Barisan Alternatif Juga Boleh Mentadbir

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM

Minda Pengarang Berita Harian Isnin 19 Julai 1999 menyebutkan tiga sebab mengapa pengundi-pengundi Cina jangan memilih Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS,DAP, PRM dan KeADILan dalam PilihanrayaUmum akan
datang.

Pertama, kerana Barisan Alternatif tidak ada pengalaman menguruskan pentadbiran kerajaan.

Kedua, keadaan ekonomi akan menjadi huru-hara semula.

Ketiga, Barisan Alternatif akan memberhentikan pembangunan.

Dalam ruang terbatas ini, saya akan menjawab isu pertama yang dibangkitkan itu.

Hakikat bahawa Barisan Alternatif tidak ada pengalaman menguruskan pentadbiran kerajaan adalah benar, khususnya kerajaan Pusat. Sejak Malaysia merdeka, selama 42 tahun ia diperintah oleh Barisan Nasional. Tetapi itu tidak bermakna Barisan Alternatif tidak wajar diberi peluang untuk memerintah.

Apa itu kerajaan?

Kerajaan bukan setakat kabinet atau menteri-menteri saja. Dari segi Undang-Undang Perlembagaan, sebuah kerajaan Malaysia itu terdiri daripada tiga cabang atau organ. Pertama, cabang Perundangan iaitu Parlimen yang fungsinya menggubal akta-akta atau undang-undang. Fungsi Pilihanraya Umum akan datang ini adalah untuk memilih 192 Ahli Parlimen. Kerja mereka ialah menggubal undang-undang.

Cabang kerajaan yang kedua ialah Eksekutif. Di cabang inilah terletaknya Jemaah Menteri atau Kabinet. Di dalam Kabinet inilah terdapat seorang Perdana Menteri. Perdana Menteri dipilih oleh Parlimen dengan perkenan Yang Dipertuan Agung. Perdana Menteri memimpin Kabinet. Kabinet ini fungsinya ialah menjalankan pentadbiran negara menurut undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan juga Perlembagaan negara. Kabinet yang terdiri daripada menteri-menteri itulah yang kelihatannya mentadbir negara. Mereka ini adalah pemimpin politik sahaja. Kerja pentadbiran negara sebenarnya dijalankan oleh Perkhidmatan Awam yang terdiri lebih 800,000 orang kakitangan kerajaan. Mereka inilah sebenarnya menjadi tunggak pentadbiran negara. Sifat pentadbiran awam ialah berkecuali. Ia perlu patuh menjalankan dasar parti politik yang memerintah.

Keselamatan negara pula dijaga oleh Polis Diraja Malaysia yang terletak dibawah jagaan Menteri Dalam Negeri. Pertahanan negara pula terletak di bawah Menteri Pertahanan.

Jika Barisan Nasional (BN) ditakdirkan kalah dalam Pilihanraya Umum akan datang, lebih 800,000 kakitangan kerajaan termasuk anggota polis, tentera dan guru-guru sekolah akan terus bekerja seperti biasa.  Mereka kakitangan awam. Seperti dinyatakan awal tadi, mereka berkecuali. Jawatan mereka terjamin, sebab mereka bukan lantikan politik. Ini bermakna pejabat kerajaan akan beroperasi seperti biasa. Balai-balai Polis akan berfungsi seperti selalu. Sekolah-sekolah berjalan seperti hari-hari lazimnya. Yang bertukar ialah menteri-menteri yang menjadi ketua politik bagi setiap kementerian. Misalnya, akan ada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan yang baru dan sebagainya.

Apakah Barisan Alternatif, jika ditakdirkan menang boleh memerintah sesuka hati? Tidak boleh. Kerajaan Barisan Alternatif yang baru naik itu mesti memerintah mengikut undang-undang yang sedia ada. Jika tidak, itu bermakna ia telah meyalahi undang-undang. Segala tindakan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Alternatif itu boleh dicabar oleh rakyat di mahkamah.

Mahkamah adalah satu lagi cabang dalam kerajaan. Fungsi mahkamah ialah untuk menjadi tempat penyelesaian undang-undang segala pertikaian dan perselisihan sama ada antara rakyat dengan kerajaan atau antara rakyat dengan rakyat. Ini bermakna sesebuah parti politik yang  membentuk kerajaan itu tidak boleh berbuat sesuka hati.

Jika Barisan Alternatif itu tidak setuju dengan beberapa undang-undang yang sedia ada, misalnya undang-undang itu menindas rakyat atau merugikan rakyat, undang-undang itu boleh dipinda atau dimansuhkan. Proses untuk meminda atau memansuhkan itupun mengambil masa. Bukan boleh dibuat secara sekelip mata. Jika Peruntukan dalam Perlembagaan Negara hendak dipinda, tatacaranya akan lebih rumit lagi kerana memerlukan undi melebihi 2/3 menyokongnya di Parlimen.

Jika undang-undang yang hendak digubal itu kontroversi kerana ada pro dan kon, yang bersetuju dan yang menentang di kalangan rakyat, Barisan Alternatif perlu menjelaskan dengan baik kepada rakyat. BN pula yang jadi pembangkang di Parlimen boleh menyuarakan bantahannya dan mengundi menentang rang undang-undang itu jika dibentangkan di Parlimen. Malah, rang undang-undang yang kontroversi akan mengundang perpecahan di kalangan Barisan Alternatif itu sendiri. Tentulah hal seperti itu parti-parti Alternatif perlu elakkan. Ertinya, jika proses demokrasi berjalan baik, sebuah kerajaan yang telus dan demokratik boleh dibina.

Jika kerajaan 2x5 macam BN juga yang memerintah, penuntut-penuntut universiti mesti bersuara dan membantah. Adakan demonstrasi aman. Tunjukkan sikap hipokrit Barisan Alternatif. Pejuang-pejuang reformasi mesti turun ke jalan-jalanraya semula. Badan-badan NGO terus kempen mereka menuntut kerajaan yang telus dan demokratik. Memorendum, usul dan tunjuk-tunjuk perasaan aman boleh dilakukan supaya kerajaan yang baru naik itu berhati-hati dengan tindakannya. Jangan undi lagi parti-parti hipokrit ini pada pilihanraya umum berikutnya. Itu kalau senario yang buruk yang berlaku. Sebaliknya, kita percaya tidak mungkin parti-parti alternatif itu akan bertindak sewenang-wenang apabila telah berkuasa. Bagaimanapun, rakyat mesti terus waspada, kerana ada orang berkata, “power is corrupt; absolute power, corrupt absolutely”.

Kembali kepada soal pengalaman mentadbir kerajaan, bukanlah satu masalah besar. Perubahan yang akan berlaku sekiranya rakyat memberi mandat kepada Barisan Alernatif ialah dari segi dasar. Dasar Barisan Alternatif yang mementingkan rakyat akan menggantikan dasar BN yang mementingkan kroni dan korporat suku-sakat. Dasar Barisan Alternatif yang bersih dan jujur akan menggantikan dasar BN yang boros, rasuah dan memilih bulu.
Dasar Barisan Alternatif yang memberi ruang kebebasan demokrasi yang luas kepada rakyat akan menggantikan dasar BN yang menekan rakyat. Dasar Barisan Alternatif yang mengutamakan kebajikan sosial bagi rakyat dalam
bidang pendidikan dan kesihatan akan menggantikan dasar penswastaan BN yang mengejar keuntungan dalam bidang persekolahan dan hospital. Begitulah antara lain.

Dasar-dasar yang popular seperti ini tentulah mudah diterima oleh rakyat dan mudah dilaksanakan oleh kakitangan awam yang tentunya menyokong dasar-dasar seumpama itu. Jadi apa masalah yang akan timbul?

Lebih 800,000 kakitangan kerajaan akan sokong dasar-dasar baru yang baik dan pro-rakyat. Polis dan Tentera juga akan sokong, dasar-dasar yang memihak kepada rakyat. Dasar-dasar Barisan Alternatif yang popular itu
tentu sekali tidak akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Tentu saja tidak timbul kegelisahan yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Jika rakyat dan seluruh jentera kerajaan dalam Pentadbiran Awam, termasuk Polis dan Tentera menyokong kerajaan baru Barisan Alternatif, tidak akan banyak masalah akan timbul. Sebab dua cabang kerajaan yang lain akan terus mengawasi cabang Eksekutif ini menjalankan fungsinya. Parlimenn dan Mahkamah yang bebas akan menjalankan peranan “check and balance.” Juga jangan dilupakan akan peranan Media Massa yang bebas, yang akan menjadi satu lagi badan di luar kerajaan yang boleh membantu mengawal supaya kerajaan baru Barisan Alternatif itu tidak menyeleweng, rasuah dan pecah amanah.

Kalau Barisan Alternatif ingin diberi mandat lagi pada pilihanraya berikutnya, ia perlulah mengkotakan segala kata dalam manifesto pilihanrayanya. Kalau tidak hanya sekali itulah saja peluang yang diberi oleh rakyat.

Jadi, rakyat dan para pengundi usah takut dan bimbang untuk membuat perubahan kali ini. BN ternyata telah membuat banyak kesalahan besar dalam soal politik, ekonomi dan sosial, terutama dalam lima tahun terakhir ini. Ketika semua negara di Asia Tenggara dan Asia Timur ini bersedia menghadapi alaf baru tahun 2000 dengan kepimpinan negara yang segar, dan bersih dari segala rekod buruk rasuah, nepotisme, kronisme dan penyalahgunaan kuasa serta pencabulan hak asasi manusia, maka masanya tepat sekali untuk rakyat Malaysia menolak BN kali ini dan memberi mandat pula kepada pakatan baru parti-parti alternatif di dalam Barisan Alternatif untuk mentadbir Malaysia buat lima tahun mendatang ini.