[petikan dari forum gerak reformasi] 
  

HC 
Dialog Tuan Guru di Hotel Nikko 
Sun Jul 11 05:38:02 1999 
  

Assalamu'alaikum. 

Hari ini (10/7/99) aku telah diberi rezeki oleh Allah SWT untuk menghadiri 
Dialog Bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Hotel Nikko di Jalan Ampang, 
Kuala Lumpur. Sebagaimana lagaknya orang kebanyakan, aku bukanlah jenis 
yang selalu berkunjung ke hotel-hotel bertaraf lima bintang macam ni. Orang 
macam aku ni, setakat tengok iklan "Dialog di Hotel Nikko" tu bolehlah, 
tapi tak payah mimpilah nak boleh pergi. Tiketnya pun RM100, tiga minggu 
aku punya belanja pasar. 

Tetapi Allah itu Maha Kuasa, melalui seorang hamba Allah, aku ditakdirkan 
sampai juga ke hotel tersebut. Itulah agaknya di antara faedah yang banyak 
kita ber-internet ni ya? Di samping boleh berforum (khususnya di Forum 
Gerak Reformasi FGR yang seorang sdr kita tu kata "tak berguna" tu -- 
jangan mare!), kita juga boleh sekali-sekala diberi rezeki yang tidak tahu 
dari mana datangnya -- "min haithu laa yahtasib" -- di samping diberi 
peluang oleh Allah SWT berkenalan dan berbincang secara live dengan 
orang-orang tertentu yang sangat penting dalam gerakan Reformasi, seperti 
sdr KS. (Bila boleh jumpa lagi, sdr KS?) 

Terimakasih jua kepada mereka-mereka ini.  

Mungkin di masa mendatang, elok juga para korporat ternama simpatisan R4MAC 
seperti ini mengambil inisiatif untuk mensponsor para penulis internet 
hingusan seperti kami ini ke hotel-hotel terbilang yang diadakan program 
seumpamanya supaya mesej R4MAC kita dapat diperpanjangkan lagi, insyallah.  

Saya tidaklah berapa berminat sebenarnya untuk mengulas secara detail 
setiap isi dialog tersebut kerana rasanya isu yang didialogkan itu sudah 
tidak asing lagi kepada para pembaca di laman-laman reformasi dan 
akhbar-akhbar kita, kecuali beberapa perkara yang mungkin merupakan isu 
baru dan menarik sahaja.  

Apa yang menarik perhatian saya ialah jumlah kutipan yang boleh diperolehi 
daripada program seperti ini. Kalau seorang peserta membayar sebanyak 
RM100, dan sebuah meja (yang besar juga) ada 10 orang, dan kesemuanya ada 
hampir 90 meja (terpaksa ditambah 10 meja di luar dewan kerana permintaan 
melebihi penawaran!), rasanya sudah sampai RM90,000 yang boleh dikutip 
malam itu sahaja. Kalau pihak penganjur bayar separuh daripadanya sebagai 
kos kepada pihak hotel, maknanya satu malam kita sudah boleh collect 
RM45,000 bersih! 

Bayangkan -- tanpa kecoh traffic-jam (berbanding ceramah umum di luar yang 
paling kuat hanya boleh kutip derma jihad sebanyak RM15,000), tanpa 
kemungkinan berlaku kekecohan, tanpa risiko sesat mencari arah tujuan ke 
tempat ceramah -- jumlah sebanyak itu bisa diperolehi. Bukanlah saya mahu 
mencadangkan supaya Barisan Alternatif menganjurkan ceramah mereka di 
hotel-hotel besar sahaja selepas ini, kerana pastinya tidak semua orang 
yang mampu hadir dan mesejnya pun tidak sampai ke semua tempat secara 
menyeluruh. Tetapi kalau untuk tujuan mencari sumber kewangan yang mantap 
(khususnya sebagai persediaan menghadapi pilihanraya berdepan dengan 
kekuatan kewangan pihak lawan yang amat dahsyat itu), ia satu usaha yang 
memang berbaloi.  

Dan mungkin juga, inilah masanya yang paling sesuai untuk "mencekik" para 
korporat yang agaknya sudah terlebih sumber kewangan mereka itu, di samping 
mensucikan harta mereka yang bertimbun itu melalui derma ikhlas ke jalan 
Allah seperti ini, kan? Saya cadangkan golongan yang sudah terlebih sumber 
kewangan ini supaya menggandakan bayaran mereka, yalah, kalau orang 
kebanyakan boleh bayar RM100, takkanlah orang seperti kamu tak boleh bayar 
RM200? Kata orang, umpama macam taik gigi aje jumlah sebanyak itu, betul 
tak? 

Saya sempat juga ditunjukkan kepada seorang peserta yang merupakan seorang 
pengarah kanan juga dalam sebuah institusi perbankan negara. Khabarnya, 
beliau baru sedang berjinak-jinak dengan Barisan Alternatif ni setelah 
kuciwa dengan UMNO, parti "pejuang agama dan bangsa, serta parti Islam 
terbesar di dunia itu". Alhamdulillah, orang-orang seperti inilah yang 
Islam alu-alukan untuk bersama-sama jemaah yang menentang kezaliman dan 
menegakkan keadilan. Rasanya ramai lagi orang sepertinya dalam dewan 
tersebut pada malam ini. Seperti kata Saydina Ali Karramallahu Wajhah; 
"Orang yang terbaik di kalangan kamu ketika Jahiliyyah, adalah orang 
terbaik juga di kalangan kamu setelah (faham) Islamnya". 

Dato Profesor Emeritus Shahnon Ahmad (yang TG Nik Aziz kata, gelaran 
'Profesor Emeritus' ni adalah gelaran zaman moden, kalau dulu gelaran 
tersebut maknanya 'Tuan Guru'lah tu sesuai dengan ketinggian ilmunya, jadi 
sekarang kita sepatutnya panggil beliau Tuan Guru Shahnon Ahmad lah!) pun 
tampil ke depan berucap selama 20 minit. Di antaranya beliau berkata, 
beliau sebenarnya pada malam ini berasa sedikit gentar kerana tidak biasa 
memberikan ceramah di tempat-tempat 'glamour' seumpama itu (hai, ingatkan 
aku sorang aje macam tu!). Biasanya beliau pergi berceramah di 
bendang-bendang sawah yang sudah kering dan di tengah-tengah ladang kelapa 
sawit sahaja. Ramai juga yang tersenyum kerana terharu dengan pengakuan 
'Tuan Guru' Shahnon. 

Jadi oleh kerana ke'gabra'an Tuan Guru itu, beliau telah pun menyiapkan 
sekeping skrip untuk dibaca agar lebih lancar lagi ucapannya. Isi ucapannya 
pada malam itu memang penuh dengan simbolika dan tinggi pula tahap kesenian 
dan bahasa sasteranya. Antaranya, beliau tidak faham mengapa oligarki 
pemerintah hari ini tidak sedar bahawa sebenarnya mereka itulah golongan 
yang telah dijajah pemikiran serta minda mereka. Golongan tersebut, 
katanya, tidak akan bisa mencapai kemenangan dan mendapat sokongan rakyat 
selagi mereka itu tidak keluar daripada perangkap minda yang dibelenggu 
penjajahan itu. Faham yang memerangkap mereka itu digelar oleh beliau 
sebagai faham Mahathirisme dan suku-sakatisme. 

Setelah itu tiba giliran Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan ucapannya. 
Kata Tuan Guru, beliau malam ini cukup letih kerana sebelah siangnya, sudah 
pun dua majlis yang dihadirinya. Pertama adalah di sebelah paginya, dengan 
majlis bersama Persatuan Bar Council, yang telah dihadiri oleh ratusan para 
peguam, yang Islam dan bukan Islam. Beliau telah diminta untuk menjelaskan 
tentang undang-undang dari sudut prinsip dan konsep Islam.  

Dan keduanya, majlis penerangan bersama para muslimat di sebelah petang. 
Walaubagaimana letih sekalipun, kata Tuan Guru, "kalau kita kuat, kita 
lawan cara orang kuat; kalau kita letih, kita lawan cara orang letih -- 
NAMUN LAWAN TETAP LLLLAWAN!" (sambil diiringi tepukan dan sorakan 
bersemangat para peserta, khususnya yang memakai lambang keADILan di 
dadanya). 

Namun yang paling menarik bagi saya ialah, ketika sesi dialog atau 
soal-jawab dengan Tok Guru. Ada seorang peserta wanita daripada Singapura 
bertanya, "macamana PAS mahu laksanakan Islam dalam masyarakat majmuk hari 
ini", dan beliau juga pernah mendengar orang berkata, "apabila PAS berkuasa 
nanti, semua orang (lelaki) akan disuruh pakai kopiah!" Para hadirin ramai 
tersenyum juga ketika soalan terakhir itu disuarakan. 

Soalan pertama, Tok Guru jawab lebih kurang, Islam ini adalah agama 
antarabangsa, dan datangnya pula daripada Tuhan yang antarabangsa, Tuhan 
untuk kaum Melayu, Tuhan untuk kaum Cina, Tuhan untuk kaum India, Tuhan 
untuk orang putih dan semua kaum di dunia ini. Maknanya, ajaran dan 
suruhanNya juga pastilah sesuai untuk semua kaum di dunia ini, yang juga 
bersifat antarabangsa. Sesuai dengan ayat yang mafhumnya, "Di antara tanda 
kekuasaan Kami ialah Kami jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bahasa, 
untuk kamu berkenal-kenalan dan saling tolong-menolong". Apatah lagi, 
sistem yang sedang kita amalkan hari ini bukan berasal dari bangsa Melayu, 
Cina, maupun India. 

Dan untuk soalan kedua pula, Tok Guru jawab, "dalam Islam, tidak ada 
paksaan dari segi pakaian, melainkan kita kenalah memakai pakaian yang 
menutup aurat, itu saja. Siapa nak pakai kopiah tu silalah pakai, tak pakai 
pun tak apa. Kan itu sunnah saja?" Tok Guru kata lagi, beliau sendiri pun 
tak pernah suruh orang PAS pakai kopiah! (Sambil menerima tepukan gemuruh 
dari peserta. Hai..macam debat di UKM pula!)  

Dan lagi, orang kerap bertanyakan beliau tentang pakaian yang sering 
dipakainya (kebetulan malam ini, Tok Guru mengenakan pakaian serba putih, 
baju Melayu dan serban putih). Kata Tok Guru, "saya pakai serban ni sebagai 
lambang seorang ulamak, dan pakai baju Melayu dan kadang-kala bersamping 
(tanpa keris), adalah sebagai lambang seorang pendekar. Jadi saya suka 
menjadi seorang ulamak dan pendekar!" (diiringi tepukan gemuruh lagi oleh 
para hadirin). 

Kemudian, seorang hadirin bertanya pula, "di mana dalam al-Quran ada 
disebut 'sokonglah PAS dan tolaklah UMNO'"? (He, he..dalam hati aku, memang 
nak kena dia ni). Tok Guru menjawab, al-Quran diturunkan 1400 tahun dahulu, 
sedangkan UMNO baru ditubuhkan pada tahun 1946, mana nak jumpa perkataan 
UMNO dalam al-Quran? (Semua tergelak besar... kan aku dah kata). 

Ada pula peserta lain yang bertanya tentang isu hot hari ini yang cuba 
dimanipulasikan oleh BN, iaitu isu ahli PAS kawasan Besut yang dipecat itu. 
Jawab Tok Guru, untuk berjuang politik, kita kenalah berjuang secara 
jamaah. Dan dalam jamaah ini ada disiplinnya. Orang bawah kenalah ikut 
arahan orang di atas (kepimpinan), tidaklah boleh menentang arahan pihak 
atasan secara sesuka hati dan tanpa adab yang sesuai. Setakat itu sahaja 
jawapannya. (Mungkin itulah sebabnya mengapa mereka itu dipecat).  

Ramai juga yang bertanya ketika sesi tersebut tetapi saya pilih soalan (dan 
peserta) yang unik sahaja di sini. Seorang peserta Muslim (berkopiah) dan 
berkulit cerah (kata pengerusi, Dr Hassan Ali) yang berasal daripada 
England telah mengemukakan soalannya, dalam bahasa Melayu dengan pelat Mat 
Salehnya yang pekat. Katanya beliau dulu (mungkin masih juga sehingga 
sekarang) merupakan seorang anggota sebuah parti/jamaah Islam yang 
berpengaruh di England.  

Beliau ini sedih dan tidak faham mengapa di Malaysia, jamaah-jamaah Islam 
yang wujud suka memfitnah di antara satu sama lain. Bila beliau jumpa orang 
PAS, orang PAS itu akan fitnah orang ABIM. Bila beliau jumpa orang ABIM 
pula, orang ABIM itu akan fitnah orang PAS. Begitulah juga halnya dengan 
jamaah lain seperti JIM dan sebagainya, suka sangat fitnah-memfitnah sesama 
anggota jamaah-jamaah ini. 

Lalu Tok Guru menjawab ringkas, kita dalam PAS tidak ada kuasa untuk 
menghentikan perkara seumpama ini dari kalangan jamaah lain kerana mereka 
itu bukan dari kalangan jamaah kita. Cuma kalau dalam jamaah kita, bolehlah 
kita lakukan sesuatu. Antaranya, ke mana-mana kita pergi, kita beritahulah 
kepada orang lain akan perjuangan yang kita bawa (dalam PAS). Tak perlulah 
kita nak sentuh perkara yang diperjuangkan oleh jamaah-jamaah yang lain 
itu. Masing-masing ada cara dan matlamatnya. 

Pada malam tersebut, sebuah buku "Biografi Tuan Guru Nik Abdul Aziz" telah 
dilancarkan. Ia mengisahkan tentang kehidupan Tuan Guru Nik Aziz secara 
sangat detail, seperti silsilah keluarga beliau sejak dari zaman moyangnya 
Raja yang beragama Hindu di Kelantan ketika dinasti Sriwijaya dan Majapahit 
sehinggalah sekarang ini. Terdapat juga gambar-gambar berwarna yang menarik 
untuk tatapan pembaca. Harganya cuma RM25 dan setebal lebih kurang 200 
mukasurat. 

Sebuah video "Pembangunan di Kelantan" juga telah disiarkan pada skrin 
besar pada malam itu, dan ianya dijual dengan harga RM10 sahaja. Elok untuk 
dibeli dan disebarkan kerana ia boleh menjawab pelbagai tohmahan dan fitnah 
parti BN yang sering memomokkan pembangunan di Kelantan. Dengan 
menontonnya, kita dapat mengenali erti pembangunan material yang seiring 
dengan pembangunan rohaniah yang cuba diperjuangkan oleh PAS, insyallah. 

Sehingga berjumpa di lain kali. 
  

Salam, 

HC 

honciv@yahoo.com