Jika Anda Menyokong Barisan Alternatif…..

Oleh Hassan Karim
(salah seorang Naib Presiden PRM)

Pendahuluan

Telah 42 tahun Barisan Nasional(BN) berkuasa. Tentulah susah  untuk
rakyat dengan tiba-tiba menolak parti berlambang dacing itu. Barisan
Alternatif pula adalah sebuah gabungan atau pakatan yang baru dibentuk
dan sekarang berusaha untuk menggantikan BN. Tentulah rakyat
tertanya-tanya. Banyak kekeliruan. Banyak tanya soal yang perlu dijawab.
Bolehkah Barisan Alternatif memerintah? Tidak huru-harakah negara bila
Barisan Alternatif berkuasa? Macam-macam lagi kekhuatiran di kepala
sesetengah rakyat negara kita.

Sebab itu kita menuntut tempoh kempen Pilihanraya Umum itu lama, bukan
sepuloh hari macam sekarang supaya penerangan yang secukupnya dapat
diberikan dengan tenang, dan jelas. Tetapi Dr Mahathir Mohamad sengaja
merahsiakan tarikh pilihanraya semata-mata bertujuan untuk menjadikan
parti-parti alternatif kelam-kabut dan rakyat terkejut.
Dia hendak jadikian pilihanraya itu sependek-pendek tempohnya dan
sekotor-kotor kempen politiknya, iaitu macam air sungai yang keruh.
Dalam keadaan serba kelam-kabut, terkejut dan air keruh itu, Dr Mahathir
Mohamad dan UMNO serta BN akan datang membawa tangguk atau sauk. Maka
terjadilah seperti ibarat peribahasa Melayu, “Seperti menangguk di air
keruh.” Ianya mudah bagi BN kerana semua ikan sudah pening dan mabuk.
Sebaliknya, Barisan Alternatif lebih bertanggungjawab. Ia tidak mahu
rakyat memilih kerajaan baru dalam keadaan pening dan mabuk.

Lalu, tulisan ini diutarakan, supaya dari awal-awal kita bincangkan
dengan fikiran yang jelas dan jernih. Jadi, dengan rendah hati, penulis
kemukakan 7 perkara untuk direnungkan jika Anda menyokong Barisan
Alternatif.

Perkara 1:  Jika Anda menyokong Barisan Alternatif …..Itu bermakna anda
mahukan perubahan. Anda mahu kebaikan. Anda mahukan keadilan. Jika
Barisan Nasional (BN) dapat ditumbangkan, itu bermakna anda dapat
membuktikan bahawa rakyat juga ada kekuatan. Anda sebagai pengundi dan
sebagai rakyat dapat semula kuasa politik untuk menentukan siapakah yang
patut jadi pemerintah atau kerajaan. Pemerintahan yang zalim ditolak.
Pemerintahan  yang adil ditegakkan.

Perkara 2:   Jika Anda menyokong Barisan Alternatif…..Itu bermakna anda
memberi satu peluang kepada  gabungan parti-parti politik yang sekarang
ini berada di pihak pembangkang untuk mengambil giliran mereka pula
membentuk sebuah kerajaan. Jika ini berlaku, maka bermulalah satu
tradisi yang sihat dalam sistem politik demokrasi bahawa sesebuah
kerajaan itu boleh bersilih ganti. Jika Anda boleh menumbangkan BN dalam
Pilihanraya Umum kali ini tidak ada sebab untuk Anda tidak boleh
menumbangkan Barisan Alternatif dalam pilihanraya berikutnya jika
Barisan Alternatif itu juga sama seperti BN atau lebih buruk lagi.

Perkara 3:   Jika Anda menyokong Barisan Alternatif…..Itu bermakna anda
menyokong pembangunan ekonomi yang mengutamakan kebajikan rakyat ramai
bukannya segelintir golongan terdiri daripada suku-sakat, anak-pinak
mereka yang berkuasa. Semakain kuat sokongan terhadap Barisan Alternatif
semakin kuat kita dapat menghapuskan amalan rasuah, nepotisme dan

kronisme.

Perkara 4:   Jika Anda menyokong Barisan Alternatif…..Itu bermakna anda
memberi sumbangan dan sokongan kepada usaha kita untuk mengkaji semula
semua aspek penswastaan yang sedang berjalan sekarang seperti
penswastaan di bidang pendidikan (universiti dan kolej), kemudahan awam
seperti telekom, elektrik, air, lebuhraya, pos dan lain-lain. Sebagai
contoh,  dari segi kesihatan, sokongan anda besar maknanya untuk kita
menggagalkan usaha BN yang  hendak menswastakan hospital-hospital
kerajaan. Pembatalan penswastaan hospital kerajaan hanya dapat dilakukan
jika BN berjaya kita tumbangkan.

Perkara 5:   Jika Anda menyokong Barisan Alternatif….Itu bermakna anda
menolak BN yang merupakan gabungan parti-parti politik perkauman yang
selama lebih 4 dekad ini mengamalkan sistem memecah-belahkan rakyat atas
garis kaum dan agama untuk tujuan memerintah negara ini.

Anda tidak perlu khuatir apa yang akan terjadi kepada negara ini jika
Barisan Alternatif ditakdirkan berkuasa membentuk kerajaan. Setelah
berpuluh-puluh tahun parti-parti pembangkang utama di negara ini seperti
PAS, PRM dan DAP dan sekarang disertai KeADILan berjuang untuk
mendapatkan mandat dari rakyat untuk berkuasa, adakah logik bagi mereka
mensia-siakan peluang yang diberi itu dengan mentadbir negeri ini sesuka
hati mereka? Perkara pertama yang ada di kepala para pemimpin Barisan
Alternatif sekiranya ditakdirkan mereka berkuasa ialah untuk mengekalkan
keamanan, kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara.
Bodohlah mereka jika bertindak seperti beruk diberi bunga.

Perkara 6:  Jika Anda menyokong Barisan Alternatif…..Itu bermakna anda
menolak pembangunan negara yang diasaskan dari pemikiran jiwa hamba.
Jiwa yang memunyai konflik rasa rendah diri. Lalu untuk membesarkan hati
dan yakin diri, perlulah bagi Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri sejak
18 tahun itu berbelanja besar dan boros untuk bermegah-megah dengan
projek dan bangunan besar-besar dan mega-mega.

Contohnya, Menara Kembar Petronas yang berharga berbilion ringgit itu
hanya menghabiskan duit Petronas. Duit Petronas duit negara. Duit
negara  bermakana duit rakyatnya, terutamanya generasi masa depan
sesudah kita semua. Gas dan minyak tidak boleh didapati kembali setelah
kering digerudi. Hal ini kena diingati. Kekayaan pemberian Allah ini
perlu dijaga dan diurusi dengan jimat dan berhemah. Berhemah dan
berjimatkan membangunkan bangunan tertinggi di dunia itu dengan wang
sekian banyak. Membazir atau tidak? Bijak atau tidak? Boros atau tidak?

Perkara 7: Jika Anda menyokong Barisan Alternatif…. Itu bermakna anda
tidak mahu memperjudikan masa depan anda, anak-cucu dan generasi akan
datang. Jahillah Barisan Alternatif jika ia hanya berminat untuk
memerintah satu penggal saja. Untuk membuat perubahan yang nampak jelas
dan bermakna, tentulah Barisan Alternatif perlu memerintah lama. Untuk
ia dapat memerintah lama perlulah ia mengemukakan dasar dan program
dalam semua aspek kehidupan rakyat yang dapat diterima dan disokong oleh
rakyat. BN yang ketika itu menjadi pembangkang tentulah tidak akan duduk
diam. Sebagai pembangkang, tentulah dia pun berusaha untuk berkuasa

semula. Masing-masing, baik Barisan Alternatif dan BN akan saling
berusaha mendapatkan sokongan rakyat. Jadi Barisan Alternatif tidak
boleh banyak buat kesilapan semasa mentadbir negara.

Persaingan yang positif antara Barisan Alternatif dengan BN untuk
memenangi hati rakyat adalah berfaedah.Yang untungnya nanti ialah
rakyat. Barisan Alternatif akan berusaha membuktikan ia lebih baik,
lebih unggul, lebih adil berbanding BN. Inilah tujuan utama persaingan
dalam sistem politik demokrasi. Kalau Barisan Alternatif 2x5 saja dengan
BN, maka sekali itulah saja peluang mereka. Rakyat tidak akan percaya
lagi. Siapa yang rugi? Bukan rakyat tetapi Barisan Alternatif sendiri.
Jadi tentulah mereka ini dalam kepimpinan Barisan Alternatif tidak naif,
jahil atau bodoh.

Kepimpinan parti-parti alternatif sudah teruji selama ini. Mereka juga
orang berpelajaran tinggi, sesetenganya bekas profesor, ahli
profesional, dan para ulamak yang dihormati. Mereka kebanyakanya
ahli-ahli politik yang berpengalaman dalam kancah politik Malaysia sejak
sekian lama.

Adakah rakyat akan memperjudikan nasib mereka dengan menyokong Barisan
Alternatif yang dipimpin oleh individu-individu yang selama ini
memperjuangkan keadilan untuk rakyat bawahan, memperjuangkan hak asasi
manusia, memperjuangkan sistem undang-undang yang lebih adil dan
berperikemanusiaan? Adakah logik semasa mereka bergerak sebagai pemimpin
parti pembangkang mereka memperjuangkan tuntutan-tuntutan adil dan hak
sejak sekian lama, (sesetengahnya sejak mereka pelajar lagi di
universiti-universiti), tetapi tiba-tiba apabila diberi mandat berkuasa
mereka jadi gila kuasa macam beruk dapat bunga dengan bertindak ibarat,
“Bersultan di mata dan beraja di hati”?

Saya yakin, jika Barisan Alternatif menang besar dan berkuasa, ucapan
pertama yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin alternatif itu ialah
“Bersyukur!”. Bersyukur pada Tuhan. Bersyukur pada Allah. Pemimpin yang
tahu bersyukur tidak akan zalim, tidak akan jadi pendendam, seperti
sesetengah orang yang sejak sepuluh bulan terakhir ini kerjanya baik
semasa dalam negeri atau ketika berada di luar negara, baik di depan
kaca televiseyen atau dalam Perhimpunan Agung partinya, kerajanya tidak
ada lain melainkan ialah menghina bekas timbalannya sendiri yang
sekarang merengkok dalam penjara dan tidak dapat mempertahankan dirinya
dari segala serangan fitnah, kata nista dan caci-cerca.

Kehidupan harian rakyat sekarang ini, dilihat sekilas pandang nampak
tenteram. Tetapi di hati dan fikiran mereka sekarang sebenarnya bergolak
kerana melihat kekejaman ISA, penahanan tanpa bicara, deraan dan seksaan
dalam tahanan. Kes lebam mata. Konspirasi segala instrumen negara.
Keadilan Mahkamah yang diragukan. Pendakwaan berpilih. Semuanya
menjadikan rakyat tidak tenteram dan damai di hati.

Jika BN terus berkuasa, hal ini akan berterusan. Malah pemimpin-pemimpin
BN akan berkokok, “Lihat! Rakyat sokong kita! Kita ada ISA. Kita tangkap
dan seksa orang. Kita belanja besar dengan boros. Itu semua tak apa.
Rakyat suka yang mega-mega. Rakyat  di belakang kita. Rakyat terima
undang-undang yang menekan. Rakyat tak kisah hak asasi manusia. Asal ada

makan pakai, rakyat tak peduli yang lain. Ha! Ha! Ha! Pergi jahanam
dengan Barisan Alternatif. Rakyat tak sudi. Dan Anwar Ibrahim, reputlah
engkau dalam Penjara Sungai Buloh! Tak cukup 6 tahun, kami akan tambah
lagi. 10 tahun? 20 tahun? Jangan lupa ada sebatan rotan!” Adakah ini
yang rakyat mahukan?

Adakah kita hendak keangkuhan seperti ini berlaku pada malam pengumuman
keputusan pilihanraya nanti sebaik saja dapat diketahui siapa yang
berhak membentuk kerajaan baru? Atau kita mahukan ucapan “Bersyukur
kepada Allah” kerana Tuhan memperkenankan permintaan kita hingga terbuka
hati rakyat mengundi  Barisan Alternatif?

Penulis bukan hendak menakut-nakutkan rakyat. Tetapi kerana sudah faham
benar tentang perangai dan fikiran pemimpin-pemimpin UMNO dan BN ini,
maka demikianlah nanti yang akan berlaku. Pemimpin-pemimpin BN itu,
sesetengah mereka akan meluahkan angkuh dan takbur mereka di kelab-kelab
eksklusif sambil minum-minum dan mabuk-mabuk!

Tetapi jika Anda menyokong Barisan Alternatif, sebaliknya yang mungkin
berlaku. Kehidupan rakyat akan lebih aman, tenteram dan terjamin
kebajikannya. Kerajaan baru Barisan Alternatif, sebagai contoh konkrit
akan membangunkan satu program perumahan untuk rakyat di seluruh
negara.  Pelajar-pelajar universiti akan dianugerahkan biasiswa. Harga
barang-barang makanan dan keperluan harian akan dipastikan rendah dan
tidak membebankan. Para pekerja dijamin hak untuk bekesatuan dan
menubuhkan kesatuan sekerja mereka. Para pelabur asing dan majikan
tempatan tidak akan diizinkan menindas para pekerja mereka seperti
sekarang. Gaji pekerja mestilah berpatutan kepada pekerja supaya mereka
dapat menampung kehidupan keluarga mereka;  supaya akhirnya mereka bebas
dari kemiskinan, kesusahan dan tekanan bebanan kos hidup yang tinggi
waktu ini.

Kesimpulan:

Sekali Anda menyokong Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, PRM
KeADILan dan DAP bukanlah bermakna gabungan parti-parti alternatif ini
akan berkuasa buat selama-lamanya. Mereka juga terpaksa patuh kepada
undang-undang dan Perlembagaan negara. Setiap lima tahun kita ada
Pilihanraya Umum. Jika gabungan Barisan Alternatif ini lulus dalam ujian
mereka mentadbir negara (sekiranya diberi mandat dalam pilihanraya kali
ini), bolehlah mandat itu disambung lagi. Kalau tidak, rakyat boleh
tolak mereka, atau pilih BN lagi (jika BN masih ada dan tidak terkubur
selepas kalah buat pertama kali). Mungkin pada ketika itu BN, (jika
masih ada) sudah mengalami reformasi, dan tidaklah seburuk semacam
sekarang ini.

Atau mana tahu, apabila BN kalah dalam pilihanraya umum kali ini,
gabungan BN itu pecah dan parti-parti gabungannya membawa nasib
masing-masing. Ketika itu mungkin boleh difikirkan satu formula baru di
mana Barisan Alternatif yang ditakdirkan berkuasa nanti dengan rasa
penuh tanggungjawab untuk mengelakkan perpecahan rakyat (sekiranya
majoriti yang ada pada Barisan Alternatif itu kecil), maka dengan hati
terbuka dan baik sangka membuka pintunya kepada unsur-unsur yang baik,
iaitu individu-individu yang baik dari BN untuk menyertai Barisan
Alternatif. Unsur-unsur yang baik itu bermaksud mereka yang tidak
menyeleweng, tidak rasuah dan tidak bersekongkol dengan Dr Mahathir

Mohamad dan Daim Zainuddin.

Ada kemungkinan, jika keperluan timbul iaitu sebuah  Kerajaan Perpaduan
Nasional dapat ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum nanti.

Jadi kepada rakyat yang dikasihi sekelian,
Saya menyeru,
"Berilah Barisan Alternatif satu peluang !"