KENYATAAN MEDIA
PEMUDA UMNO TAKUT SORAKAN AUDIEN

Saya melahirkan rasa gembira di atas kesediaan YB Dato’ Hishamuddin Hussien, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno untuk berdebat tentang isu-isu semasa. Bagaimanapun saya beranggapan bahawa tawaran untuk berdebat di CNBC sebagai masih menggambarkan ketakutan Ketua Pemuda Umno untuk berhadapan dengan kebenaran.

Sindrom takut untuk berhadapan dengan audien yang dialami oleh Ketua Pemuda Umno ini adalah ekoran daripada kezaliman dan penyelewengan yang dilakukan oleh Umno di dalam mentadbir negara. Kesedaran yang membawa kepada kebangkitan rakyat ternyata menakutkan Ketua Pemuda Umno. Pengalaman wakil mereka di’boo’ di UKM telah menghantui Pemuda Umno. Bagi saya, jika kita berada di pihak yang benar dan tidak pernah menzalimi rakyat, sudah tentu kita akan disambut dengan baik oleh rakyat bukannya di’boo’kan. Ini membuktikan bahawa rakyat sudah muak dengan Umno dan kepemimpinannya.

Ketua Pemuda Umno selaku pemimpin kanan dalam parti kerajaan dan juga sebagai Timbalan Menteri sewajarnya mempunyai jiwa yang besar untuk berhadapan dengan rakyat, bukannya berdolak dalih untuk berdebat mencari kebenaran di hadapan rakyat jelata. Beliau mesti berani untuk tampil ke hadapan demi mempertahankan maruah parti dan kerajaan pimpinan beliau. Sikap Dato’ Hishamuddin selama ini cuba melarikan isu sebenar kepentingan dan masa depan ketuanan melayu yang menjadi asas kepada perdebatan ini. Dato’ Hishamuddin tidak sepatutnya menjadikan isu-isu teknikal untuk mengelak dari perdebatan ini. Keberdolakdalihan ini dengan jelas menggambarkan ketakutan tersebut, bahkan turut menjelaskan secara tidak langsung bahawa merekalah yang menjadi punca kepada segala kemelut yang dialami oleh rakyat di negara ini.

Saya berharap Ketua Pemua Umno agar dapat mengubah sikap kelingking lurus telunjuk berkait dengan rakyat yang akhirnya menghantui beliau sendiri di dalam perdebatan ini. Perbuatan lontar batu sembunyi tangan sudah tidak relevan lagi pada zaman kemajuan teknologi maklumat ini. Saya juga merasa malu sekiranya Ketua Pemuda Umno terus berusaha untuk mengelak diri dari berhadapan secara terbuka dengan saya sedangkan Pemuda Umno pimpinan beliau sibuk mencanangkan keperkasaan Pemuda Umno. Perkasa dalam kepondanan ini adalah tidak wajar bagi gerakan pemuda yang akan meneruskan kepemimpinan negara pada alaf akan datang.

Saya juga merasa kesal di atas sikap Dato’ Seri Najib Razak yang telah menyatakan ketidaksediaannya untuk berdebat tentang isu-isu negara. Dato’ Seri Najib selaku Naib Presiden Umno yang terkanan dan mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sewajarnya mempunyai kesediaan untuk berhadapan dengan rakyat bukannya bersikap penikus di dalam menjana kepentingan dan masa depan rakyat. Jika sedemikian, tindakan Perdana Menteri untuk tidak melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah amat tepat memandangkan ketidaktrampilan beliau.

Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak kepemimpinan Umno yang sudah terbukti rosak lagi merosakkan. Kerosakan yang membusuk ini terbukti dengan keengganan Ketua Pemuda Umno untuk berdebat mencari kebenaran. Kegagalan kita membuat perubahan ini akan menyebabkan kita akan dipimpin oleh para Pemuda Pondan ketika dunia begitu canggih menghadapi era global village milenium baru.
 
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Pemuda PAS Pusat
19 Julai 1999