Anwar Ibrahim-Pesanan Buat Rakyat Malaysia

Sekali lagi kita berdepan dengan persoalan getir, Rakyat Malaysia dituntut membuat penentuan. Dan penentuan tersebut membawa pertanggungjawaban yang begitu berat. Betapa tidak kerana keputusan kita akan menentukan masa depan umat dan negara.

Kita bertanggungjawab bagi menentukan masa depan anak-anak kita. Apakah kita mahu anak-anak kita hidup dalam ketakutan? Hidup tanpa kebebasan dan mulut dijahit oleh undang-undang yang menafikan hak  mereka bersuara. Hak mereka untuk bergerak memperjuangkan keadilan disekat.

Apakah kita mahu anak-anak kita berjiwa besar dan merdeka atau manusia yang berjiwa kerdil dan pemikiran mereka terpasung; manusia yang merelakan penindasan dan kezaliman atau manusia yang memiliki keberanian untuk bangun menegakkan keadilan.

Apakah kita mahu anak-anak kita memikul beban akibat kecuaian kita, beban hutang negara, beban kos  hidup yang meningkat. Sementara itu, muncul pula kelas manusia maha istimewa yang jumlahnya begitu  kecil tetapi membolot segala-galanya dan meninggalkan hampas kepada yang lain.

Berdasarkan keyakinan agama, hidup tidak bererti seandainya dipertahan sistem perhambaan oleh manusia ke atas manusia. Matlamat menjadi insan soleh hanya mungkin dicapai melalui kebebasan dan bukan penindasan. Inilah yang diungkap oleh Jaafar bin Abu Talib di hadapan Maharaja Najashi.

Ini adalah pertimbangan moral. Bagaimana sikap kita dalam menangani persoalan getir ini akan diingat zaman berzaman.

                                          II

Kita sedar bahawa Barisan Nasional (BN) telah lama memegang tampuk pemerintahan; menjamin kestabilan dan meransang pertumbuhan ekonomi. BN memerintah dan berkuasa semata-mata dari amanah dan sokongan rakyat.

Begitu lama BN memerintah sehingga pimpinannya bersikap angkuh dan bertindak rakus. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad khususnya merasakan dirinya kebal dari sebarang tindakan rakyat dan bebas dari pertanggungjawaban. Perlembagaan dipinda sehingga kuasa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dikurangkan. Rakyat menyokong pindaan tersebut kerana janji Perdana Menteri pada ketika itu ialah kuasa terletak pada prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Ini bermakna kuasa rakyat dimartabatkan.

Malangnya apa yang berlaku adalah disebaliknya. Kuasa mutlak diletakkan pada seorang Perdana Menteri yang pantang ditegur dan dilarang. Akibatnya pemerintahan negara berlangsung untuk memenuhi nafsu dan mengikut kerenah seorang individu. Pembangunan dirangka dan dilaksana mengikut agenda peribadi dan keluarga. Maka dilaksanakan pembangunan seperti rancangan mega, megah dan raksasa yang menaikkan selera dan ego peribadi. Kita diigau dengan bangunan tertinggi di dunia, jambatan terpanjang, empangan terbesar, kotaraya terindah. Belanja melibatkan puluhan bilion ringgit bagi memenuhi selera peribadi.

Khazanah negara dihirup dan dana dari institusi kewangan diserap untuk tujuan melaksanakan projek-projek raksasa tersebut. Dalam masa yang sama, tahap pendidikan dan kesihatan awam perlu diberikan perhatian. Bahkan masih ada kawasan desa yang masih terbiar, pedalaman dan kawasan miskin di kota yang terbengkalai dan dipinggirkan. Sehinggakan bekalan letrik, air dan jalan kampung tidak dapat diuruskan segera. Perdana Menteri dan pemimpin asyik dengan kilauan projek yang memukau, mahu meninggalkan mercu tanda supaya kekal dipuja-puja. Malangnya, permasalahan rakyat biasa terbiar dan tidak dihiraukan.

Keadaan lebih disulitkan lagi kerana projek-projek penswastaan dan kemegahan diagihkan kepada syarikat anak dan keluarga, laksana cara faraid. Inilah yang dikatakan nepotisme. Ataupun ianya diagihkan kepada beberapa syarikat besar terpilih yang mempunyai hubungan rapat dan istimewa dengan pimpinan beliau. Saya yakin berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang saya perolehi, syarikat-syarikat tersebut ada hubungan langsung dengan pemimpin, anak-anak dan keluarga mereka.

Jadi kronisme berkait rapat dengan nepotisme. Masing-masing telah dijamin habuan, tanah, saham, lesen, kontrak, peluang penswastaan. Ini termasuk akaun khas luar negara, nominee yang dirahsiakan namanya. Jadi, mereka sama-sama mengenyangkan tembolok masing-masing dan mereka saling memahami dan mendiamkan diri tentang persoalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kemewahan mereka menonjol, tidak dapat disorok lagi. Tidak cukup dengan mahligai rasmi Putrajaya yang dibina dengan harga mahal. Pengubahsuaian kediaman dan pejabat rasmi memakan belanja berjuta-juta. Kediaman peribadi pemimpin-pemimpin tersergam indah. Berlian gemerlapan bertatah manikam menghiasi isteri-isteri, kenderaan canggih paling mahal dimiliki. Ini tidak lagi terhad kepada pemimpin negara, bahkan juga negeri dan sebahagian wakil-wakil rakyat juga! Dengan habuan demikian, takhta dan harta, sukar diharapkan perubahan dilakukan dari kalangan tersebut.

                                         III

 Kita terus-menerus menyaksikan keruntuhan moral dan keserakahan akal. Peringatan-peringatan tentang rasuah dan penyelewengan kepada pemimpin menjadi seolah-olah menuang air ke daun keladi. Tidak diendahkan sama sekali. Mereka juga berbicara mengenai perjuangan dan pembelaan nasib rakyat. Tetapi ini semua sebagai permainan di bibir, semata-mata untuk terus mendapat kepercayaan rakyat dan terus berkuasa.

Apa upaya pemimpin untuk membanteras rasuah sekiranya beliau sendiri meluluskan RM1.8 bilion untuk syarikat anaknya? Bagaimana beliau boleh menghapuskan rasuah apabila beliau menolak ketepi bukti perlakuan rasuah seorang menteri kanan, padahal bukti tersebut disokong dengan dokumen di mana menteri tersebut menerima hadiah, wang dan saham. Di manakah kesungguhan bertindak manakala pendakwaan rasuah seorang lagi menteri kanan yang melibatkan ratusan juta ringgit yang cukup bukti dibekukan?

Bagaimana diharapkan pemerintahan BN boleh menghapuskan rasuah apabila pemimpin-pemimpin memiliki harta puluhan juta bahkan ratusan juta dibiarkan. Tanah kerajaan, saham kerajaan dibahagi-bahagikan sesama mereka secara sewenang- wenangnya. Sungguh mengaibkan! Ia bukan terhad pada rasuah atau diberikan keistimewaan dalam syarikat-syarikat perjudian sebagai hadiah dan habuan perjudian. Kes rogol dan yang berkaitan dengan kes pembunuhan ditutup begitu sahaja jika melibatkan orang-orang kepercayaan sang pemimpin.

Pada pengalaman saya amat sukar sekali untuk memujuk Perdana Menteri untuk membatalkan atau sekurang-kurangnya melengahkan pelaksanaan projek raksasa. Kenapa tidak, ia melibatkan terlalu banyak kepentingan. Saya tidak banyak mendapat sokongan bila menegaskan betapa perlu dibatalkan projek Bakun, Linear City, Putrajaya Phasa berikut, dan lain-lain walaupun kebanyakan ahli kabinet bersetuju secara peribadi dengan saya. Tetapi bila berdepan dengan Dr. Mahathir, mereka akan tunduk setuju sahaja.

                                          IV

Keangkuhan dan kebiadaban sang pemimpin makin melampau sehingga melibatkan isu agama. Hudud dan aurat dipertikaikan. Ulama dipersenda. Saya sendiri telah berbicara secara sopan menasihati Dr Mahathir. Saya katakan, boleh membahaskan tahap dan kaedah perlaksanaan hudud bagi umat Islam dengan mengambil kira kedudukan masyarakat pelbagai agama. Namun, kita tidak boleh mempertikaikan hudud yang merupakan sebahagian daripada syariat.

Begitu juga soal aurat. Saya pernah menyentuhnya dalam ucapan penggulungan perhimpunan UMNO 1996. Saya singgung secara berseloroh: mengapa dipertikaikan hak orang berjanggut, manakala beliau dahulunya berbangga dengan "side burn"nya dan secara sindiran saya katakan Azizah tetap manis dalam tudungnya. Perwakilan UMNO pada tahun tersebut resah sekali mendengar ucapan Dr Mahathir tetapi mengenali sikap Presiden, tidak ada yang berani menegur. Saya segera memanggil tiga ustaz ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta mereka menyampaikan nasihat kepada Presiden. Mereka sekadar sengeh sahaja kerana tiada yang berani. Tugas mereka tidak lebih daripada mendoakan dan memuji Presiden sebagai khalifah besar umat.

Kefahaman Dr Mahathir tentang Islam amat dangkal. Beliau sama sekali tidak menguasai bahasa Arab. Tanggapan beliau terhadap Islam hanya berpandukan kefahaman beliau terhadap terjemahan Inggeris beberapa ayat al-Quran. Namun beliau mempunyai keangkuhan untuk mengeluarkan fatwanya sendiri. Beliau berani mempertikai pandangan ulama. Bahkan beliau seringkali menyerang ulama. Ini amat ketara dalam serangan beliau terhadap Ustaz Harun Din dan arahan beliau supaya mufti Selangor Datuk Ishak Baharom diberhentikan.

                                          V

Dr Mahathir telah menjadikan seluruh jentera parti dan kerajaan sebagai perkakas peribadi. Seperti lazim sifat seorang diktator beliau mahukan sokongan bulat dan tanpa soal dari semua anggota Majlis Tertinggi UMNO. Bagi menjamin ketaatan bulat anggota Majlis Tertinggi beliau menafikan hak pimpinan UMNO lain untuk mencabar ahli MT di peringkat bahagian. Langkah ini beliau ambil agar semua ahli-ahli MT, khususnya yang lemah, kurang menyerlah dan tidak popular di kalangan pemimpin dan ahli akar umbi akan terhutang budi kepada Presiden. Mereka ini akan berpaut dan bergantung semata-mata dengan dukungan Presiden, dan bukan dengan sokongan ahli dan rakyat. Tokoh-tokoh muda yang popular dan berpotensi dicurigai.

Saya sungguh bimbang dengan sikap mencurigai golongan muda kerana kesinambungan parti bergantung kepada generasi muda, khususnya generasi muda yang memiliki idealisme, berani dan berpegang kepada prinsip perjuangan. Kekuatan pengalaman generasi tua harus digabungkan dengan kesegaran idealisme generasi muda. Jika generasi yang idealis ditolak ke tepi, ini bermakna sesuatu organisasi dan parti telah mengerat dirinya dari masa depan. Disebaliknya beliau lebih selesa dengan setengah pemimpin rasuah, lembab, punyai rekod buruk, tidak disenangi rakyat, asalkan mereka menjadi pengampu.

Dr Mahathir allergic, alah atau menyampah dengan teguran dan kritikan. Beliau rimas dengan orang-orang yang memiliki pendirian dan pemikiran sendiri. Justeru itu beliau tidak menyenangi para sarjana, kecuali yang sanggup memuji beliau. Dalam Perhimpunan Agung UMNO, perwakilan diarah memuja beliau sebagai pemimpin terulung di dunia, jurucakap negara membangun, Pemimpin Islam terkemuka, pencetus idea paling bernas dalam sejarah dan sebagainya. Kalau ada yang cuba memberikan kritikan meskipun dengan cara yang amat sederhana dan bersopan dia akan ditempelak dan dibelasah dengan keras. Begitu juga dengan pembesar kerajaan, pegawai-pegawai kanan yang rapat dengannya dipertahankan terus, diberikan kepercayaan atau dinaikkan pangkat walaupun ada rekod rasuah atau lembab, sementara yang tegas mementingkan ketelusan akan dipinggirkan.

 

                                          VI

Meskipun pelbagai andaian dibuat mengenai kemungkinan saya mencabar kepimpinan Dr Mahathir, saya tidak melayaninya sama sekali. Pertama, kerana saya memikirkan kepentingan kestabilan UMNO dan negara adalah lebih utama. Kedua, dalam usianya yang tua, beliau tidak mungkin mahu kekal selamanya sebagai Perdana Menteri. Ketiga, walaupun terdapat perbezaan pendapat, penekanan dan gaya kepimpinan, hubungan peribadi kami masih baik. Dan akhirnya saya berpendapat ada kebijaksanaannya terus bersabar; menelan sahaja kerenah dan egonya yang tak terupaya dirubah. Insya' Allah, bila sampai ketikanya nanti, soal rasuah, projek mega, rendah akhlak, tekanan keterlaluan terhadap pembangkang, lembaga swadaya masyarakat (LSM atau NGO), kaum intelektual boleh ditangani secara berkesan dengan mengembeleng dukungan semua pihak.

Namun saya dapati kedegilannya mulai membebankan negara. Dasar ekonominya hanya menguntungkan kelompok kecil. Sikap dan kenyataannya sering menimbulkan ketegangan hubungan dengan hampir semua negara jiran. Yang beliau puji hanya Jepun dan Cuba. Yang lain beliau anggap leceh dan lemah belaka. Semua negara membangun dan negara asing perlu belajar atau berguru dengannya.

Sayalah di antara orang yang paling penyabar kerana terpaksa mendengar celotehnya hampir setiap hari sekitar 8.15 pagi. Semua orang dipertikaikan, ulama dikatakannya tidak tahu agama; pakar ekonomi dicemuh sebagai lebih banyak berteori, pemimpin-pemimpin negara jiran dilecehkan kononnya tidak tahu menguruskan negara mereka. Hampir tidak kedengaran dari mulutnya, negara, tokoh, mahupun sarjana yang dihormati atau dikagumi, melainkan yang banyak memuji atau memujanya. Beliau mengkritik saya kerana terlalu liberal dan diplomatist; lembut dengan pembangkang, NGO dan sarjana, terlalu terikat dengan pandangan agama.

Ini semua tidak mencukupi kerana ada komplot yang bekerja bermati-matian dan bersengkang mata untuk menjatuhkan saya. Setiausaha Politik Perdana Menteri Aziz Shamsuddin, dari awal tidak menyenangi saya dan lebih berusaha untuk menaikkan Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Tun Daim Zainuddin bermati-matian berusaha menjaga kepentingan empayar ekonominya dan tidak yakin saya akan pertahan kepentingannya. Megat Junid mahu diutamakan sebagai orang perantaraan kerana hubungan paling akrab dengan Dr Mahathir. Seterusnya mereka disokong oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik yang berdendam dengan saya kerana ketegasan saya dalam tuduhan kes rogol dan rasuah yang dihadapinya. Ia melibatkan Datin Paduka Rafidah Aziz kerana mengetahui kertas pertuduhan Jabatan Peguam Negara masih di tangan saya; dan Sanusi Junid kerana menyalahkan saya setelah tewas dalam pemilihan UMNO Bahagian Langkawi. Bahkan beliau sanggup menuduh saya "insan munafik". Saya tidak bersedia mengulas kerana saya sedar beliau adalah pengkagum Goebbels, Menteri Penerangan Hitler, seorang pemfitnah besar dalam sejarah.

Memang benar, setelah Dr Mahathir yakin dengan pandangan komplot tersebut, maka bermulalah konspirasi menjatuhkan saya. Keyakinan beliau tentang komplot disahkan oleh beliau dalam ucapan sebelum Persidangan UMNO 1999. Walaupun beliau cuba menafikan berulangkali sebelum ini penyingkiran, fitnah dan kezaliman terhadap saya adalah kerana muslihat politik. Beliau mudah menerima komplot untuk menjatuhkannya sebagai alasan sebenar menghalang saya dari mengambil alih tampuk pemerintahan. Dengan pandangan saya terhadap rasuah, kronisme, nepotisme, beliau percaya kepentingan beliau sekeluarga dan kroni mungkin tidak dapat dijamin.

                                              VII

Perdana Menteri dirundung kerunsingan akibat pengaruh politik saya yang lebih teguh. Beliau khuatir dengan ketegasan saya tatkala memangku jawatan Perdana Menteri terutama dengan membentangkan Akta Rasuah dan kelantangan membicarakan soal demokrasi dan masyarakat madani yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat. Saya melakukan ini semata-mata untuk kebaikan negara dan rakyat, untuk menggilap citra dan imej Malaysia di mata dunia. Meskipun Malaysia dihormati dunia dengan kepesatan kemajuan ekonomi, namun citra Malaysia merosot dengan sistem politik yang semakin bersifat otoritarian, merebaknya rasuah dan terhakisnya hak asas manusia serta keyakinan terhadap sistem kehakiman. Malangnya mereka yang terlibat dalam konspirasi yang berusaha untuk menjatuhkan saya menunjukan ini sebagai bukti bahawa saya tidak lagi boleh dipercayai untuk menjaga kepentingan Perdana Menteri. Saya dikatakan cuba meletak dasar baru yang menyimpang dari dasar Dr Mahathir. Dan Akta Rasuah yang baru, disebut sebagai jerat yang saya pasang untuk mengenakan Perdana Menteri dan penyokong-penyokongnya selepas mereka meletak jawatan. Bagi saya, persoalan ini tidak timbul sama sekali, kerana yang takut kepada akta itu hanyalah perasuah, yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri. Syahdan, hubungan saya dengan Perdana Menteri menjadi tegang.

Ketegangan ini dipersulitkan dengan kegawatan ekonomi yang melibatkan kepentingan anak-anak Perdana Menteri dan kroni beliau. Saya membuat kenyataan terbuka bahawa keutamaan kita dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah untuk memastikan sistem ekonomi terus mantap kerana kepentingan rakyat terbanyak terletak pada keutuhan sistem ekonomi keseluruhannya dan keyakinan masyarakat pelabur kepada pengurusan ekonomi. Keyakinan pelabur pula terletak pada ketelusan sistem, sistem yang tidak memihak kepada golongan tertentu dan sistem yang bebas daripada tekanan politik.

Justeru itu saya menentang sebarang usaha untuk menggunakan dana negara untuk menyelamatkan kepentingan syarikat-syarikat besar yang tidak cekap yang dimiliki oleh sesiapa saja. Sikap saya ini tidak menyenangkan Dr Mahathir dan juga segelintir peniaga besar yang selama ini mendapat layanan istimewa dan juga mendapat perlindungan dari persaingan kerana hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan Daim. Ketegasan saya tidak menyenangkan anak-anaknya, khususnya Mirzan yang syarikatnya Konsortium Perkapalan menghadapi tekanan dan mahu diselamatkan. Setelah Dr. Mahathir mengarahkan Pertonas supaya menyelamatkan Konsortium Perkapalan, saya masih bertegas supaya dilantik jurunilai antarabangsa yang bebas. Saya bertegas meminta Projek Bakun, Linear City, Putrajaya Phasa berikut dibatal atau ditangguhkan. Semua projek-projek ini melibatkan kepentingan rakan-rakan dan keluarganya. Saya meminta Badan Pencegah Rasuah meneruskan siasatan terhadap Perwaja yang mengalami kerugian begitu besar akibat kecuaian pengurusan dan juga penyelewengan. Pengurusan Perwaja diketuai oleh Tan Sri Eric Chia, antara kawan rapat dan orang kepercayaan Perdana Menteri. Laporan penyiasatan awal BPR dan audit mengesahkan kepincangan tersebut. Dan lebih serius ialah terdapat dokumen yang menunjukkan campurtangan peribadi Dr. Mahathir dalam meluluskan sebahagian daripada kontrak besar yang diluluskan.

                                              VIII

Reaksi Dr Mahathir menghadapi tekanan kegawatan ekonmi ini semua ialah dengan melantik Daim memimpin Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan mengurangkan kuasa saya sebagai Menteri Kewangan. Saya akur dan berkerjasama dengan MTEN. Tetapi saya tetap bertegas tentang keperluan reformasi dalam sistem ekonomi negara dan terus mengulangi tentang peri pentingnya pertanggungjawaban dan ketelusan.

Saya merasakan kejatuhan Suharto perlu diambil sebagai iktibar kerana kian jelas persamaan antara amalan nepotisme dan kronisme Suharto dengan amalan perniagaan di Malaysia. Jika perkara tersebut tidak dibendung, perkara yang sama akan berlaku di Malaysia. Hanya dengan melaksanakan reformasi politik dan ekonomi, perkara yang sama dapat dielakkan daripada berlaku di Malaysia.

Reaksi Dr Mahathir terhadap kejatuhan Suharto adalah berlainan. Bukan dengan melaksanakan reformasi tetapi dengan memperkukuhkan kubu kekuasaannya untuk memastikan beliau terus berkuasa walau apa pun terjadi pada negara dan rakyat. Beliau meniup dan mempermainkan sentimen nasionalistik rakyat, bukan untuk kepentingan rakya tetapi untuk terus kekal berkuasa. Mereka yang mengkaji sejarah kenal benar dengan kenyataan ini. Pemimpin yang digugat oleh kebangkitan rakyat akan cuba mengalihkan perhatian rakyat kepada "Ancaman Asing." Ini adalah takti biasa diktator. Dasar-dasar nasionalistik hanya digunakan untuk mengabui mata rakyat. Ia sebenarnya adalah helah untuk meneruskan dasar untuk mengumpul kuasa dan mengambil tindakan menyelamat syarikat keluarga dan kroni.

Soal IMF dibangkitkan secara berterusan untuk mengelirukan rakyat seolah-olah sebagai Menteri Kewangan saya setuju sepenuhnya dengan penyelesaian IMF. Malaysia mempunyai cukup pakar-pakar ekonorni, baik di Kementerian Kewangan, Bank Negara, di universiti-universiti dan institusi-institusi penyelidikan seperti Malaysian Institute of Economic Research (MIER). Semuanya dirujuk dalam isu-isu penting dan untuk menilai cadangan-cadangan institusi antarabangsa seperti IMF. Ada kalanya kita bersetuju dengan IMF dan ada kalanya kita tidak bersetuju.

Saya telah jelaskan dalam menghadapi kemelut kewangan, pendapatan negara terjejas dan sebagai jawapan kepada kesulitan
tersebut kita perlu membuat penyesuaian dan perbelanjaan perlu dipotong. Kita punya dua pilihan, sama ada memotong perbelanjaan untuk projek mega dan mewah atau memotong perbelanjaan untuk golongan miskin dan peruntukan luar bandar. Pada saya keutamaan adalah jelas. Peruntukan untuk projek mega dan mewah harus dipotong dahulu. Tetapi kerana kepentingan anak-anak dan kroni terjejas, Dr Mahathir marah. Dalam hampir semua projek besar, KLCC, Bakun, KLIA, dan lain-lain terselit kepentingan anak-anak Perdana Menteri. Saya tidak kurangkan peruntukan luar bandar, pembasmian kemiskinan, kesihatan dan pendidikan. Dr Mahathir tidak mengendahkan itu semua. Beliau lebih tertarik dengan konsortium anaknya; Bakun; Putrajaya, walaupun faedahnya untuk rakyat terbanyak boleh dipersoalkan.

Saya tidak setuju dengan semua penyelesaian IMF, khususnya mengenai lonjakan faedah ke paras tinggi yang berterusan, pemotongan subsidi dan bantuan terhadap rakyat miskin. Bahkan, saya yang diminta oleh Menteri Kewangan Indonesia menghujahkan hal tersebut dengan IMF. Walau bagaimanapun saya bersetuju dengan penekanan IMF dan Bank Dunia tentang peri pentingnya tindakan tegas untuk membanteras rasuah, keperluan ketelusan, pentadbiran dan pengurusan yang baik. Apa muslihat Dr Mahathir dan Daim yang beria-ia menentang langkah memastikan pentadbiran kewangan yang telus. Apakah yang ingin mereka sembunyikan? Jawapannya ialah kerana keutamaan dasar ekonomi adalah untuk keluarga dan kroni. Sebab itulah cabaran saya supaya diadakan siasatan bebas menyiasat kontrak, lesen, saham kepada keluarga dan kroni diadakan. Saya yakin Dr Mahathir dan Daim tidak berani kerana akan terbongkar tembolok besar mereka! Justeru itu soalan saya di Dewan Rakyat supaya disenaraikan mereka yang menerima kontrak dan saham dari Kementerian Kewangan sejak 1985 iaitu tatkala Daim dilantik sebagai Menteri Kewangan buat pertama kali - masih belum menerima jawapan.

                                               IX

Ucapan Dr Mahathir selaku Presiden di Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini menampakkan cara merepek orang lama, berang dan bengis terhadap setiap teguran dan kritikan, dan menyerang bagaikan orang disampuk kerisauan. Contohnya- Kenyataan Doug Paul dari Pusat Kajian Dasar Asia Pasifik (APPC) yang berpusat di Washington ditonjolkan sebagai bukti kukuh keterlibatan saya sebagai agen asing. Hanya si bahlul akan terpedaya dengan fitnah dan tipu helah sedemikian. APPC dan dengan kerjasama Institut Kajian Dasar, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) menganjurkan Dialog Pasifik setiap tahun. Dr. Mahathir sendiri yang merasmikan keempat-empat sidang tersebut di Malaysia. Sekretariat diketuai oleh Tan Sri Nordin Sophie dari pihak Malaysia dan Doug Paal dari pihak Amerika Syarikat. Delegasi dari Amerika Syarikat diketuai oleh William Cohen sejak beliau masih Senator. Dialog tersebut turut disertai oleh pemimpin, pengusaha dan pemikir Asia. Saya menyokong dialog tersebut kerana menginsafi peri pentingnya ditingkatkan persefahaman kebudayaan antara Asia dan Amerika sebagai asas untuk merangka kerjasama ekonomi dan keselamatan yang baru di Asia Pasifik selepas tamatnya Perang Dingin. Dialog tersebut telah menghasilkan satu dokumen penting yang diberi nama "Piagam Pasifik." Menteri-menteri Kabinet, Ketua Menteri dan Timbalan Menteri turut hadir dalam semua sidang tersebut. Serangan Dr. Mahathir membuktikan tahap keresahan beliau sehingga sanggup berbohong dan memutarbelitkan kenyataan semata-mata untuk mengalih-pandangan dari tindakan zalim, rasuah dan pembaziran.

Saya juga dituduh kononnya lebih berminat ke Amerika Syarikat dan Perancis kerana keadaan bebas di sana. Sungguh menghairankan bagi seseorang yang meningkat usia tua, merepek, memfitnah dan berani berbohong semata-mata kerana fahaman politik yang sempit. Saya ke Washington bagi menghadiri sidang IMF dan Bank Dunia. Saya juga menjelajah ke negara-negara ASEAN, Korea, Jepun, Sudan, UAE (Emirat Arab Bersatu).

Bagaimana pula dengan langkah Dr Mahathir dan Daim memilih syarikat Amerika Salamon Smith Barney sebagai penasihat kewangan negara? Padahal syarikat tersebut juga terlibat dengan spekulasi matawang. Bagaimana dengan hubungan akrab peribadi Dr Mahathir dengan Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika; atau dengan Puan Margaret Thatcher, bekas Perdana Menteri Britain yang melancarkan bukunya di London?

Apabila disebut agen asing yang beliau maksudkan pastilah agen Barat. Betapa cetek dan dangkalnya tuduhan tersebut. Persoalannya mengapa kita harus memusuhi Barat. Yang harus kita musuhi adalah kezaliman, penindasan dan kepura-puraan. Dan kezaliman, penindasan dan kepura- puraan tersebut terdapat di Barat dan juga di Timur. Kita harus mengambil yang baik di mana saja kita berada. Kita menghantar pelajar-pelajar kita ke Barat untuk mempelajari ilmu-ilmu moden, teknologi, pemikiran saintifik serta analitis yang berguna kepada kita. Ini tidak menjadikan kita taksub kepada Barat.

Namun sebahagian besar dari tenaga akliah saya tumpukan untuk mengajak masyarakat mengkaji dan mendalami semangat kebudayaan Asia. Saya merasakan kita belum menyelami semangat murni kebudayaan Asia sedangkan kefahaman tersebut adalah prasyarat kepada sebarang usaha ke arah kebangkitan semula. Justeru itu saya anjurkan siri seminar mengenai tokoh-tokoh yang menyumbang ke arah Nahdah Asia (Asian Renaissance). Dua telah berlangsung iaitu tentang Jose Rizal, Muhammad lqbal dan Jamaluddin al-Afghani. Saya disingkirkan tatkala persiapan untuk seminar mengenai Rabinranath Tagore sedang berjalan rancak. Saya juga bercadang untuk mengadakan seminar tentang Sun Yat Sen dan memperkenalkan pemikir Jepun Kakuzo Okakura.

Dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia, usaha untuk memupuk kefahaman kebudayaan-kebudayaan Asia amat penting sekali. Sekadar toleransi tidak mencukupi. Kita perlu memupuk apresiasi terhadap kebudayaan jiran kita yang berlainan agama dan keturunan. Dan apresiasi tersebut tidak akan terhasil selagi kita tidak mendekati karya-karya agung dalam kebudayaan dan tamadun tersebut. Berdasarkan kesedaran tersebut semasa menjadi Menteri Pendidikan saya mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkah karya-karya agung daripada tradisi Islam, Cina dan India. Atas keinsafan untuk memupuk perpaduan antara kaum, dalam lawatan rasmi ke Cina saya membawa rombongan ke perkampungan Kung Fu Tze dan melawat makam Laksamana Cheng Ho, seorang tokoh Islam yang mengepalai armada laut Cina semasa Dinasti Ming.

Sebaliknya Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN yang muflis intelek berusaha menimbulkan rasa takut antara kaum. Mereka menyemai benih kecurigaan. Sikap ini sungguh tidak bertanggungjawab, tak ubah cara penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Di kalangan rakyat Malaysia keseluruhannya didendangkan momok penjajahan baru dari luar dengan saya sebagai agennya dan dikalangan kaum-kaum di Malaysia ditimbul keraguan dan syak wasangka. Inilah sendiwara mereka. Sungguh membosankan!

                                              XI

Saya tidak berhasrat mengulangi pendedahan mengenai konspirasi terakhir untuk menjatuhkan saya. Dan sebagai langkah melenyapkan karier politik saya, senjatanya ialah mengaibkan dengan tuduhan salah laku seks yang direka-reka. Berhempas pulas digunakan Tan Sri Rahim Nor dan kelompok pegawai suruhannya termasuk Musa Hasan dan Rodwan; Peguam Negara dan Badan Kehakiman. Hampir semua tuduhan dikenakan, rasuah, salah laku seks, pengkhianatan terhadap negara. Yang belum dilakukan ialah tuduhan membunuh dan mengedar dadah.

Saya disabitkan bersalah semata-mata kerana saya bercakap dengan Pengarah Cawangan Khas Polis! Bayangkan saya mengadu kepada polis kerana difitnah dan aduan itu dianggap satu kesalahan sehingga saya dipenjara selama enam tahun! Meskipun saya dipecat atas siasatan, pengadilan dan hukuman cara diktator, Dr Mahathir masih belum berpuas hati. Beliau mahu mahkamah yang di bawah telunjuk beliau menghukum saya kerana salah laku seks. Maka direka cipta lagi sehingga tuduhan dipinda dari tahun 1994 ke 1992 dan 1993. Ini yang disebut pendakwaan fitnah dan berniat jahat. Rakyat terdedah dengan maklumat di mana saksi-saksi didera dan diugut; sistem penghakiman yang tempang menurut skrip Konspirator.

Dr Mahathir begitu pasti sekali sehingga saya terus dipecat, diusir dari rumah, dipukul dan dipenjara. Prinsip Islam dan keadilan diketepikan. Pada beliau maklumat daripada tauke judi, atau apa yang disebutnya 'perempuan sundal' lebih berharga dan lebih boleh dipercayai. Kononnya saya dipercayai agen asing sejak Oktober 1993. Kalau saya sudah dipercayai sebagai agen asing sejak itu, bagaimana pihak keselamatan boleh mengesahkan perlantikan saya kejawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 94.

                                               XII

Itu semua sudah berlalu. Sudah menjadi sejarah. Saya dedahkan kepada rakyat, khususnya kepada generasi muda, untuk dijadikan iktibar.

Saya ceritakan dengan agak panjang untuk menjawab fitnah. Lebih penting daripada ia bukan isu peribadi. Saya disingkirkan bukan kerana persoalan moral. Persoalan moral itu dicipta sebagai "deception" dan "diversion", sebagai satu ledakan untuk mengalihkan pandangan dan tumpuan rakyat daripada persoalan yang sebenar. Segala jentera kerajaan, khususnya Pasukan Polis, Jabatan Peguam Negara dan Institusi Kehakiman, dan media massa dikerah untuk memastikan masyarakat mempercayai pembohongan tersebut. Fitnah dan pembohongan tersebut sentiasa diulangi kerana Dr. Mahathir begitu percaya dengan teori propaganda Hitler yang mengatakan pembohongan itu jika sentiasa diulangi, kelak manusia akan mempercayainya sebagai kebenaran. Tetapi beliau lupa dengan kata-kata Abraham Lincoln: "Kamu boleh membohongi semua manusia dalam satu masa, atau sebahagian manusia dalam semua masa, tetapi kamu tidak akan boleh membohongi semua manusia dalam semua masa. "

Persoalan sebenar ialah, negara sedang dicengkam oleh krisis ekonomi dan politik yang tenat akibat menularnya rasuah, penyalahgunaan kuasa, gaya kepimpinan beliau yang semakin bersifat kuku besi, amalan ekonomi yang membiarkan kekayaan negara dibolot oleh segelintir kawan, keluarga dan individu korporat yang menjadi anak emas Perdana Menteri. Untuk menjayakan keadilan Malaysia memerlukan reformasi ekonomi dan politik. Ini saya tegaskan berulang kali dalam ucapan-ucapan saya semasa dalam kerajaan dan dengan lebih kerap setelah saya menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dan inilah inti kepada buku saya "Asian Renaissance" dan "Gelombang Kebangkitan Asia."

Sementara ekonomi masih tangkas, segar dan subur, kesempatan yang ada harus digunakan untuk melaksanakan reformasi. Reformasi memerlukan kita membuat penyesuaian, dan penyesuaian sering menyulitkan dan memerlukan pengorbanan. Tetapi
dalam suasana ekonomi segar, penyesuaian tidak akan begitu membebankan. Sebaliknya kalau kita menangguhkan dan terpaksa melakukan penyesuaian dikala ekonomi lemah, ia sudah pasti memedihkan.

Inilah sebenarnya persoalan negara. Tetapi golongan "vested interest", golongan berkepentingan melihat reformasi akan menjejaskan kedudukan istimewa mereka. Kenapa tidak? Sekiranya sistem ekonomi kita telus, tidak ada bezanya antara seorang yang rapat dengan Perdana Menteri dengan orang yang tidak dikenali oleh Perdana Menteri. Apabila mereka bersaing untuk mendapat satu-satu projek penswastaan atau kontrak dari kerajaan, yang penjadi penentuan bukan hubungan mereka dengan Perdana Menteri tetapi "merit" atau kewajaran cadangan mereka dari segi sebut harga, teknologi yang digunakan, dari segi latihan kepada pekerjaan dan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Justeru itu sering saya tegaskan bahawa ketelusan adalah antara unsur penting dalam reformasi ekonomi. Sudah tentu peniaga-peniaga yang rapat dengan Perdana
Menteri tidak menyukai sistem yang telus kerana mereka akan kehilangan "advantage" yang ada pada mereka hasil daripada hubungan istimewa dengan Perdana Menteri.

                                              XIII

Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Kesedaran rakyat perlu digilap. Semangat juang harus disemarakkan. Golongan yang berjuang untuk keadilan perlu bersatu. Perbedaan kecil perlu diketepikan.

Sesungguhnya kita berada di persimpangan jalan. Rakyat Malaysia perlu membuat ketetapan baru. Kita perlu merangka agenda perubahan.

Kita wajib menggembleng kekuatan rakyat untuk menjayakan agenda tersebut. Hanya dengan cara ini kita boleh menegakkan
sebuah negara yang disebut oleh Allah SWT:
 

. . . negara yang baik dan dapat pengampunan daripada-Nya. (Surab Saba'ayat 34: 15)


Keadilan adalah roh negara. Dari zaman bahari sehingga hari ini tiada yang mempertikaikan hakikat ini. Baik dalam kitab-kitab  suci, renungan para filasuf pujangga dari Timur dan Barat, kesemuanya menghimbau manusia ke arah keadilan.

Umat Islam sentiasa diingatkan dengan perintah Allah SWT:
 

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan .... (Surab al-Nabl ayat 90)

...hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa
... (Surah al-Ma'idah ayat 8)
 

Filasuf Yunani purba Plato menegaskan bahawa "justice is the organizing principle of the ideal state". Keadilan adalah akar tunjang kepada negara. Dan murid beliau Aristotle menyebut bahawa manusia tanpa hukum dan keadilan adalah lebih rendah daripada haiwan. Sementara filasuf Kristian Saint Agustine pula berkata, kalau keadilan tercabut dari sesebuah negara apakah yang tinggal lagi kecuali perampokan yang maha dahsyat.

Apalah makna kemerdekaan kalau rakyat lemah dan takutkan bangsa sendiri. Kemerdekaan hanya bermakna bila rakyat berani dan perkasa. Kita hanya mungkin memperkasakan rakyat sekiranya kita berjaya menegakkan keadilan di Malaysia. Selama keadilan tidak terlaksana, rakyat tidak mungkin di perkasakan. Sebaliknya rakyat hanya akan menjadi perkakas. Keadilan akan membebaskan dan memperkasakan rakyat. Yang berlaku dihari ini ialah kekuasaan itu telah menjadi keadilan, orang yang berkuasa menjadikan segala tindakan mereka sebagai keadilan (might is right) bukan keadilan itu berkuasa (right is might).

Demokrasi adalah satu kemestian. Dalam perisytiharan Permatang Pauh disebutkan bahawa daya dan kudrat manusia kepada keadilan menjadikan demokrasi satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kezaliman menjadikan demokrasi satu kemestian. (Man's capacity for justice makes democracy possible, but man's inclination towards injustice makes democracy necessary).

Tetapi hari ini demokrasi di Malaysia hanya tinggal semata-mata jasad. Rohnya telah dibunuh oleh Dr. Mahathir. Malaysia hanya demokrasi pada nama. Pada hakikatnya adalah satu plutokrasi, pemerintahan golongan kaya, bukan pemerintahan rakyat. Pemerintahan di Malaysia lebih berupa "a concert for the rich and the powerful", satu medan pesta untuk golongan kaya dan berkuasa yang bernafsu besar sementara rakyat terbanyak terus terpinggir dan terbiar.

Setelah Abu Bakar al-Siddiq r.a. dipilih menjadi khalifah pertama beliau bangun memberikan pidato yang menggariskan prinsip kepimpinan beliau:
 

"Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih untuk memegang kekuasaan atasmu, padahal aku bukan yang terbaik di antaramu; Maka jika aku berlaku baik (dalam menjalankan kekuasaan itu) bantulah aku; tetapi jika salah, betulkanlah. Berkata benar adalah amanah, dusta adalah khianat. Barang siapa yang lemah antaramu akan kuat bagiku, sehingga aku kembalikan haknya (dari tangan orang lain yang mengambilnya), Insya'Allah. Barang siapa yang kuat di antaramu akan lemah berhadapan denganku, sehingga aku ambil hak orang lain dari tangannya, Insya'Allah.


Alangkah jauhnya prinsip dan amalan kepimpinan ini dengan keangkuhan Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN. Tiada sedikit pun rasa malu dan segan untuk berbohong meskipun orang ramai tahu mereka berdusta. Mereka telah mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.

Sekarang, sebagaimana yang saya tegaskan, fajar baru sedang menyingsing di ufuk politik Malaysia. Ada yang cuba mengaitkan isu keadilan atau perubahan politik sebagai agenda peribadi saya. Kalau itulah cita-cita saya, lebih mudah saya akur sahaja dengan rasuah, bailout dan berdiam diri dengan penghinaan terhadap agama dan gaya kepimpinan kuku besi. Kalau ini saya lakukan, berkemungkinan besar kedudukan saya terjamin. Tetapi saya menuntut perubahan, kedaulatan undang-undang; demokrasi; kerukunan hidup agama; merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menjamin pengagihan yang adil.

Tidak ada manusia kebal; dan tidak ada organisasi atau wadah yang kekal. UMNO dan BN hanya relevan selagi ia kekal sebagai wadah gerakan rakyat yang memperjuangkan keadilan. Tetapi kini pemimpinnya rakus, rasuah, tamak haloba, mempamerkan kekayaan yang memualkan. Hak rakyat dipijak. Rakyat mahu dijadikan perkakas untuk kepentingan keluarga dan kelompok kecil. Saya ingin ulangi, saya dan Azizah tidak pernah memusuhi ahli-ahli UMNO, atau rakyat; apatah lagi mengkhianati negara. Pengkhianatan hanya dilakukan oleh manusia rakus, menindas hak rakyat dan merampas harta, tanah dan khazanah negara. Kami memperjuangkan kebenaran dan keadilan sebagai satu keyakinan, namun semangat dan keikhlasan ahli-ahli dan rakyatlah yang menjadi pendorong.

Berulangkali dalam ucapan saya bicarakan soal "taklifwala tashrif"; ( ) jawatan sebagai tanggungjawab dan bukan keistimewaan. Maka jangan dibiarkan golongan kaya bertambah kaya, sementara yang miskin terus papa kedana. Rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sering mendengar keluhan saya tentang merebaknya rasuah di sektor awam dan juga swasta. Saya sering menyuarakan betapa program membasmikan kemiskinan perlu dipertingkatkan, khususnya untuk golongan fakir. Begitu juga tentang program rumah kos rendah, dan saya menyelar kerajaan-kerajaan negeri yang lebih berminat membina padang golf dari menyediakan tapak tanah untuk perumahan rakyat. Di Sabah. saya berikrar menghentikan politik pemimpin mendapat balak sementara pengundi hanya mendapat zink bumbung rumah. Saya tekankan peri pentingnya pengetahuan agama, soal hubungan antara agama dan institusi kekeluargaan.

                                              XIV

Dalam ucapan-ucapan saya ke seluruh negara, saya tidak jemu-jemu mengulangi pandangan ahli sejarah Edward Gibbon yang  menulis buku The Decline and Fall of Roman Empire dan juga pandangan Ibn Khaldun dalam Mukadimah bahawa "rasuah,
penyalahgunaan kuasa, keangkuhan, kerendahan akal budi adalah tanda-tanda kehancuran tamadun". Begitu juga sering saya kutip pandangan John Kenneth Galbraith, khususnya dalam buku beliau The Culture of Contentment bagaimana keadaan
pemimpin yang mahu terus dipuji dan dipuja, dan ditipu dengan laporan bahawa semuanya baik dan cemerlang, walhal semua  masalah rasuah dan kepincangan semakin merebak dan menjadi barah.

Kita tidak berganjak daripada pendirian tersebut. UMNO dan BN sudah tidak berupaya lagi. Pemimpinnya senang-lenang, terlalu kaya dibuai dengan kemewahan. Terlalu banyak kepentingan, harta dan kekayaan yang diperolehi, sukar untuk melaporkan itu semua. Kalaupun ada yang cuba berani, mereka akan diugut, peluang perniagaan ditarik, bank-bank mula menuntut hutang. Sang pemimpin pantang ditegur dan dilarang. Rakyat sekadar perkakasan untuk mengekalkan kekuasaan.

Hanya dalam beberapa bulan kebelakangan, kerana menjelangnya pilihanraya, pemimpin bergegas melawat desa, menjelajah negara, memberi bonus, elaun, janji-janji manis. Kerana terasa cemas berhadapan dengan kemarahan rakyat; pelbagai ganjaran disediakan. Golongan guru umpamanya, kerana diketahui sebagai elemen sedar mengkritik pimpinan dan dasar kerajaan, cuba dibuai dengan janji dan habuan kecil. Sebelum ini siapa yang memperjuangkan nasib rakyat? Berperih kita bahaskan peruntukan tambahan 4 ribu ringgit bagi setiap rumah PPRT manakala RM200 juta Mahligai Perdana Menteri mudah sekali diluluskan. Bailout untuk anak hampir 2 bilion ringgit sementara untuk 100 ribu pegawai dan kakitangan kerajaan hanya 700 juta ringgit.

Janganlah terpedaya dengan rasuah, sogokan, hadiah dan habuan menjelang pilihanraya. Kalau anak diberi oleh bapa RM 2 bilion, anak mampu menderma kepada tabung pilihanraya RM20 juta. Kalau Menteri menerima rasuah RM600 juta dari 3 syarikat, RM6 juta mungkin diberikan kepada BN. Jika menteri beri saham bernilai RM59 juta kepada anak menantu, RM500 ribu mungkin diberi kepada parti. Janganlah sebahagian kita yang menerima 100 atau 500 ringgit sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan mempertahankan pemerintah rasuah.

Pilihanraya kali ini pasti paling unik dalam sejarah. BN dan pemimpin-pemimpin akan mencurahkan banyak wang kerana banyak cabaran buat mereka paling ketat. Jentera kerajaan, Jabatan Kemas akan dikerah sepenuhnya, ditambah dengan ugutan cawangan khas polis. Media yang sememangnya dimilik kroni akan terus menipu, memutar belit kenyataan.

                                              XV

Percayalah. Barisan Alternatif berkemampuan. PAS memiliki sejarah berjuang dalam wadah Islam sejak belum merdeka lagi, dan punyai pengalaman mentadbir Kelantan. Pimpinan DAP sekian lama memperlihatkan kesungguhan dan ketegasan menuntut pertanggungjawaban sang pemimpin; dan aktif dalam Parlimen membongkar penyelewengan dan rasuah. PRM terkenal dengan sejarah pembelaan nasib rakyat miskin dan pasti mampu memberi perimbangan antara pembangunan ekonomi dan keadilan sosial. Keadilan pula menggabungkan tenaga yang punya pengalaman dalam pemerintahan Negara dan yang menuntut Reformasi secara aman dan menurut perlembagaan.

Yakinilah, dibawah pentadbiran barisan Alternatif, keadaan wajib berubah. Keamanan akan berkekalan bahkan bertambah mantap kerana kerjasama antara kaum adalah di kalangan rakyat terbanyak dan tidak terhad kepada pemimpin, keluarga dan saudara atau tauke kroni. Barisan Alternatif lebih sensitif terhadap hak rakyat, hak pelbagai agama dan kaum, hak negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jalur kerjasama dengan negara jiran dan semua negara akan dipupuk untuk menjamin keselamatan dan menarik pelaburan swasta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kekayaan negara akan diagihkan secara adil kepada rakyat. Justeru, kepentingan dan hak negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak dikaji semula. Industri kecil dan sederhana, peniaga kecil dan penjaja akan diutamakan, sementara iklim pelaburan swasta lebih selesa akan dijamin kerana pilihan adalah berasaskan kepentingan negara dan ekonomi, dan bukannya syarikat keluarga dan kroni semata-mata.

Perumahan rakyat, kos sederhana dan rendah akan ditingkatkan. Kemudahan awam termasuk kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik dan air akan lebih diutamakan dengan kadar rendah yang tidak membebankan. Projek penswastaan dalam bidang kesihatan atau kemudahan asas yang memberi manfaat kepada anak-anak pemimpin akan diteliti semula.  Mewarnai dasar ini semua ialah kerukunan hidup beragama dan dakwah yang akan dipupuk kukuh. Islam akan dihayati dan dimuliakan, sementara agama-agama lain dihormati. Prinsip yang sama akan diamalkan merangkumi bahasa dan kebudayaan. Bahkan pendekatan yang bakal dikemukakan menggariskan alternatif mencakup perubahan sistem secara aman; bermula dari amalan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dan penghayatan prinsip keadilan. Agenda ini sebati dengan tuntutan rakyat. Yang gementar hanyalah kelompok kecil yang rasuah; tali barut puak zalim dan kalangan yang tidak percaya dengan tujuan hidup yang ingin memuliakan insan serta mengangkat harakat dan martabat bangsa Malaysia!

                                               XVI

Saya ingin menyeru agar rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman untuk menerima kenyataan bahawa masa perubahan telah tiba dan Kuasa Keramat adalah di tangan rakyat, Insya' Allah. Benar kita alami sistem zalim dan menekan; pemimpin-pemimpin didukung oleh tauke dan  saudagar kaya; media yang dikuasai oleh kelompok tersebut akan terus mengadu-domba, memfitnah, memutarbelitkan kenyataan. Dan jentera kerajaan yang akan dikerahkan seluruhnya untuk melenyapkan kekuatan Alternatif. Namun kita yakin, kesedaran dan semangat rakyat, manakala mara dan berkobar tidak mudah ditahan atau dipadamkan. Meskipun ada di antara kita yang menyokong UMNO dan BN dahulunya, ia adalah justeru kerana keyakinan kita akan janji pemerintahan yang adil; atau ketidakupayaan parti-parti pembangkang.

Kini kita telah saksikan dan alami sistem zalim, pemimpin tamak dan kesejahteraan rakyat telah diabaikan. Perubahan kecil disaksikan menjelang pilihanraya. Tetapi, mahligai indah, tembolok kalangan tamak, dan penindasan rakyat telah pun terbukti. Dan, terutamanya kini telah wujud Barisan Alternatif yang berwibawa dari sudut pengalaman, prinsip dan nilai keIslaman dan akhlak, rekod memperjuangkan pentadbiran bersih dan membela nasib rakyat terbanyak. Gabungan mantap KeADILan - PAS - DAP dan PRM sebagai Barisan Alternatif perlu menjadi pilihan rakyat.

 Atas nama peribadi, saya menyeru teman dan - rakan semuanya dikalangan rakyat meskipun dalam keadaan jasad terpenjara - gunakan kebijaksanaan, tegakkan kebenaran dan keadilan; lakukan perubahan secara aman; kembalikan maruah rakyat dan negara, selamatkan Malaysia, dan bekerjalah, berkhidmatlah dengan ikhlas untuk menjamin masa depan anak-anak bangsa.

Pastikan kemenangan Barisan Alternatif.!!!

ANWAR IBRAHIM
Penjara Sungai Buloh