KENYATAAN MEDIA

GOLONGAN MISKIN TIDAK PERLUKAN MAHLIGAI

(20 JULAI 1999)
 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa amat kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang menghina golongan miskin demi untuk mempertahankan tindakannya membina mahligai ketika rakyat menderita dilanda kegawatan ekonomi. Kenyataan angkuh Perdana Menteri yang menyebut orang miskin tidak perlu dibina mahligai membuktikan Perdana tidak menghargai sumbangan golongan bawahan tetapi sangat mengutamakan golongan atasan dari kalangan kroninya.
 

DPP Pusat ingin menegaskan kepada PM bahawa rakyat miskin di negara ini tidak pernah berhasrat untuk dibinakan mahligai seperti mahligai Perdana Menteri, tetapi mereka sangat mengharapkan kerajaan menggunakan wang di dana rakyat seperti PNB, Khazanah Holding, Petronas, KWSP dan sebagainya untuk membantu mereka membina kehidupan yang selesa dan sejahtera. Tetapi peluang hidup selesa ini telah dinafikan oleh kerajaan apabila kerajaan menggunakan dana rakyat ini untuk mem’bail-out’ kroni mereka. Sepatutnya hasil negara diagih kepada semua rakyat bukannya hanya kepada kaum keluarga pemimpin BN sahaja yang dapat.
 

DPP Pusat juga melihat kenyataan angkuh PM ini sebagai menghina golongan miskin. BN memang daripada dahulu hanya berbaik dengan rakyat bawahan apabila dekat dengan pilihanraya, tetapi menghina mereka selepas undi diperolehi. Rentetan peristiwa penghinaan ini seperti kenyataan Menteri Perusahaan Utama, Dato’ Seri Dr Lim Keng Yeik yang menghina penoreh getah, kenyataan PM di Perhimpunan Agung Umno yang mendakwa orang miskin tidak memberu sumbangan kepada negara dan sebagainya membuktikan bahawa kerajaan bersikap antagonis terhadap rakyat bawahan.
 

Rakyat miskin yang dihina inilah sebenarnya yang memberikan undi kepada Umno. Adalah tidak wajar PM bersikap sedemikian terhadap mereka. PM juga seharusnya sedar bahawa merekalah menggerakkan ekonomi negara terutama di sektor pertanian. Jika tidak ada golongan ini, sudah tentu negara akan menghadapi masalah ekonomi yang lebih dahsyat. Dasar kerajaan yang terlalu bergantung kepada industri dan mengabaikan sektor ini terbukti merosakkan dengan kegawatan yang berlaku.
 

DPP Pusat mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat di desa agar tidak lagi melilih kerajaan yang angkuh seperti BN. Rakyat di kota yang rata-rata memiliki keluarga di desa juga mesti mengambil tindakan yang sama demi memastikan kehidupan selesa rakyat dapat dijamin melalui pembentukan kerajaan alternatif yang adil dan sejahtera.
 

HAJI MAHFUZ HJ OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat