Dr. Harun Din Mangsa Fitnah Media Pengampu

Akhirnya, setelah berhari-hari menyebarkan fitnah dan pembohongan, salah sebuah akhbar pengampu -- Berita Harian  tanpa diminta-minta terus menyiarkan fakta sebenar berhubung isu cadangan PAS untuk membawa keluar
Perlis daripada Malaysia. Berita Harian (13/7/99) di muka 4 menyiarkan analisis pemberita jalanannya Fazli Arman tentang 'cadangan' Dr Harun Din itu. 

Untuk bersikap adil dan telus, saya perturunkan semula tulisan pemberita jalanan itu bagi penilaian para pembaca;
 

"Jumaat lalu seorang pemimpin PAS membuat kejutan apabila melontarkan idea untuk membawa Perlis keluar dari Malaysia sekiranya parti itu memenangi pilihan raya umum kali ini. Pemimpin terbabit, Dr Harun Din, berkata demikian pada majlis sepetang bersama beliau di markas PAS cawangan Batu Dua Lama, dekat Kangar, di hadapan kira-kira 300 hadirin yang masing-masing dikenakan bayaran RM5.00 untuk lelaki dan RM2.00 bagi wanita. 

Beliau membangkitkan perkara itu bagi memberikan penekanan kepada hadirin bahawa jika PAS mentadbir Perlis, Kerajaan Pusat wajib menyalurkan bantuan kewangan kerana negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia. Jika bantuan tidak diterima, katanya, PAS boleh 'memerdekakan' Perlis yang mana langkah itu lebih memudahkan parti terbabit menubuhkan sebuah kerajaan Islam tulen. Mungkin menyedari kenyataannya itu agak sensitif, beliau segera menyambung ayatnya dengan berkata:"Tapi itu tidak boleh juga sebab ada Perlembagaan. Jadi kita berhak mendapat bantuan Pusat." 


Sebagai manusia yang waras dan dikurniakan akal oleh Allah SWT, saya penuh yakin bahawa intipati ucapan Dr Harun Din itu lebih menekankan kepada hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dalam sebuah negara Persekutuan. Menurut beliau, walaupun Perlis diperintah oleh PAS, menjadi kewajipan kepada kerajaan Persekutuan (itupun jika BN masih berkuasa di peringkat Pusat) untuk menyalurkan bantuan kewangan kerana ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan. Jika kerajaan Pusat gagal untuk menunaikan hak-hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan, apalah gunanya Perlis berada dalam Persekutuan. 

Saya amat hairan mengapakah pemberita jalanan itu gagal untuk memahami maksud sebenar ucapan Dr Harun Din. Tidak hairanlah jika Datuk Shahnon turut membidas sikap naif pemberita jalanan yang melaporkan kononnya beliau meminta maaf kepada PM kerana menulis novel SHIT. Pemberita jalanan ini sebenarnya tidak memahami lenggok bahasa sastera, malah bahasa sindiran pun sukar untuk difahami. 

Saya yakin pemberita jalanan itu faham akan maksud sebenar ucapan Dr Harun Din. Bagaimanapun 'sawan gila' yang dihadapi oleh pemberita, pengarang dan surat khabar arus perdana apabila menjelang pilihan raya menjadi penyebab utama mengapa ucapan Dr Harun Din itu diputarbelitkan. Apa yang lebih menyedihkan, penjelasan Dr Harun Din tidak diminta, tetapi kecaman dan bidasan daripada pemimpin dan penyokong kerajaan disiarkan saban hari. 

Pastinya pemimpin dan penyokong BN -- termasuk PM -- turut terkena 'sawan gila' kerana ketandusan isu apabila
berhadapan dengan parti-parti alternatif. Niat jahat penulis jalanan itu terserlah dengan tulisan beliau seterusnya; 
 

"Sama ada kenyataan daripada bekas pensyarah itu bernada serius atau berseloroh, ia menunjukkan tujuan mengeluarkan Perlis dari Malaysia berlegar dalam pemikiran Harun yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar jika PAS menawan Perlis."


Tulisan penulis jalanan itu sendiri mengakui bahawa Dr Harun Din cuma berseloroh. Adakah hanya kerana Dr Harun
disebut-sebut sebagai bakal MB Perlis, ia dianggap sesuatu yang serius. Betullah seperti kata pepatah Melayu, bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut.

Kalau ucapan sedemikian boleh dianggap serius mengapakah para pemberita jalanan akhbar arus perdana tidak melaporkan secara besar-besaran ucapan Dr. Mahatahir di London bahawa beliau tidak akan berundur selagi tidak ditembak mati. Bagaimana pula dengan ucapan Mahathir yang mengugut akan berlaku huru-hara jika BN kalah dalam pilihan raya. Paling sadis ucapan bekas Menteri Besar Kedah, Osman Arop yang menyifatkan golongan yang menentang projek pembangunan kerajaan (ekoran isu perampasan tanah rakyat di Kerpan oleh kerajaan BN) sebagai manusia yang perlu ditembak dan dibunuh. 

Saya ingin menasihati pihak polis agar tidak membuang masa untuk menyiasat laporan media pengampu yang diputarbelitkan ini. Tulisan penulis jalanan ini sudah cukup untuk membuktikan betapa jahat dan tidak bertanggung jawabnya akhbar dan media massa pro-BN apabila melaporkan berita-berita parti pembangkang. Saya ingin menyeru parti-parti alternatif supaya melancarkan kempen memboikot akhbar dan media pengampu BN sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya akan datang.

Kita perlu mengingatkan rakyat supaya tidak mudah diperlekehkan oleh media massa pro-BN yang bukan sahaja
merendahkan mentaliti pembaca tetapi masih menganggap rakyat Malaysia sebagai binatang ternak yang dicucuk hidung. 

Para pemberita jalanan inilah sebenarnya binatang yang dicucuk hidung. Mereka bukan sahaja sanggup menggadai maruah dan harga diri, tetapi sanggup untuk menggadaikan kehidupan di akhirat untuk sedikit kesenangan di dunia. 

Pengunjung Laman PAS