Permit sembahyang: Peguam Negara diminta jelaskan

 

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah diminta membuat penjelasan segera berhubung kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Bakri Zimin mengenai perlunya mendapatkan permit polis untuk sembahyang berjamaah tiga orang atau lebih.

Yang DiPertua Persatuan Ulama' Malaysia, Ustaz Ahmad Awang berkata penjelasan itu perlu untuk mengelakkan kekeliruan rakyat kerana selama ini tidak pernah berlaku sembahyang berjamaah memerlukan permit polis.

Sebelum ini, Harakah melaporkan ACP Bakri menjelaskan mengenai isu yang mengejutkan itu dalam perbicaraan kes 13 orang yang ditahan ketika demonstrasi 14 April lepas.

Ahmad berkata, jika keterangan ACP Bakri itu benar maka ia adalah satu penghinaan dan kezaliman terhadap umat Islam di negara ini yang tidak pernah berlaku di zaman penjajah.

"Soal ia dikuatkuasakan atau tidak adalah soal lain. Tetapi sekiranya kenyataan itu benar, rakyat wajar menolak kerajaan yang ada sekarang," tambahnya ketika dihubungi di sini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, akta yang sedemikian mesti dihapuskan kerana mengikut ajaran Islam bersembahyang adalah wajib manakala berjamaah pula adalah fardhu kifayah.

"Akta-akta lain yang menghina dan menyusahkan umat Islam juga perlu dihapuskan seperti akta yang menyusahkan kemasukan orang bukan Islam ke dalam Islam," tambahnya.

Sementara itu, AJK Kerja PAS Pusat, Ust Abd Ghani Abd Rahman melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan ia bercanggah dengan dakwaan Umno yang menganggap dirinya memperjuangkan Islam di negara ini.

Ia juga memalukan umat Islam dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, tegasnya.

"Jika ia benar, maka nantinya akan ada yang meninggalkan solat berjamaah atas alasan tidak mendapat permit polis," katanya ketika dihubungi.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Borhan Che Daud pula menyifatkan ia sebagai tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan satu usaha untuk menyekat penggunaan masjid.

"Mungkin selepas ini akan ada pula Akta Masjid dan Kawasan Masjid yang akan menentukan bagaimana masjid seharusnya digunakan," katanya.

 

Ke Laman Utama