Peneroka Felda Perlukan Pembelaan

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM

Dalam beberapa hari ini saya telah membuat beberapa kunjungan ke beberapa buah tanah rancangan Felda di Johor. Ada dua tanaman utama di tanah rancangan Felda iaitu kelapa sawit dan getah. Masalah yang dihadapi di kawasan Felda di Johor, saya rasa tak jauh beza dengan tanah rancangan Felda di negeri-negeri lain di seluruh negara.

Masalah utama peneroka Felda sekarang ialah harga getah dan kelapa sawit rendah. Ramai orang mengetahui tentang kesusahan pekebun kecil getah dan juga peneroka Felda yang menanam getah. Kesusahan hidup mereka akibat harga getah yang amat rendah, sehingga dua kilo getah tidak mampu untuk membeli sekilo gula pasir.

Ramai orang memikirkan bahawa peneroka Felda yang menanam sawit berada dalam keadaan mewah kerana harga sawit yang tinggi. Nasib mereka dikatakan jauh lebih baik berbanding peneroka yang menanam getah. Satu ketika dulu mungkin benar.

Tetapi tidak begitu halnya sekarang. Memang benar bahawa pada suku akhir tahun 1998 misalnya, pada bulan September, harga satu tan kelapa sawit ialah RM 400. Tetapi harga itu sekarang sudah turun lebih 50 % . Pihak Felda di Johor membeli satu tan kelapa sawit dengan harga RM 150 saja. Kerana harga yang terlalu rendah itu, ramai peneroka yang cuba menjual kepada pihak di luar Felda yang sanggup membeli dengan harga RM 200 setan.

Pihak Felda telah melarang para peneroka menjual kelapa sawit kepada pihak luar. Tetapi para peneroka berhujah, itu satu cengkaman Felda ke atas mereka. Mereka berhujah bahawa mereka mengerjakan tanah mereka. Mereka telah membayar habis hutang dengan Felda. Tanah itu tanah mereka. Mereka ada geran tanah. Mengapa mereka tidak boleh menjual ke luar sedangkan harga yang dibayar oleh pihak Pengurusan Felda terlalu rendah? Mengapa perbezaan harga antara Felda dengan pihak luar sehingga RM 50 setan? “Tidakkah itu menindas?” tanya kebanyakan peneroka.

Berhadapan dengan tentangan pihak peneroka, maka pihak Pengurusan Felda menggunakan hujah undang-undang. Felda mendakwa bahawa para peneroka tidak ada lesen untuk menjual kelapa sawit mereka sesuka hati kepada pihak luar. Peneroka hanya boleh menjual kelapa sawit mereka kepada
pihak Felda saja. Barulah pihak peneroka sedar bahawa mereka selama ini adalah segolongan petani yang tidak bebas. Pihak Pengurusan Felda amat berkuasa di tanah rancangan itu biarpun para peneroka telah bebas dari cengkaman hutang kepada Felda kerana menyertai tanah rancangan itu.

“Lesen macam mana?” tanya para peneroka Felda kepada pihak pengurusan. Lalu diberitahu, bahawa untuk menjual kelapa sawit kepada pihak di luar Felda, para peneroka mestilah mendapatkan lesen terlebih dahulu daripada PORLA, iaitu agensi perlesenan Pihak Berkuasa Kelapa Sawit. Menurut para
peneroka, pihak Felda telah berpakat dengan PORLA supaya tidak mengeluarkan lesen tersebut kepada mereka. “Ada konspirasi juga di Felda ini,…” seorang peneroka memberitahu penulis secara berseloroh.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang dihadapi oleh para peneroka Felda di tanah rancangan itu. Di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak adalah negeri-negeri yang banyak tanah rancangan Felda. Lazimnya, UMNO dan BN telah bertapak kuat di tanah rancangan Felda. Tetapi apabila para peneroka telah membayar langsai hutang mereka kepada pihak Felda, dan mereka ada geran tanah, walaupun secara berkelompok, para peneroka lebih yakin sekarang akan hak mereka untuk bersuara jika berlaku penyelewengan dan ketidakadilan dalam tanah rancangan itu.

Mereka tidak lagi begitu takut akan kepimpinan UMNO dan BN yang bersekongkol dengan pihak Pengurusan Felda untuk menekan dan mengancam mereka. Banyak isu dan kegelisahan di tanah rancangan Felda. Para peneroka itu juga mahukan perubahan. Mereka mahukan keadilan. Salah satu rasa tidak puas hati mereka ialah tentang Dokumen Perjanjian peneroka dengan Felda yang berat sebelah. Ia berat menguntungkan pihak Felda. Semua Fasal dalam perjanjian itu mengikat dan mencengkam peneroka. Misalnya dalam soal pengurusan tanaman semula.

Fitrah manusia ialah untuk mendapatkan kebebasan dan keadilan. Inilah yang dituntut oleh peneroka Felda di seluruh negara. Jadi, parti-parti Barisan Alternatif hendaklah secara jujur dan bersungguh-sungguh memberi perhatian kepada nasib para peneroka Felda. Perjuangkan hak dan kepentingan peneroka Felda. Masukkan tuntutan mereka ke dalam Manifesto Pilihanraya Barisan Alternatif.

Sokongan peneroka Felda adalah satu barometer politik di Malaysia. Jika peneroka Felda pun sudah boleh menerima Barisan Alternatif, itu bermakna tidak ada tempat lagi untuk UMNO dan BN terus berkuasa.

Tetapi banyak kerja perlu dilakukan. Slogan saja tidak mencukupi.