Catatan IBNU MUSLIM

Umno bergantung penuh dengan media

CARA akhbar utama di negara ini melayan para pemimpin PAS dan pemimpin-pemimpin parti alternatif lain sejak akhir ini dianggap sebagai kurang sopan dan biadab.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa taraf akhbar-akhbar yang ada hari ini, telah menurun kepada "risalah Umno dan BN" sahaja dan tidak layak diberi taraf "akhbar nasional".

Pendapat ini berdasarkan kepada cara pengarang dan wartawan akhbar-akhbar berkenaan melayan para pemimpin PAS dan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain sejak kebelakangan ini.

Sebagai contohnya, bagaimana para wartawan telah melayan Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu "unsur kafir" dalam Umno dan isu perlantikan seorang Timbalan Menteri Besar selepas pilihan raya umum 1990 dulu.

Para wartawan telah mengemukakan berbagai soalan kepada Mursyidul Am PAS itu, demi untuk mendapat jawapan mengenai isu-isu lapuk yang dibangkitkan semula oleh para pemimpin Umno.

Apa yang menyedihkan, jawapan yang diberi oleh Mursyidul Am PAS itu diputar belitkan untuk kepentingan Umno dan Kerajaan Barisan Nasional.

Setakat ini, nampaknya para wartawan telah dikerahkan ke Kelantan untuk menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan berbagai soalan yang telah disediakan oleh bos mereka di Kuala Lumpur.

Kenyataan dan jawapan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz itu akan diputar belitkan, demi untuk memuaskan nafsu para pemimpin Umno.

Sudah menjadi amalan biasa kepada para pengarang akhbar-akhbar tempatan tidak akan menyiarkan semua kenyataan yang diberi oleh para pemimpin parti pembangkang khususnya PAS di waktu musim pilihan raya.

Dalam erti kata lain, media tempatan tidak menyiarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan kedudukan Umno dan BN.

Ini bererti, walaupun Tok Guru Nik Abdul Aziz telah memberi jawapan tepat mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh para wartawan yang berkenaan, tetapi belum pasti jawapan dan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu akan disiarkan sepenuhnya oleh media tempatan.

Kerana tujuan utama para wartawan itu menemu bual Mursyidul Am PAS bukan untuk mendapat penjelasan mengenai suatu isu yang dibangkitkan, tetapi sebaliknya dengan tujuan untuk mencari kelemahan-kelemahan yang terdapat daripada jawapan dan kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz itu.

Pendek kata, selagi Mursyidul Am PAS itu melayan wartawan-wartawan akhbar-akhbar tertentu, maka selama itulah beliau terus diserang oleh media tempatan.

Tetapi suatu perkara yang tidak disedari oleh para pemimpin Umno dan pengarang-pengarang akhbar bahawa sebahagian besar rakyat sudah tidak percaya lagi dengan berita-berita yang disiarkan oleh media tempatan mengenai PAS dan parti-parti alternatif lain.

Berita-berita negetif mengenai parti-parti alternatif yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama termasuk RTM dan TV3 telah dianggap sebagai berita propaganda Umno yang tidak boleh dipercayai.

Sebenarnya, peranan media termasuk RTM dan TV3 sudah tidak dapat mempengaruhi para pengundi lagi dalam pilihan raya kali ini.

Apa yang lebih menarik, ialah berita mengenai Profesor Shahnon Ahmad meminta maaf kepada Dr. Mahathir yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada hari Ahad lepas.

Walaupun belum ada penafian yang dibuat oleh Shahnon Ahmad mengenai perkara itu, tetapi sebahagian besar rakyat tidak mempercayai bahawa penulis novel Shit itu meminta maaf kepada Dr. Mahathir.

Pengedar-pengedar akhbar di sekitar Chow Kit yang terdiri dari kaum India Muslim dan Cina juga, tidak percaya dengan berita yang mendakwa Shahnon Ahmad meminta maaf kepada Perdana Menteri.

Ini jelas membuktikan bahawa rakyat sudah tidak dapat menelan bulat-bulat apa yang disiarkan oleh akhbar tertentu, khususnya mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin PAS dan parti-parti alternatif lain.

Para pemimpin Umno sekarang ini, bergantung sepenuhnya kepada media tempatan untuk menghalang kemaraan parti-parti pembangkang, terutama sekali PAS.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah, kalau banyak lagi cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal akan disiar oleh akhbar-akhbar tertentu.

Kalau berita mengenai Profesor Shahnon Ahmad meminta maaf itu boleh dicipta dan diada-adakan, maka banyak lagi perkara-perkara yang gharib dan ganjil akan dimuatkan dalam akhbar-akhbar tempatan nanti.

Ramai di kalangan para pemerhati politik di Kelantan yang memperkatakan tentang keinginan para pemimpin Umno hendak memperluaskan pengajian pondok di Kelantan bila BN berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Tengku Razaleigh Hamzah yang baru dilantik sebagai Pengurusi Perhubungan Umno Kelantan telah menjadikan soal pengajian pondok sebagai agenda utama untuk menarik perhatian rakyat di negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Soalnya sekarang, dapatkah rakyat Kelantan mempercayai bahawa pimpinan Umno Kelantan sekarang, benar-benar berhasrat untuk memperluas pengajian pondok dan memberi bantuan kewangan kepada guru-guru pondok?

Mengapa soal pengajian pondok dan bantuan kewangan kepada Tok-Tok Guru dibangkitkan sekarang, sedangkan pengajian pondok dan Tok-Tok Guru pondok telah lama wujud di negeri itu?

Pada hemat saya, orang yang paling layak bercakap mengenai pengajian pondok ini, ialah Menteri Besar sekarang kerana beliau seorang Tok Guru dan anak kepada seorang Tok Guru Pondok di Pulau Melaka.

Dan ramai di kalangan pemimpin-pemimpin PAS dan Adun-Adunnya yang terdiri daripada guru-guru pondok dan anak-anak kepada Tok Guru Pondok.

Saya tidak fikir, Tengku Razaleigh Hamzah dan pemimpin-pemimpin Umno Kelantan lainnya dapat menafikan hakikat ini. Kalau tidak salah ingatan saya, tidak ada seorang pemimpin Umno yang terdiri daripada Guru Pondok.

Adapun, Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, hanya anak Tok Guru Pondok Melur dan beliau bukan seorang Tok Guru dalam erti kata yang sebenarnya.

Seorang Ustaz kelulusan Azhar, tidak semestinya beliau seorang Tok Guru pondok. Saya tidak fikir, seorang yang berkelulusan Azhar dan Universiti lain di Timur Tengah berminat untuk meluaskan pengajian Pondok.

Ini semua merupakan satu taktik dan strategi Umno untuk menawan Kelantan melalui pimpinan Ku Li, dan tidak lebih dari itu.

Apa yang lebih penting sekarang, para pemimpin PAS jangan memberi peluang dan ruang kepada wartawan-wartawan memutar belitkan kenyataan-kenyataan mereka.

Kalau perlu, jangan dekati wartawan-wartawan yang mewakili akhbar-akhbar tertentu.

 

Ke Laman Utama