Masjid seharusnya boleh bincang politik

KUALA LUMPUR, Isnin - Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan
sepatutnya membenarkan masjid digunakan untuk tujuan politik berlandaskan Islam.

Beliau berkata, politik tidak boleh dipisahkan daripada agama kerana pada zaman Nabi
Muhamad, Rasulullah sendiri berpolitik ketika membaca khutbah di masjid.

"Begitu juga dengan khalifah Islam, selepas dilantik sebagai pemimpin mereka menyampaikan ucapan negara melalui mimbar masjid.

"Kerana itu, kita kena membetulkan keadaan bahawa politik tidak boleh dipisah daripada agama dan kerajaan perlu membuat peraturan supaya politik menepati ajaran Islam saja dibenar diucap di masjid, manakala politik yang bercanggah dengan ajaran Islam tidak dibenarkan," katanya di pejabatnya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa hampir keseluruhan masjid di Lembah Klang pada Jumaat lalu, terutama di Selangor menyampaikan khutbah berunsur ceramah politik termasuk menghentam dan mempertikai sistem pemerintahan.

Laporan itu berkata, kebanyakan khutbah dibaca khatib jemputan tanpa teks oleh Jabatan Agama Islam negeri.

Menjawab soalan, kerajaan tidak pernah meluluskan permintaan Pas untuk mengadakan sebarang ceramah dan forum sama ada berunsur politik atau pengetahuan, di mana-mana masjid di negara ini.

Malah dakwanya, seperti yang berlaku di Terengganu, semua imam yang menyokong Pas dipecat dan ditukar ke tempat lain.

"Ini berlaku beberapa tahun lalu dan sekarang tidak ada lagi imam dari kalangan ahli Pas berkhidmat di Terengganu," dakwa Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Lebih jauh daripada itu, dakwanya, kerajaan Barisan Nasional turut menyekat bantuan yang diberi kepada guru mengajar al-Quran sekiranya mereka didapati ahli Pas.

"Ini adalah satu amalan 'double standard' Umno, mereka boleh menggunakan masjid untuk berpolitik tetapi orang Pas walaupun bercakap pasal perkara lain, tidak dibenarkan," katanya.

Mengenai usahanya yang masih belum berhasil untuk membentang cadangan meminda beberapa akta pentabdiran undang-undang Islam bagi memasukkan hukuman terhadap orang Islam yang murtad, Abdul Hadi berkata beliau masih tidak berputus asa.

Katanya, sidang kali ini adalah usahanya yang keempat sejak usul itu kali pertama ditimbulkan pertengahan tahun lalu.

"Saya akan terus berusaha untuk membentangkan cadangan ini (sekiranya tidak dibaca pada sidang kali ini) sehingga saya berpuas hati," katanya.