Suara Dari Penjara  (Puisi Untuk Anwar Ibrahim)

oleh Hassan Karim

dalam penjara ini
aku rasa semakin berani
dalam derita terkurung seorang diri
aku semakin yakin
erti hidup
yang kupegang sampai kini

mereka yang mahu memusnahkan aku
harus tahu
keyakinan ini
tidak boleh mereka rampas dariku

aku mengerti
mereka mengharapkan aku mati
kalau pun tidak jasadku terkubur
sekurang-kurangnya semangatku akan lebur
lalu aku diserang
tubuh, mental dan moral

aku diperhina sedemikian rupa
dimalukan tak terkata
mereka mengharapkan aku lemah
memandang masa depan yang telah punah
semangatku  rebah
keyakinanku patah
aku tewas lalu menyerah
mengaku kalah

aku tidak boleh hilang harapan
aku perlu bertahan
aku terima suratan ini
mungkin ia satu laluan hidup
telah ditetapkan
berserah saja aku kepada Allah
dalam musibah
masih ada hikmahnya
aku telah lama terima bencana ini dengan redha
manusia yang beriman dan berakal
perlu tawakal
dengan iman
aku mendapat kembali kekuatan
 

tetapi aku tidak sekali-kali akan menyerah
menyerah kalah pada kejahatan
tewas pada kebuasan
gagal melawan mungkar
aku telah pun berikrar
aku telah berikrar
berikrar

hanya aku perlu yakin
pada masa depan
hidupku, hidup yang ada tujuan
setiap saat beralih masa
diriku terkurung di penjara
penderitaanku tidak sia-sia
malah aku telah rela
pada malam aku ditahan
aku sedia berkorban
kalau itu harga bagi satu perjuangan
menegakkan kebenaran

ini bukan kali pertama kebebasanku dirampas
aku tidak bermusuh dengan sesiapa
tetapi mereka memusuhiku tak terkira
aku dipecat
ditanggalkan segala jawatan
ambilah segalanya dari diriku
kalau memang itu hakmu

aku telah memulai
perjuangan yang kulalui ini
sejak aku muda-muda lagi
lalu aku tidak akan berhenti sekerat jalan
hanya kerana seksaan dan deraaan
atau takut hilang jawatan

tiada tuduhan yang dapat memusnahkan
kekuatan dalaman seseorang insan
tiada penjara yang dapat menghancurkan
manusia yang menjunjung ketaqwaan

pada malam itu
malam tanganku diikat
tangan yang tak pernah melakukan kekerasan
pada malam itu
malam mataku ditutup
mata yang menyaksikan segala kemungkaranmu
engkau seksa aku
aku diganyang diserang
oleh segala mesin kekuasaan
di bawah kawalanmu
apa memang aku
mahu kaumusnahkan?

sejak dulu aku mencari erti kehidupan
sesuatu yang telah lama kutemui
yang memandu aku melalui jalanan hidup ini
dengan yakin sampailah ke hari ini
jadi aku tahu untuk apa aku berada di sini
biar aku dikelilingi pintu besi
tembok konkrit tebal dan tinggi
mereka tidak dapat merampas kebebasan
kebebasan diri
yang berada dalam diri
diri sendiri
diriku ini

lalu, meskipun aku reput
dalam penjara ini
kereputan sebenarnya berlaku
pada hati mereka yang mencampakkan aku ke sini

mereka boleh pecat
dan lucutkan segala jawatan dariku
ambilah, aku pun tidak perlu
tetapi kamu tidak berupaya
mengikis segala jejak dan tapak
yang telah aku tinggalkan
sepanjang perjalanan hidupku
yang berliku
itu sesuatu jadi hak milikku

bersendirian di dalam penjara seorang diri
aku semakin mengenal diri sendiri
aku memberitahu diriku setiap masa
bahawa aku perlu hidup
biar pun tembok penjara ini tinggi
pagarnya berduri
manusia tidak akan hancur
semata-mata kerana seksa

ada kalanya
manusia juga boleh mengubah keadaan
tertekan di bawah kezaliman
ia bangkit melancarkan perlawanan
dan akhirnya menang

dalam keadaan terseksa yang kualami kini
aku semakin mendekati erti manusiawi
mengenal erti kehidupan yang bermakna
sesuatu yang amat berharga
dan tidak ada sesiapa
dapat melucutkannya dari diriku
ini satu lagi hak milikku

bunuhlah aku
tapi aku tidak akan mati
kalau belum janji Tuhan begitu
betapa engkau membenciku
sedih aku memikirkan
tergamak engkau lakukan
ke atas aku
teman dan sahabatmu

tapi aku tidak berdendam
kejahatan tidak kubalas dengan kejahatan
tiada kezaliman terlepas dari balasan Tuhan

jadi, semakin aku ditekan
semakin bertambah kekuatan dalaman
aku perlu hidup
aku setiap masa
perlu memandang ke hadapan
mudah-mudahan
aku tidak senang dikalahkan

engkau yang memusuhiku perlu tahu
dalam kekecilan kita sebagai manusia ini
kita juga dikurniakan kekuatan diri
betapa engkau mahu menghancurkan
jasad dan spiritualku
betapa engkau mahu
mematikan semangat dan keyakinanku
tapi aku masih dapat bertahan

siapalah yang dapat menanggung keaiban
segala kejahatan dan keserakahan
tiba-tiba dihimpun
dilonggokkan ke atas diriku

jika kurang iman
telah lama aku patah
telah lama benteng diriku pecah
telah lama aku menyerah
telah lama aku mengaku kalah

ketika semua orang sangsi
dan berbelah bagi
dengan fitnah yang datang semacam taufan
aku hanya mengharapkan keteguhan keyakinan
isteri dan anak-anakku
ayah dan bondaku

aku tidak perlu ragu
mereka yang paling rapat dengan diriku
mereka tidak keliru

tiada apa yang aku takutkan
kecuali Allah
Tuhan pencipta sekelian alam

lalu engkau yang amat benci padaku
perlu tahu
bahawa aku tidak takut padamu

kalau benar aku bersalah
takkan aku dapat memandang mata isteriku
kalau benar aku bersalah
takkan tergamak aku menatap putera puteriku
kalau benar aku bersalah
tak terdaya aku menghimpunkan kekuatan
untuk terus melawan

aku tidak membela diri di sini
tapi aku bertahan untuk tidak mati sia-sia
musnah teranianya dalam penjara mereka

dalam penjara ini
sesuatu yang baru aku mulai mengerti
manusia ini bebas merdeka fitrahnya
belenggulah dia
tapi jiwa manusia tak dapat dimangga
ini kupelajari dalam penjara

jadi mereka yang memusuhiku
akan sia-sia
mereka membuang masa
mendera dan menyeksa
manusia beriman ada kekuatan
ketahanan menanggung segala penderitaan
sungguh jasadnya terbelenggu
tetapi fikiran dan jiwanya tidak terganggu
hatinya bebas lepas seperti selalu

ini bukan suaraku seorang saja
ini suara dari penjara
suara dari Kemunting, Sungai Buloh dan Kajang
sama seperti suara dari Pulau Buru dan Cipinang
suara dari Penjara Tel Aviv, Changi, Auschwitz
dari seberang Gulag Siberia
suara dari penjara manusia
dari semua benua

ini suara manusia tertekan
suara kehidupan yang kenal akan kebebasan
suara keazaman diri
suara yang tidak dapat dibunuh mati
kerana yang terkurung itu
kenal hidupnya mempunyai erti
 

20 Julai 1999