Ahad, 6 Rabi'ul Awal 1420
 
Sunday, 20 June 1999


Ucapan Balas Kepada Dr. Mahathir - Anwar Ibrahim

Ucapan Presiden UMNO, DS Dr. Mahathir semalam mengelak dari kenyataan sebenar kritikan rakyat terhadap beliau. Kecaman terhadap beliau ialah mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Pertama, kerana meluluskan hampir 2 billion ringgit wang Petronas kepada syarikat anaknya, Mirzan.  Kedua, kerana meneruskan dengan projek mega, membazir termasuk membina mahligai peribadi. Ketiga, kerana meluluskan projek penswastaan, kontrak untuk anak-anak dan kroni.

Kebiasaan diktator, bagi mengaleh kritikan terhadap penyelewengan, rasuah dan kezaliman yang dilakukan ialah menakutkan rakyat tentang bahaya ancaman asing.

Saya tidak pernah menderhaka kepada UMNO. Saya menentang keangkuhan kuasa, penyelewengan dan rasuah dan pembahagian kekayaan kepada kroni dengan meninggalkan kepentingan ramai. Saya anggap penyelewengan dan rasuah, memperkaya golongan kecil, menghina hukum agama dan ulama adalah merugikan UMNO. Saya hanya menjalankan tanggungjawab supaya kepentingan ahli dan parti tidak dikorbankan kerana sikap ego dan tamak pemimpin. Pada masa itu, saya masih taat kepada pemimpin tetapi bukan cara membuta tuli, takut menegur tetapi hanya memuji dan memuja walaupun ahli pasti dan rakyat tidak bersetuju dengan dasar dan telatah angkuh dan tamak pemimpin. Kasih kepada parti bermakna menyuarakan kepentingan ahli dan dasar parti dan bukannya mempertahankan kesalahan pemimpin.

Sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya memang menjalin hubungan dengan negara-negara jiran, negara-negara Islam, negara-negara membangun, Asia dan Barat. Percubaan untuk memilih hubungan hanya dengan Amerika Syarikat adalah percubaan menipu dan memutarbelitkan kenyataan. Ini adalah helah orang yang resah dan kelamkabut, terdesak untuk mengalih pandangan rakyat.

Beliau juga cuba menafikan konspirasi membunuh karier politik saya; kononnya kerana moral dan perangai saya. Sehingga sekarang, mereka masih mencari dan mencipta bukti, meminda tarikh pertuduhan, memaksa saksi. Apakah ahli-ahli UMNO sungguh-sungguh percaya DS Dr. Mahathir begitu menitikberatkan soal rasuah dan salahlaku seks atau jenayah? Bagaimana dengan kehidupan dan tindakan salahlaku seks dan rasuah Perdana Menteri sendiri? Bagaimana dengan kes rogol, pembunuhan dan rasuah menteri dan pemimpin?

Saya telah dipecat kerana berusaha membersihkan UMNO dan kerajaan dari rasuah dan kerendahan akhlak. Saya dicampakkan melalui satu komplot kerana tidak senang dengan reformasi dalaman UMNO.

Budaya rasuah, tamak terlalu menular dalam pimpinan parti UMNO dan BN. Kini, ahli-ahli UMNO dan rakyat perlu meneruskan usaha perubahan dan menegak keadilan untuk semua rakyat dengan menyokong Barisan Alternatif.

Anwar Ibrahim
19 Jun 1999