TV3 MEDIA FITNAH TERUNGGUL

     Kita merasa lucu melihat gelagat TV3 khususnya semalam dan juga beberapa hari yang lalu. Apa yang melucukan kita ialah berhubung dengan isu PAS Tidak Menghormati Masyarakat Cina Pekan Semeling. Yang memulakan isu ini ialah TV3, tetapi semalam mereka mendakwa bahawa PASlah yang mengheret masyarakat Cina Semeling ke dalam kancah perbalahan antara Harakah dan TV3.

     Kita masih ingat berita 13 Julai yang disiarkan oleh TV3 mendakwa bahawa PAS tidak menghormati budaya masyarakat Cina kerana kononnya ghairah menaikkan bendera sedangkan ada kematian seorang Cina bersebelahan dengan markas PAS. Persoalan sebenar terjawab apabila Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang, menjelaskan bahawa bendera PAS tersebut dinaikkan sejak 1hb.April lagi dan bukannya pada hari kematian orang Cina tersebut. Oleh itu, adalah tidak wajar hanya kerana ada kematian, maka bendera PAS perlu diturunkan. Ianya berbeza jika bendera belum dinaikkan lagi pada hari  kematian tersebut, dan sememangnyalah jika itu berlaku, ianya tidak patut dinaikkan pada hari kematian. Ini sebenarnya tidak berlaku,  tetapi inilah yang cuba ditonjolkan oleh TV3, media fitnah terunggul.

     Kesungguhan pihak TV3 menyebarkan fitnah jahat memburukkan PAS di kalangan masyarakat bukan Islam, khususnya Cina amat ketara. Mereka bekerja begitu gigih dan kuat semata-mata untuk mengelakkan orang Cina dari menyokong PAS, setelah menyedari perubahan sikap positif yang begitu ketara di kalangan masyarakat Cina terhadap PAS.

     Jika ada yang menyaksikan temuramah antara wartawan TV3 dengan kaum Cina yang terbabit yang disiarkan, jelas kelihatan bagaimana kasarnya teruramah itu dilakukan dan lagak seperti seorang samseng. Jawapan yang diberikan juga  dalam keadaan ketakutan.

     Hari demi hari berita-berita yang bersifat menakut-nakutkan rakyat, memecahbelahkan pakatan pembangkang digembar-gemburkan. Belum pernah terjadi dalam sejarah TV3 memperuntukkan begitu banyak masa  mencari bahan menyerang termasuk menyiarkan permasalahan PAS Besut dan kononnya wujud PAS Baru.

     Sedangkan sebelum ini, TV3 tidak pernah membuat sebarang liputan berhubung dengan aktiviti PAS. Jelas terlalu jahat dan keji mereka yang melancarkan propaganda menfitnah PAS dan kita berdoa moga-moga mereka akan menerima balasan setimpalnya di dunia dan akhirat jua.

     Kita perhatikan semakin dekat pilihanraya, semakin banyak program-program  diatur yang bermotifkan politik dan memancing undi samada TV3 mahupun RTM antaranya Isu, Bincang Petang, Di sebalik Tabir, Analisis, Fokus dan seumpamanya. Malah Berita Dunia RTM sekarang ini juga tidak seperti Berita Dunia dulu lagi kerana turut memuatkan berita-berita tempatan dan propaganda kerajaan.

     Sewajarnya kita menyahut seruan memulaukan media perdana yang diseru oleh ramai pihak termasuk yang terbaru oleh PAS Wilayah Persekutan. Kita pulaukan habis-habisan. Jangan Baca, Jangan Beli, Jangan Tengok dan Jangan Percaya!

AWANG BONGSU