloi dengan rasa malu yang ditanggung anggota keluarganya yang lain.

"Lainlah kalau dapat tanah atau rumah besar ke... berbalui juga, ini biskut...," ujarnya sambil menyindir.

Katanya, akhbar tersebut boleh melaporkan apa sahaja berhubung kemiskinan di negeri ini atau di mana sahaja tetapi jangan mengheret ibunya yang tidak mengerti apa-apa.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana, tetapi saya tidak rela ibu saya dan kami adik beradik diperlakukan begini seolah-olahnya menggambarkan kami (anak) tidak pernah memperdulikan nasib ibu sendiri," ujarnya.

Ditanya apakah beliau pernah meminta ibunya tinggal bersamanya atau adik beradik yang lain, beliau berkata, perkara itu telah lama diminta oleh beliau dan adik beradik lain, terutama kakaknya yang sulung tinggal di Taman Huda.

Namun, hasrat tersebut ditolak ibunya dengan alasan beliau masih sihat lagi serta tidak bebas menjalankan aktiviti sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru akhbar yang mengeksploitasikan ibunya demi mencukupkan ruang terhadap laporan khas kemiskinan di Kelantan, memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan seluruh anggota keluarganya terhadap laporan yang memalukan itu.

Beliau berkata, sepatutnya akhbar tersebut menyelidiki dahulu sejarah atau latarbelakang ibunya sebelum mengambil tindakan sedemikian.

Ditanya adakah beliau berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu, Azrul berkata ianya akan dibincang bersama keluarga nanti.

"Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak pada Harakah kerana sudi menjelaskan cerita yang sebenarnya," ujarnya.

Sementara itu, Harakah difahamkan anak sulungnya adalah seorang guru di salah sebuah sekolah di Negeri Sembilan, manakala suaminya pegawai kanan di Agensi Dadah Kebangsaan dan seorang menantunya lagi, iaitu suami pada anak Zabidah yang keempat, bertugas sebagai jurulatih Kastam di Melaka.

Berita berkaitan ...

 

Ke Laman Utama